Dakwaan perlembagaan digubal, dicipta penjajah: Abdul Hadi keliru dan mengelirukan


Abu Miskhat

1. Dalam satu penghantaran di portal media sosial Facebook pada 20 Febuari yang lepas, Tan Sri Abdul Hadi Awang telah menyatakan bahawa: “Kita menerima Perlembagaan Persekutuan yang telah digubal oleh penjajah yang merancang kemerdekaan yang menipu umat Islam, dengan tujuan tidak mahu sekali-kali memberikan kuasa kepada Islam.”


2. Beliau juga menyatakan: “…mereka (penjajah British) meninggalkan warisan yang masih menjajah kita melalui perlembagaan yang dicipta oleh Suruhanjaya Reid tanpa melibatkan ahli undang-undang kita seorang pun.” Beliau menyenaraikan ahli Suruhanjaya Reid iaitu Lord William Reid (Hakim Mahkamah Rayuan England) sebagai pengerusi dan dianggotai oleh Sir Ivor Jennings, Sir William McKell (bekas Gabenor Jeneral Australia), Tuan B. S. Malik (Ketua Hakim Mahkamah Tinggi India), dan Tuan Abdul Hamid (Hakim Mahkamah Pakistan).


3. Begitu mudah Abdul Hadi membuat kesimpulan bahawa penjajah Inggeris telah menggubal dan mencipta perlembagaan negara kita hanya dengan logik tiada seorang pun ahli undang-undang kita dilibatkan.


4. Dakwaan perlembagaan kita digubal atau dicipta oleh penjajah British adalah tidak berasas dan menyimpang jauh daripada fakta-fakta sejarah.


5. Dalam usaha untuk meringankan beban pentadbiran selepas Perang Dunia Kedua, British memperkenalkan gagasan Malayan Union sebagai asas perlembagaan Tanah Melayu pada 11 Oktober 1945. Kerakyatan liberal berdasarkan prinsip jus soli dalam gagasan Malayan Union telah menimbulkan kemarahan bangsa Melayu.


6. Kemarahan ini mendorong bangsa Melayu berhimpun dan bersatu lalu bersetuju menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) pada 11 Mei 1946 di Johor Baharu.


7. Pada tahun 1948, British memperkenalkan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948 sejurus selepas Malayan Union dibubarkan akibat penentangan keras bangsa Melayu. Perlembagaan ciptaan British ini memberi perlindungan kepada kedudukan istimewa orang Melayu dan mengetatkan syarat kerakyatan. Namun sebaliknya, kaum bukan Melayu pula menentang perlembagaan ini kerana menyukarkan mereka mendapat hak kerakyatan dengan mudah.


8. Pada tahun 1954, parti-parti berasaskan tiga kaum utama iaitu Umno, MCA dan MIC telah menubuhkan Parti Perikatan lalu mereka menang besar dalam Pilihan Raya 1955 dengan manifesto antaranya untuk mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu dalam masa empat tahun.


9. Pada 22 Ogos 1955 satu pertemuan kerajaan Perikatan yang dipimpin oleh Tunku Abdul Rahman dengan Lennox-Boyd, Setiausaha Tanah Jajahan British telah diadakan di Kuala Lumpur.


10. Pertemuan pada 22 Ogos 1955 telah membawa kepada perbincangan yang lebih serius tentang kemerdekaan Tanah Melayu antara delegasi Kuala Lumpur dengan kerajaan British di London pada 18 Januari hingga 6 Febuari 1956.


11. Persidangan di London itu telah membuahkan hasil apabila pihak British bersetuju mengiktiraf Tanah Melayu sebagai full self-government dan bersetuju menubuhkan suruhanjaya bebas seperti tuntutan Parti Perikatan dalam pilihan raya 1955.


12. Pada Mac 1956, satu suruhan jaya bebas telah dibentuk dan dikenali sebagai Suruhanjaya Reid. Di samping 131 buah memorandum yang dihantar oleh individu dan pertubuhan, Suruhanjaya ini juga turut mengambil cadangan dan penerangan lisan daripada pelbagai pihak, individu dan kumpulan. 


13. Suruhanjaya turut menemui Raja-Raja Melayu untuk mengetahui pandangan mereka. 


14. Suruhanjaya ini menghadapi tuntutan pelbagai kaum dalam empat isu utama iaitu kedudukan istimewa orang Melayu, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, kedudukan agama Islam sebagai agama persekutuan dan hak kerakyatan orang bukan Melayu.


15. Setelah selesai mengutip cadangan dan maklumat, ahli-ahli Suruhanjaya itu meneruskan kerja menulis cadangan serta draf perlembagaan. 


16. Sebaik sahaja laporan Suruhanjaya itu siap dan diserahkan kepada Kerajaan British dan Raja-Raja Melayu pada awal 1957, ia terus dikaji dan dibahaskan oleh pihak-pihak tersebut dan juga Parti Perikatan.


17. Hasil kajian dan pengubahsuaian ini dinamakan Kertas Putih.


18. Sebahagian besar daripada perakuan-perakuan yang dikemukakan oleh Laporan Suruhanjaya Reid dikekalkan. Bagaimana pun, Kertas Putih telah merubah beberapa perakuan Suruhanjaya; termasuk peruntukan tentang Islam sebagai agama bagi Persekutuan, kedudukan Istimewa orang-orang Melayu dan kuasa Majlis Raja-Raja.


19. Suruhanjaya pada asalnya tidak memasukkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan walaupun telah dipersetujui Parti Perikatan secara sebulat suara, disebabkan peguam kepada Raja-Raja Melayu melaporkan bahawa Raja-Raja tidak mengalu-alukan cadangan Parti Perikatan tentang peruntukan Islam sebagai agama persekutuan. 


20. Perjuangan Hakim Abdul Hamid (ahli Suruhanjaya dari Pakistan) dengan menyediakan nota tersendiri dan berasingan daripada ahli-ahli Suruhanjaya yang lain telah berjaya meletakkan kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan.   


21. Pada 27 Jun 1957 Majlis Raja-Raja Melayu telah memberikan persetujuan rasmi terhadap draf Perlembagaan Merdeka 1957.


22. Pada 11 Julai 1957 draf itu diluluskan sebulat suara dalam Dewan Undangan Persekutuan.


23. Pada 31 Ogos 1957 kemerdekaan Tanah Melayu diisytiharkan berdasarkan Perlembagaan yang berkuatkuasa. 


24. Berdasarkan kronologi di atas, dakwaan Abdul Hadi bahawa perlembagaan kita (Perlembagaan Persekutuan 1957) digubal atau dicipta oleh penjajah British adalah jauh tersasar, tidak berasas dan bersifat fitnah. Sebaliknya semua fakta sejarah di atas membuktikan perlembagaan Persekutuan adalah asli hasil daripada perbincangan atau syura semua pihak berkepentingan. 


25. Ternyata Abdul Hadi telah terkeliru dengan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948 yang telah termansuh dengan sendiri (rujuk para 7 di atas) sebaik sahaja British memberikan kemerdekaan secara rasmi pada 31 Ogos 1957.


26. Tanggapan bahawa perlembagaan Persekutuan 1957 adalah ciptaan penjajah telah menjadi satu doktrin yang mencetuskan perpecahan dahsyat orang Melayu sejak 1980-an kerana mereka diwajibkan melawan Umno atas tuduhan Umno mempertahankan perlembagaan penjajah.   


27. Tuduhan perlembagaan negara ini digubal dan dicipta penjajah juga telah menghina Majlis Raja-Raja Melayu yang telah memberikan persetujuan rasmi akan perlembagaan itu pada 27 Jun 1957.


28. Dengan pembentangan kronologi pembentukan Perlembagaan Persekutuan 1957 ini, diharapkan orang Melayu tidak lagi terpesona dengan dakwaan palsu Abdul Hadi dan PAS kononnya perlembagaan negara kita digubal atau dicipta penjajah. 


*****************************

Rujukan untuk bacaan lanjut yang menjadi sumber saya menulis fakta-fakta di atas:


1. Abdul Aziz Bari (2005), Islam Dalam Perlembagaan Malaysia

2. Abdul Halim Ali (2015), Perlembagaan Malaysia: Isu dan Persoalan Hubungan Kaum

3. Shamrahayu A. Aziz (2016), Isu Penguatkuasaan Jenayah Syariah di Malaysia

4. Shamrahayu A. Aziz (2019), Islam Dalam Perlembagaan Persekutuan



No comments: