Kadar inflasi naik lagi


NK HASYUDEEN


Jabatan Perangkaan telah mengeluarkan data inflasi bulan Julai 2022. Kadarnya naik kepada 4.4% berbanding dengan Jun 2022.

Secara mudah, kadar inflasi ialah kadar kenaikan harga barangan dan perkhidmatan. Jika kita ada RM 100 pada bulan Jun, barangan yang boleh dibeli dengan wang yang sama hanyalah RM 99.63 pada bulan Julai. Ni secara pukul ratalah. Bagi sesetengah segmen masyarakat, kadar kenaikan kos yang dirasai lebih tinggi dari pengiraan rasmi Jabatan Perangkaan ini.

Di antara kumpulan utama yang naik harga ialah:

Makanan & minuman bukan alkohol - 6.9%

Restoran dan hotel - 5.8%

Pengangkutan - 5.6%

Berbanding dengan bandar yang mana kadar inflasinya ialah 4.2%, kadar inflasi luar bandar hanyalah 3.2%. Ini mungkin kerana corak penggunaan di bandar berbeza dengan apa yang biasa diguna di luar bandar.

Di antara sebab mengapa kos masih meningkat ialah:

Bekalan yang masih terhad. Perniagaan ni bukan macam tv, boleh buka tutup berkali-kali dalam sejam. Apabila satu perniagaan terhenti, pendapatannya hilang sedangkan kos masih berjalan. Inilah sebabnya saya amat kritikal dengan jalan mudah untuk menutup ekonomi semasa pandamik Covid-19. Banyak mana perniagaan yang lingkup dan yang hidup pun ada yang masih belum pulih 100%.

Ganguan bekalan kerana perang Russia-Ukraine. Ini merupakan satu perkara yang masih memberi kesan atas dunia kerana Ukraine adalah di antara pembekal bijirin dunia yang besar. Kenaikan harga minyak dan has akibat boikot ke atas Russia masih dirasai sekarang.

Kejatuhan nilai Ringgit juga adalah penyebab yang signifikan. Malaysia mengimpot banyak bahan makanan. Jadi, apabila duit kita mengecil, kita kena menggunakan lebih banyak wang untuk membeli jumlah makanan yang sama. Ini menyebabkan harga barangan impot naik. Jika ianya melibatkan makanan haiwan, kos ternakan juga naik.

Bagi perniagaan, kenaikan kos pengeluaran atau pun barangan yang dibeli untuk dijual kepada pelanggan tentunya akan menyebabkan mereka kena mengkaji strategi pengeluaran, jualan dan harga. Banyak kenaikan kos kena dipindahkan kepada pengguna dengan harga yang lebih tinggi atau pun saiz produk yang lebih kecil bagi mempastikan perniagaan terus untung. Jadi, bukan roti sahaja yang akan naik harga.

Jika kita membaca komen-komen penganalisa berkenaan inflasi ini, ada 2 perkara yang penting untuk kita fahami agar kita merancang kehidupan untuk menghadapi inflasi:

1. Kos bahan api seperti minyak dan gas yang akan kekal tinggi. Ini adalah kerana kapasiti bekalan masih kurang berbanding dengan kehendak pasaran. Banyak kemudahan pencarian dan pemprosesan yang belum dipulihkan sepenuhnya.

2. Kenaikan kadar faedah/pembiayaan untuk membendung inflasi. Ini adalah teknik utama bank-bank pusat bagi mengurangkan permintaan yang disokong oleh pinjaman/pembiayaan. Apabila kadar faedah/pembiayaan naik, penggunaan wang secara pinjaman akan berkurangan. Ini akan mengurangkan permintaan yang seterusnya akan melambatkan kenaikan harga.

Penggunaan dana yang tidak cekap akan memberikan kesan ke atas kos. Ini termasuk kos infrastruktur dan perkhidmatan kerajaan. Korupsi yang merangkumi rasuah dan salah guna kuasa akan menyebabkan kos-kos ini naik. Jika kerajaan tidak cukup dana, ianya kena meminjam bagi meneruskan perkhidmatan kepada rakyat. Pinjaman/pembiayaan ini bukannya percuma. Ada kos juga. Jadi rakyat akan membayar kos rasuah dan salah gua kuasa.

Untuk membendung inflasi, kita bukan sahaja kena pandai menguruskan ekonomi tetapi kena juga menaikkan pemimpin yang bijak tetapi masih jujur dan amanah. Selepas mereka naik, janganlah kita menekan mereka untuk menabur duit kepada kita. Itulah di antara punca mengapa mereka kena mula menjadi curang dan terlibat dengan rasuah dan salah guna kuasa.

Eh, terkeluar topik pulak. Tapi betul. Pemimpin yang curang bukan sahaja menyebabkan pengurusan dana negara rosak tetapi akan menyebabkan keselamatan negara terancam. Bolehkan kapal LCS yang 60% siap meluncur di lautan luas untuk bertempur jika ada ancaman di perairan kita?

 

No comments: