Tak adil minta Muda bertanding di kerusi sukar, kata penganalisis
PETALING JAYA: Pemimpin Pakatan Harapan (PH) tidak patut mencabar Muda untuk bertanding hanya di kerusi yang sukar dimenangi sekiranya mereka ikhlas mahukan parti itu menyertai gabungan berkenaan, kata penganalisis politik.
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, Muda juga wajar diberi peluang untuk bertanding di kubu kuat PH, yang akan memenuhi tujuan sesebuah gabungan, iaitu supaya parti-parti komponen saling membantu sesama mereka.
Pada Rabu, pemimpin PKR Selangor mencabar Muda supaya bertanding di kubu kuat Umno dan PAS pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) bagi membuktikan keikhlasannya menyertai PH.
Ketua-ketua PKR Hulu Selangor Dr Sathia Prakash Nadarajan dan Tanjong Karang Yahya Mat Sahri menyifatkan Muda tidak wajar mengambil kesempatan dengan hanya memilih kerusi selamat dalam PRU15. Sathia turut mencadangkan Muda bertanding untuk 15 kerusi yang “tak boleh menang langsung”.
Azmi berkata, tidak adil untuk parti itu hanya disuruh bertanding di 15 kerusi berkenaan.
Katanya, Muda perlu diberi peluang untuk bertanding di kerusi lain, termasuk kubu kuat PH, malah beliau memberikan sebagai contoh bagaimana dalam Barisan Nasional (BN), calon dari MCA dan MIC berjaya memenangi kerusi dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka serta Johor atas undian penyokong Umno.
“Jika mereka mahu menerima Muda, terimalah dan berikan peruntukan kerusi dengan adil,” katanya kepada FMT.
Bagaimanapun, katanya, pada masa sama Muda juga tidak wajar menuntut sebarang kerusi kerana ia masih belum membuktikan keupayaannya kepada gabungan itu apabila cuma meraih kemenangan kecil di Johor di Puteri Wangsa dan kalah di enam yang lain.
Selain itu, kata Azmi, cabaran disuarakan dua pemimpin PKR itu juga membayangkan ada pihak yang tidak bersedia menerima Muda menyertai PH.
Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, cabaran dua pemimpin itu menggambarkan sentimen kepimpinan parti dan akar umbi, yang menganggap Muda mengambil jalan mudah dengan hanya menyasarkan kerusi boleh dimenangi.
Tambahnya, dengan meminta Muda bertanding di kubu kuat BN dan PAS, dua pemimpin PKR berkenaan sebenarnya mencabar parti itu membina sokongan akar umbi dalam kalangan pengundi Melayu konservatif luar bandar, kerana ia terlalu memfokuskan terhadap pengundi di bandar.
“Ia tugas yang sukar (untuk Muda(, tetapi mereka perlu bekerja keras dari sekarang dan bukan sekadar mengharapkan undian daripada ‘pasaran’ sama dengan PKR dan DAP,” katanya.