Mesyuarat penyelarasan dan pemantauan berlangsung pada 21 Januari 2021 (Khamis) berkaitan isu kemusnahan alam sekitar dikatakan akibat aktiviti perusahaan kuari di hutan simpan Segari Melintang.
Mesyuarat ini melibatkan :
Ybhg Dato’ Mohamed Zin Bin Yusop
Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Perak
Ybhg Dato’ Ir. Dr. Hj. Ahmad Anuar bin Othman,
Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Perak
Tuan Haji Rosli bin Zul
Pengarah Jabatan Alam Sekitar Perak
YDH ACP Nor Omar Bin Sappi
Ketua Polis Daerah Manjung
Tuan Ir Tan Hai Hong
Timbalan Pengarah Jabatan Mineral Dan Geosains Perak
YBrs Dr. Mohd Zuhdi Marsuki
Setiausaha Politik Menteri
Kementerian Alam Sekitar dan Air
Berdasarkan laporan yang dibentangkan, kawasan berkenaan telah diluluskan Lesen Kecil untuk pengeluaran batu-batan (pengkuarian) pada tahun 2014. Kelulusan Laporan EIA pula diperolehi pada 2 Oktober 2017. Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) bagi projek berkenaan telah diluluskan pada 25 Oktober 2018. Seterusnya Surat Kelulusan Skim Kuari (SKSK) telah dikeluarkan pada 1 Februari 2019.
Keadaan Air Terjun Tanjung Batu (Teluk Sera) yang dikatakan musnah akibat daripada aktiviti kuari tersebut. Air Terjun Tanjung Batu (Teluk Sera) sebenarnya masih terpelihara dan langsung tidak terjejas dan berada di luar kawasan yang diberi lesen mengusahasil pengeluaran batu kuari iaitu berjarak 1 km dari tapak pengkuarian tersebut.
Kawasan terjejas yang tular di media sosial dan massa itu sebenarnya adalah alur air bermusim yang muncul apabila berlaku hujan terutama ketika hujan lebat sahaja, hasil dari satu takungan air di kawasan setinggi 200 meter di dalam kawasan yang diberi lesen di dalam Kompartmen 16 ( Blok E) Hutan Simpan Segari Melintang.
Hasil siasatan awal, mendapati operator kuari telah melakukan pelanggaran syarat-syarat EIA (Environment Impact Assesment) yang ditetapkan, antaranya tiada Environment Officer (EO) yang bertauliah dilantik oleh operator kuari hingga menyebabkan kegagalan kawalan hakisan dan mendapan (sediment) di tapak projek.
Perintah Larangan dan Perintah Berhenti Kerja telah dikeluarkan pada 20 Januari 2021 dibawah Seksyen 34AA, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi menghalang operator kuari beroperasi serta merta. Semua kerja pembangunan telah dihentikan, dan pelesen telah diarah untuk melakukan tindakan pembaikan dan pemulihan (remedi) di alur air bermusim tersebut. Pelanggaran syarat ini akan berdepan dengan tindakan berdasarkan peruntukan undang-undang.
Kerajaan Negeri telah mengarahkan pihak terlibat untuk melakukan kerja-kerja pembersihan dan pemulihan segera di kawasan terjejas bermula (21/1/2021) dan dijangka akan selesai dalam tempoh 2 minggu.
Sekiranya orang ramai mendapati ada jentera yang bergerak di sekitar kuari, itu adalah kerja kerja pembersihan dan pemulihan yang sedang berjalan.
Kerajaan Negeri amat komited dalam usaha memelihara kelestarian alam sekitar dan prihatin terhadap kelangsungan sungai di negeri ini.
AKMAL HAJI KAMARUDIN
HESGreen