Umno Pulau Pinang tetap bawa usul putus hubungan dengan PPBM

 

Pengerusi Umno Pulau Pinang Musa Sheikh Fadzir berkata, usul memutuskan hubungan dengan PPBM tidak boleh diketepikan kerana usul di peringkat bahagian mesti dibawa ke perhimpunan agung parti.

PETALING JAYA: Usul memutuskan kerjasama dengan PPBM dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) walaupun perhimpunan yang dijadualkan pada 31 Jan itu ditangguhkan susulan perisytiharan darurat dan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) 2.0.

Pengerusi Umno Pulau Pinang Musa Sheikh Fadzir berkata, usul memutuskan kerjasama dengan PPBM tidak boleh diketepikan memandangkan sudah termaktub dalam perlembagaan parti bahawa usul yang dipersetujui di peringkat bahagian perlu dibawa ke perhimpunan parti.

“Bila ada usul, memang kena bawa ke PAU tetapi bila darurat sebarang perhimpunan tidak boleh dilakukan.

“Jadi kita hendak buat macam mana sebabnya situasi kini adalah darurat. Bukan kita hendak tangguh, tetapi kita ikut undang-undang.

“Usul itu daripada bahagian, jadi memang kena bawa ke perhimpunan. Kita tunggu, ia kena diluluskan di perhimpunan tahunan parti.

Tidak boleh cara lain, mesti dibawa ke perhimpunan,” katanya kepada FMT.

Musa adalah antara pemimpin Umno negeri yang menolak keras kerjasama Umno dengan PPBM.

Bahkan beliau juga bertegas untuk mempertahankan kerusi yang kini diwakili oleh parti serpihan itu pada pilihan raya umum akan datang.

Penangguhan PAU yang menjadi titik penentu hubungan parti itu dengan PPBM diumumkan Setiausaha Agung Ahmad Maslan selaras dengan perisytiharan darurat dan PKP 2.0 oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang bermesyuarat sebelum ini dilaporkan telah memperhalusi semua usul yang dibangkitkan oleh 189 bahagian parti itu yang mengadakan mesyuarat agung tahunan masing-masing di seluruh negara .

Antara usul utama dibangkitkan oleh majoriti besar Umno bahagian ialah memutuskan hubungan dengan PPBM semasa menghadapi pilihan raya umum akan datang, selain mempertahankan hubungan kerjasama dengan PAS dalam Muafakat Nasional (MN).

Musa berkata, pada ketika ini adalah lebih baik pemimpin dan ahli Umno memfokuskan kepada kebajikan dan masalah dihadapi rakyat, memandangkan kes harian jangkitan wabak Covid-19 masih mencecah empat angka.

“Selepas darurat tamat dan kita boleh buat perhimpunan, kita akan buat. Kita senyap sebab Covid-19.

“Kita tidak mahu banyak politik, kena fikir masalah rakyat. Bila sampai masanya untuk kita berpolitik, kita akan berpolitik,” katanya.

Sementara itu Ahmad berkata, perhimpunan parti berkenaan akan tetap diadakan dan tarikhnya akan diputuskan oleh pimpinan tertinggi parti.

“PAU akan dilaksanakan, akan ada tarikhnya. Itu ikut perlembagaan parti, mesti akan dilaksanakan,” katanya .



No comments: