PENGAMPUNAN NAJIB BOLEH MENJADIKAN UMNO KALAH SEKALI LAGI

 

Satu lagi kesilapan UMNO, selain mahu menjadikan isu pemenjaraan Najib Razak sebagai umpan menarik simpati rakyat untuk memenangi PRU15, ialah terlalu awal bertempik ingin mengusahakan pengampunan diraja buat bekas Perdana Menteri itu.

Hanya sehari selepas Najib dipenjarakan, sekumpulan 300 ahli NGO pro UMNO telah berkumpul di Istana Negara menghantar memorandum memohon pengampunan diraja kepada Yang Dipertuan Agong, kemudian diikuti ucapan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi di majlis taklimat khas, Sabtu lalu berkaitan hal yang sama.

Kata beliau, UMNO akan memperjuangkan nasib Najib dan akan berusaha memohon pengampunan diraja buat bekas Perdana Menteri itu.

Selepas itu, UMNO Perak pula mengumumkan usaha mengumpulkan tandatangan melalui persidangan tahunan UMNO cawangan akan digerakkan dalam waktu terdekat ini bagi tujuan mendapatkan pengampunan diraja itu.

Kata Pengerusinya, Saarani Mohamad, UMNO Perak mempunyai sekitar 300 ribu ahli dan alangkah baiknya jika semua mereka dapat menandatangani petisyen berkenaan.

“Jadi sudah tentulah pihak istana nak tengok berapa ramai orang yang tandatangan,” katanya.

Selepas ini, entah siapa lagi akan turut bertindak menyokong usaha mendapatkan pengampunan diraja buat Najib.

Dengan pelbagai pihak mempunyai kecenderungan ke arah itu, UMNO seolah-olah tidak dapat menerima hukuman yang dijatuhkan berdasarkan undang-undang terhadap bekas Perdana Menteri itu.

Sepatutnya semua pihak dalam UMNO menerima dengan baik dan lapang dada keputusan mahkamah terhadap Najib kerana kesalahannya bukan sekecil mencuri telur ayam atau setin sardin di pasaraya.

Kesalahan yang dilakukan Najib adalah besar serta memberi kesan yang berganda kepada rakyat di mana puluhan tahun lagi negara perlu membayar hutang yang diakibatkan oleh 1MDB itu.

Maka, UMNO seharusnya ada rasa malu untuk bercakap atau memohon pengampunan diraja untuk beliau.

Sebaiknya, biarlah beliau lama sedikit berada di dalam penjara dan selepas itu barulah nak bercakap soal pengampunan diraja.

Lagi pula, dengan Najib dipenjarakan sekarang ini, ia adalah permulaan yang baik kepada proses pembersihan dalam UMNO.

Rakyat sendiri ramai yang terlihat gembira dengan hukuman yang diterima Najib kerana ia akan menjelmakan UMNO kelihatan lebih baik dan terlihat bersih di pandangan umum.

Memohon pengampunan diraja dalam kadar segara tidak lebih akan memperlihatkan UMNO tidak mahu membersihkan dirinya serta ingin kembali dilihat kotor oleh rakyat.

Untuk UMNO mempunyai harapan lebih untuk menang PRU15, resepi paling terbaik ialah menghidangkan parti itu kepada tatapan rakyat sebagai parti yang benar-benar bersih dan kelihatan bersih.

Untuk itu, jika perlu, bukan setakat Najib, malah lebih ramai pemimpin UMNO yang durjana mesti disumbat ke dalam penjara.

UMNO tidak harus kesian atau simpati kepada pemimpinnya yang curang atau sudah didapati bersalah oleh mahkamah, sebaliknya mesti lebih kesian dan simpati kepada parti jika kalah lagi dalam PRU15 akan datang nanti.

Yakin dan percayalah, kalau lebih ramai pemimpin UMNO ada dalam penjara sebelum PRU15 akan datang dan yang tinggal adalah mereka yang tidak terpalit apa-apa kes mahkamah, malah menjunjung kedaulatan undang-undang, peluang untuk menang akan jadi jauh lebih cerah lagi.

Oleh itu, baik tutup buku dulu bab memohon pengampunan diraja buat Najib kerana ia akan menjadi mesej yang salah kepada rakyat dan lebih membawa UMNO ditimpa kekalahan sekali lagi. – ShahbudinHusin 30/08/2022.