WALAU NEGARA KITA MEMPUNYAI PENASIHAT SEBiJAK DR "KAYU", PASARAN SAHAM TIDAK BERGERAK KE MANA.... MALAH LEBIH SERIUS KEJATUHANNYA UNTUK MASA DEPAN

 


Siap sedia hadapi kemelesetan pasaran saham berterusan, kata pakar




Bursa Malaysia baru-baru ini mengalami kerugian lapan hari berturut-
turut hingga 14 Jun, di mana indeks pasaran susut lebih 100 mata atau
 6.9% dan kemudian turun naik sebelum ditutup di atas 1,455 mata
 pada Jumaat. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Dua pakar percaya prestasi pasaran saham Malaysia
 mungkin tidak akan bertambah baik dengan ketara disebabkan
 masalah sistemik.

Geoffrey Williams daripada Universiti Sains dan Teknologi Malaysia berkata, pasaran saham menyaksikan trend merosot selama hampir sedekad.

Liew Chee Yoong daripada Pusat Pendidikan Pasaran berkata, prestasi buruk akan berterusan, berpunca daripada gabungan kejatuhan nilai ringgit, skandal dalam tadbir urus korporat dan penguatkuasaan undang-undang yang lemah dalam pasaran modal.

Bursa Malaysia baru-baru ini mengalami kerugian lapan hari berturut-turut hingga 14 Jun, di mana indeks pasaran susut lebih 100 mata atau 6.9% dan kemudian turun naik sebelum ditutup di atas 1,455 mata pada Jumaat.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

Geoffrey Williams.

Williams berkata, pelabur akan terus melihat ke tempat lain kerana pasaran serantau lain dengan pangkalan pelanggan yang besar mempunyai potensi lebih besar untuk pertumbuhan kukuh.

“Sekalipun dengan prestasi ekonomi yang baik, Malaysia tidak dapat menandingi saiz pasaran, pilihan keuntungan dan pertumbuhan negara-negara seperti Indonesia, Vietnam dan Filipina.

“Selalunya sukar bagi pelabur asing membuat pelaburan besar dalam syarikat senaraian Malaysia kerana mereka terlalu kecil dan sahamnya dipegang rapat atau tidak cair,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, pelabur asing mencari dana pelaburan merentasi pelbagai negara tetapi disebabkan undang-undang pelesenan Malaysia, sukar untuk menubuhkan dan mengurus dana sedemikian dengan berkesan.

Liew Chee Yoong.

Liew, yang juga penolong profesor di Universiti UCSI, mengaitkan prestasi pasaran saham yang tidak konsisten itu kepada pelabur mengalihkan dana daripada saham kepada aset lain yang memberi hasil lebih tinggi selepas Bank Negara Malaysia baru-baru ini meningkatkan kadar faedah.

Beliau berkata, penyusutan nilai ringgit berbanding mata wang asing turut menyumbang kepada prestasi buruk itu, dengan pelabur tempatan dan asing mengalihkan pelaburan ke pasaran kewangan dengan mata wang yang lebih kukuh.

Katanya, tiada “penyelesaian segera” bagi prestasi pasaran saham Malaysia tetapi terdapat beberapa faktor dalam kawalan kerajaan yang boleh diperbaiki dalam jangka panjang.

“Kerajaan harus menyediakan subsidi dan insentif yang menarik agar syarikat tempatan atau asing yang berkualiti mahu melabur dalam tawaran awam awal di Bursa,” katanya.

“Insentif sedemikian boleh termasuk pengecualian cukai dan pengurangan birokrasi.”

Liew berkata, pembangunan ekonomi akan terjejas teruk jika pasaran saham terus mencatatkan prestasi buruk dalam tempoh yang panjang, manakala Williams berkata, pasaran saham Malaysia berisiko menjadi semakin terpinggir bagi pelabur asing.

“Pelabur dan pemegang pencen akan menerima pulangan jangka panjang yang lemah, kurang daripada apa yang mereka boleh perolehi di tempat lain, manakala pengurus dana tempatan mungkin terpaksa memilih pembelian dan penjualan yang lebih aktif untuk meraih keuntungan.

“Namun ini menjadikan pasaran ekuiti lebih tidak menentu dan berisiko,” kata Liew.

No comments: