Tarikh siap kapal tempur pesisir (LCS) yang bercanggah antara Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia menimbulkan tanda tanya dalam kalangan rakyat.
Bagi Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Keselamatan Parlimen Malaysia, Syed Ibrahim Syed Noh, tarikh tepat mesti dinyatakan dengan jelas sama ada pada 2024 sebagaimana dakwaan Hishamuddin atau Januari 2026 seperti kenyataan Panglima Angkatan Tentera.
"Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang turut terpalit dalam skandal LCS bolehlah kita sifatkan sebagai tidak bertanggungjawab meskipun memegang portfolio yang berkaitan dengan keselamatan dan kedaulatan negara.
"Semasa sidang Dewan Negara pada 8 Ogos, beliau menyatakan kapal tempur LCS akan siap dalam “setahun dua” lagi.
"Ini bererti kapal itu sepatutnya diterima pada 2023 atau 2024.
"Terbaru, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang pula menyatakan dua LCS terawal akan diterima pada bulan Januari dan September 2026.
"Mengapakah wujud dua tempoh masa yang bercanggah di antara Hishamuddin dan Jeneral Tan Sri Affendi?" tanyanya.
Ahli Parlimen Ledang itu menegaskan, sebarang kelewatan tempoh menyiapkan kapal akan menyebabkan pertambahan kos.
Oleh yang demikian, Menteri, Parlimen Malaysia dan rakyat perlu dimaklumkan dengan terperinci mengenai hal hal yang berkaitan peruntukan negara seperti itu.
"Berdasarkan laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang mendedahkan surat syarikat BNS bertarikh 16 Julai 2019, bagi menyiapkan pembinaan keenam-enam kapal LCS yang lewat daripada jadual, memerlukan anggaran tambahan kos sebanyak RM1.416 bilion. Iaitu terdiri daripada kos langsung berjumlah RM58.41 juta dan juga kos tidak langsung berjumlah RM1.358 bilion
"Justeru, berapakah kos tambahan yang perlu ditanggung kerajaan memandangkan kapal LCS terawal akan diterima pada Januari 2026 dan bukannya tahun hadapan?
"Hishamuddin wajib menjawab persoalan persoalan di atas dengan jujur meskipun beliau sebelum ini cuba menyalahkan pentadbiran Pakatan Harapan atas kelewatan projek LCS," katanya lagi.
Skandal pembinaan LCS kembali memanas apabila dilaporkan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan menerima dua LCS pada Januari dan September 2026.
Panglima Angkatan Tentera berkata kapal ketiga pula diterima pada Mei 2027, kapal keempat pada Januari 2028 dan kapal kelima pada September 2028.