INI CARANYA UNTUK JADIKAN UMNO DILIHAT BERSIH….

 

Berkata seorang Ahli MT UMNO, Zahidi Zainul Abidin, parti itu perlu masuk bertanding PRU15 akan datang dalam keadaan ia benar-benar bersih supaya mudah diterima rakyat.

“Kita perlu cari jalan yang terbaik,” kata Zahidi yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia.

Soalnya bagaimana mahu menjadikan UMNO bersih atau setidak-tidaknya dilihat bersih dalam keadaan Presiden UMNO sendiri, Ahmad Zahid Hamidi terpalit dengan kes mahkamah berkaitan rasuah?

Meski belum disabitkan sebarang kesalahan, tetapi berdasarkan keterangan beberapa saksi yang antaranya menunjukkan ada hantaran wang dilakukan kepada Presiden UMNO itu, apakah dengan itu UMNO masih boleh dianggap serta dilihat bersih?

Terpakaikah di hati rakyat yang bakal mengundi nanti dengan ungkapan popular – seseorang itu tidak bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah – walhal keterangan saksi-saksi di mahkamah dan laporan di pelbagai platform media adalah sebaliknya dan boleh dibaca di seluruh dunia?

Begitu juga dengan Najib Razak selaku Pengerusi Lembaga Penasihat BN yang sudah pun dijatuhi hukuman bersalah dalam kes SRC International dan sedang menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan di mana status dirinya kini adalah seorang pesalah sehingga dibuktikan tidak bersalah di mahkamah tertinggi itu, adakah UMNO akan kelihatan bersih dalam keadaan bekas Perdana Menteri itu tidak henti-henti menonjolkan dirinya di atas pentas parti?

Atas apa hujah sekali pun, hakikatnya keberadaan Zahid Hamidi dan Najib atas nama parti menjelang PRU15 akan datang pasti meletakkan UMNO sentiasa dilihat tidak bersih di mata rakyat.

Pelbagai isu berkaitan diri kedua-dua pemimpin itu dengan mudah boleh dijaja oleh parti-parti lain untuk menghakis kepercayaan rakyat terhadap UMNO.

UMNO akan dilihat bersih, kalau pun tidak bersih sepenuhnya, hanya apabila Zahid Hamidi dan Najib tidak lagi dilihat berperanan dalam parti, sebaliknya memberi peluang kepada pemimpin-pemimpin lain yang tiada pertuduhan mahkamah dan tiada sabitan bersalah mengambil alih teraju kepimpinan.

UMNO hakikatnya tidak tandus dengan pemimpin yang baik, malah dengan kedudukan sebagai Perdana Menteri sekarang, Ismail Sabri Yaakob adalah pilihan paling wajar untuk ditonjolkan dan beliau sepatutnya diberi peluang mengambil alih teraju kepimpinan, sesuai dengan konsep parti menguasai kerajaan.

Tetapi, dengan keengganan UMNO sendiri meletakkan Ismail Sabri di tempat yang sewajarnya, bahkan proses pemilihan parti sebelum PRU15 juga cuba dielakkan dengan pelbagai taktik dan tipu muslihat, akhirnya UMNO sendiri yang dilihat tandus dengan pelapis yang berwibawa.

Lagi-lagi Najib yang disanjung dan mahu diangkat semula – lupakah ahli UMNO semua kepada sejarah buruk kepimpinan beliau dan karenah ahli keluarganya sehingga parti kalah dalam PRU tahun 2018 lalu?

Mahukah sejarah lama berulang kembali?

UMNO hanya boleh dibersihkan dan diperlihatkan bersih di mata rakyat jika proses pemilihan parti dapat diadakan terlebih dahulu sebelum PRU15 dilangsungkan.

Atau jika tidak – Zahid Hamidi dan Najib – kedua-duanya hendaklah tidak campur lagi dalam urusan UMNO mulai sekarang serta tidak sibuk-sibuk lagi mahu bertanding dalam PRU akan datang.

Sekarang ini, terutamanya setelah ada Perdana Menteri daripada lapisan kedua saf kepimpinan UMNO sendiri di samping beberapa tokoh muda yang lain dalam kabinet, ia adalah waktu yang paling sesuai untuk Zahid Hamidi dan Najib bersara terus daripada politik.

Mereka seharusnya menyelesaikan kes mahkamah seperti amalan sebelum ini iaitu dengan melepaskan jawatan masing-masing, seterusnya menumpukan lebih banyak masa kepada keluarga-keluarga sedia ada.

Selagi Zahid Hamidi dan Najib ada, buat apa pun, UMNO tidak mungkin kelihatan dan dilihat bersih di mata rakyat.

Malah selagi ada kedua-dua mereka, lebih mudah untuk rakyat menolak UMNO sekali lagi, kali ini tumbang yang mungkin tidak mampu bangkiit lagi. – ShahbudinHusin 21/06/2022.