Kamu baca tak MoU itu? Fahmi soal Nur Jazlan

 


Fahmi Fadzil berkata, MoU ditandatangani antara Perdana Menteri dan
 pemimpin Pakatan Harapan tahun lalu, masih berkuatkuasa sehingga
 Parlimen dibubarkan.

PETALING JAYA: Seorang pemimpin PKR bertanya pada Timbalan Ketua Umno Johor, Nur Jazlan Mohamed sama ada beliau membaca memorandum persefahaman (MoU) politik apabila mendakwa 31 Julai adalah hari terakhir perjanjian itu.

“Bagaimana dia hendak menjadi seorang pemimpin sedangkan dia tidak memahami perkara asas?” kata Fahmi Fadzil yang juga Ketua Penerangan PKR.

“Adakah dia tidak membaca (MoU) sepenuhnya, atau adakah dia tidak memahaminya dengan sengaja atas sebab-sebab tertentu?”

Fahmi berkata, MoU ditandatangani antara Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan pemimpin Pakatan Harapan tahun lalu, masih berkuat kuasa sehingga Parlimen dibubarkan.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

MoU itu juga menyatakan kerajaan bersetuju untuk tidak mengusulkan pembubaran Parlimen sebelum 31 Julai, kata Fahmi.

Nur Jazlan dalam catatan Facebook hari ini berkata, 31 Julai adalah hari terakhir perjanjian itu.

Beliau berkata, MoU itu dilihat sebagai “gencatan senjata politik” antara kedua-dua pihak namun tidak menghalang PH daripada melakukan serangan terhadap kerajaan pimpinan Ismail.

Walau bagaimanapun, Fahmi berkata, MoU itu menyatakan bahawa, perjanjian itu tidak akan menjejaskan peranan pembangkang dalam menyediakan semak dan imbang terhadap kerajaan serta memastikan Putrajaya akan bertanggungjawab terhadap Parlimen dan rakyat.

Perjanjian itu ditandatangani pada 13 Sept tahun lalu. Parlimen masih belum dibubarkan walaupun Ismail telah dihujani dengan gesaan supaya dibubarkan oleh rakan daripada Umno, terutamanya mereka yang sealiran dengan presiden parti Ahmad Zahid Hamidi.

Empat hari lalu, Ismail dilaporkan berkata, MoU dengan PH kekal sehingga Parlimen dibubarkan.

No comments: