Bercakap kepada media selepas menghadiri Konvensyen Puteri BN, Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi berkata, pemimpin parti yang kritikal dan tidak sealiran dengannya masih boleh menjadi calon BN dalam PRU15 akan datang.
Menurut beliau, walaupun pemimpin terbabit kritikal terhadapnya, tetapi penilaian untuk dijadikan calon UMNO/BN dibuat tanpa melibatkan perasaan dendam.
Katanya, hal itu berlaku kerana beliau tidak pernah menyimpan dendam ke atas mana-mana pemimpin UMNO yang tidak sealiran dengannya
Cuma, tambah Zahid Hamidi, beliau tidak akan melupakan apa yang dilakukan orang lain ke atasnya.
“Jadi dalam soal calon ini saya tidak ada sifat dendam.
“Saya selalu memaafkan tetapi tidak pernah melupakan,” tegasnya.
Apakah maksud kata-kata Zahid Hamidi itu?
Benarkah beliau boleh menjadi seorang yang pemaaf dan tidak berdendam, contohnya kepada Tajuddin Abdul Rahman, Annuar Musa, Shahidan Kassim serta Nazri Aziz dan seterusnya setuju memilih mereka semula sebagai calon bagi PRU akan datang, tetapi dalam keadaan semua perbuatan mereka yang kritikal terhadapnya selama ini tidak pernah dilupakannya?
Ataukah ini hanya sekadar sembang kari?
Agak-agaknya Tajuddin, Annuar, Shahidan dan Nazri percaya tak dengan ungkapan manis Zahid Hamidi itu?
Yang nyata, melalui kata-kata Zahid Hamidi itu, ia dengan jelas bermaksud bahawa beliaulah yang akan menentukan calon dalam PRU15 akan datang.
Dalam keadaan normal, memang merupakan hak seorang Presiden UMNO untuk menentukan calon pilihan raya, tetapi kedudukan beliau sekarang ini adalah tidak normal.
Meski memegang jawatan Presiden UMNO, Zahid Hamidi selain tidak diletakkan sebagai “poster boy”, beliau juga sedang berdepan 87 pertuduhan di mahkamah berkaitan rasuah, pecah amanah dan penggubahan wang haram.
Ini adalah pertama kali dalam sejarah seorang Presiden UMNO dihadapkan ke mahkamah dan tidak dipilih sebagai “poster boy”.
Tidak diletakkan sebagai “poster boy” dengan sendirinya bermakna Zahid Hamidi sendiri sedar dirinya layak untuk menjadi Perdana Menteri berikutan kes-kes mahkamah yang dihadapinya itu.
Sebaliknya, “poster boy” BN untuk PRU15 akan datang ialah Ismail Sabri Yaakob.
Ismail Sabri bukan saja Perdana Menteri sedia ada, malah sebagai “poster boy”, beliaulah juga yang akan menjadi Perdana Menteri jika BN menang PRU15.
Untuk itu, oleh kerana Zahid Hamidi bukan “poster boy” dan tidak boleh pun menjadi Perdana Menteri kerana kes-kes mahkamah yang sedang dihadapinya, seharusnya penentuan calon pilihan raya tidak lagi ditentukan olehnya.
Haknya menentukan calon sudah terlucut seiring dengan ketidaklayakannya menjadi Perdana Menteri.
Kuasa itu sepatutnya diberikan kepada Ismail Sabri kerana beliau adalah “poster boy” dan bakal calon Perdana Menteri.
Sebagai “poster boy” dan bakal Perdana Menteri yang akan membentuk kerajaan, Ismail Sabri lebih berhak memilih calon pilihan raya kerana beliau yang akan bekerja dengan mereka dalam kerajaan yang akan dibentuknya nanti.
Adalah tidak masuk akal dan pelik jika Ismail Sabri tidak diberi hak tersebut dan menyuruh beliau menjadi Perdana Menteri dengan melantik menteri-menteri yang terdiri daripada orang-orang pilihan Zahid Hamidi.
Dalam hal ini dan bagi memastikan Ismail Sabri mampu membentuk barisan kabinet yang dipercayainya setelah BN menang nanti, kalau pun tidak semua, setidak-tidaknya 70 atau 80 peratus daripada calon kerusi Parlimen hendaklah ditentukan olehnya.
Kalau Zahid Hamidi ikhlas dan benar-benar tidak berdendam, inilah perkara pertama yang mesti dilakukannya. – ShahbudinHusin 01/08/2022.