Dari Rafizi Ramli
1 Ogos 2022
NAJIB JANGAN PERASAN:
MINAT KERANA NAJIB WAJAR KE PENJARA
Walaupun berlagak popular, bekas Perdana Menteri Dato’ Seri
Najib Tun Razak nampak bimbang dengan susunan semula kepimpinan parti-parti
Pakatan Harapan. Kebelakangan ini, terutamanya selepas selesainya pemilihan
barisan kepimpinan baru KEADILAN, jentera penerangan UMNO nampak ditumpukan
untuk menyerang saya dan KEADILAN/Pakatan Harapan.
Terbaru, semasa berucap di Konvensyen BN Selangor, berulang kali
dia menumpukan ucapannya mengenai saya, termasuk mengungkit kononnya saya
“berminat” kepadanya.
Sementara lagak Najib sudah diketahui umum dan ada segelintir
masyarakat yang berpendapat lagaknya wajar diabaikan, saya memilih untuk
berdepan dengan sarkas politik mainan Najib kerana ada isu pokok yang cuba
disembunyikan Najib.
Hakikatnya, Najib telah bersalah menyeleweng dana rakyat yang
kesannya akan ditanggung oleh rakyat untuk jangka masa berpuluh tahun akan
datang. Selain tanggungan hutang 1MDB berjumlah RM50 bilion, projek-projek mega
yang kosnya naik berkali ganda (seperti MRT, LRT3, ECRL dan sebagainya) membebankan
rakyat dengan hutang melebihi RM100 bilion dalam tempoh sekurang-kurangnya 20
tahun akan datang.
Najib telah menggunakan sumber kewangannya untuk menggerakkan
kempen penipuan melalui media sosial untuk menyucikan dirinya seolah-olah dia
tidak bersalah.
Lebih teruk dari itu, dia juga cuba menyelewengkan pemikiran
rakyat dengan memainkan propaganda terhadap tokoh-tokoh terbilang yang
patriotisme mereka bagai langit dengan bumi jika dibandingkan dengan Najib.
Cubaan propaganda Najib untuk memburukkan integriti hakim Yang Arif Dato’ Mohd
Nazlan Mohd Ghazali, semata-mata untuk menutup kesalahannya mencuri dana
rakyat, tidak wajar dibiarkan tanpa disanggah.
Oleh itu, saya menyeru keseluruhan pimpinan KEADILAN/Pakatan
Harapan di segenap lapisan terus menjawab untuk mematikan propaganda Najib yang
merosakkan pemikiran rakyat.
Sementara kita membentangkan idea-idea untuk memperbaiki
kebajikan rakyat dan menyelesaikan masalah rakyat, kita juga wajib menunjukkan
bahawa sebahagian besar dari masalah rakyat ini berpunca dari salah tadbir
sepanjang sembilan tahun Najib menjadi Perdana Menteri.
Keupayaan pimpinan KEADILAN/Pakatan Harapan mengutarakan
kedua-dua perkara ini (memberi idea penyelesaian dan mematahkan propaganda
Najib) secara serentak adalah kunci kemenangan KEADILAN/Pakatan Harapan dalam
pilihanraya umum akan datang.
Misalnya, adalah satu kebodohan jika kita membiarkan Najib dan
konco-konconya memperlekehkan kewibawaan seorang anak Malaysia terbilang
seperti YA Dato’ Mohd Nazlan. Beliau seorang yang pintar lulusan University of
Oxford dan mempunyai rekod kerjaya yang menjadi kebanggaan negara. Beliau juga
tidak gentar dengan asakan politik dan sanggup berdepan dengan mainan
propaganda Najib.
Bandingkan dengan Najib yang rekod akademik dan kerjayanya hanyalah
sebagai seorang bangsawan yang tidak pernah ada pencapaian baik selain yang
datang dari kedudukannya sebagai seorang bangsawan.
Jika ada anak Melayu yang wajar menjadi kebanggaan dan inspirasi
generasi muda Melayu, tokoh seperti YA Dato’ Mohd Nazlan inilah yang perlu kita
angkat.
Sebaliknya, propaganda Najib dengan tanpa segan silu, sementara
memainkan isu perkauman, dia juga menghina dan memperkecilkan tokoh-tokoh
seperti YA Dato’ Mohd Nazlan demi untuk menyelamatkan dirinya yang semakin
dekat dengan hari penghakiman.
Sebab itu, telatah Najib tidak lebih dari seorang yang perasan
dan merasa takut pada masa yang sama.
Saya tidak berminat dengan Najib.
Sebagai pimpinan utama parti-parti pro-rakyat di negara ini,
memang menjadi tanggungjawab saya untuk terus mendedahkan kesalahan Najib.
Fokus kepada kesalahan Najib yang membebankan rakyat ini telah menjatuhkan
Najib dalam PRU14 dalam tahun 2018. Dengan konsistensi yang sama, lebih ramai
rakyat yang akan menolak UMNO/Barisan Nasional akibat penyelewengan-penyelewengan
Najib yang terus membebankan UMNO/Barisan Nasional.
Minat sebenar saya ialah untuk memastikan Najib menanggung
kesalahan-kesalahannya kepada rakyat dan berakhir dengan menjalani hukuman
penjara.
Secara langsung, ini akan membela dan mengangkat tokoh-tokoh
seperti YA Dato’ Mohd Nazlan, yang nilai profesionalisme dan patriotisme mereka
perlu menjadi kompas moral baru kepada generasi muda Malaysia.
RAFIZI RAMLI