Tidak sampai seminggu Bersatu
dan Umno berbaik semula selepas permohonan darurat ditolak oleh Yang di-Pertuan
Agong, hubungan kedua-dua parti kerajaan ini kembali keruh.
Masakan tidak, Speaker Dewan
Negara, Rais Yatim yang meminta kerajaan mencadangkan sekali lagi pelaksanaan
darurat kepada Agong jelas bertentangan dengan pendirian Umno yang ketika ini
mahukan gencatan politik.
Menurut laporan Malaysiakini,
seorang ahli majlis tertinggi Umno yang tidak dinamakan tidak bersetuju dengan
cadangan Rais, malah cadangan itu dianggap cuba membelakangkan keputusan Agong
sebelum ini.
"Tindakan Rais Yatim yang
meminta kerajaan meneruskan cadangan darurat adalah satu tindakan yang tidak
mementingkan rakyat.
"Saya tegas untuk menolak
mana-mana tindakan yang akan menjejaskan keselamatan rakyat dan patuh kepada
titah Duli Yang Maha Mulia," katanya.
Terdahulu, Rais menganggap
wajar untuk mengadakan darurat tetapi perkara itu perlu dilihat dari sudut
kesihatan dan bukannya politik.
“Dengan keadaan Covid-19 yang
meningkat serta situasi ekonomi rakyat yang terhimpit, amat wajar kiranya pihak
berkuasa menyembah jelaskan kepada Seri Paduka sekali lagi agar menerima
apa-apa fakta tambahan daripada pihak berkuasa.
“Rakyat harus menghormati titah
Seri Paduka tempoh hari, bagaimanapun kehendak Perkara 40 itu perlu dipatuhi
walaupun bersyarat. Moga langkah-langkah wajar kerajaan dalam konteks pentadbiran
darurat tidak disalahertikan,” katanya seperti dilaporkan oleh Utusan..
Bagaimanapun pandangan Rais itu
menerima reaksi negatif Umno terutamanya dari presidennya sendiri, Zahid
Hamidi.
Malah, Zahid berkata Umno tidak
akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas demi menjaga kedaulatan
Raja-raja dan kepentingan rakyat.
Kenyataan Zahid yang berbaur
ugutan kepada Bersatu itu memberikan gambaran seolah-olah Umno akan menarik
balik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN), jika Bersatu terus
berdegil mahu melaksanakan darurat.
Malah kedegilan Bersatu yang
tetap mahukan darurat juga menunjukkan kerajaan PN yang diterajui Tan Sri
Muhyiddin Yassin benar-benar mahu menyelamatkan diri dari usul undi tidak
percaya di Parlimen.
Hubungan buruk yang berterusan
antara kedua-dua parti kerajaan itu terus membuktikan bahawa kerajaan PN ketika
ini berada dalam keadaan tidak stabil.
Ia juga bukan petanda baik buat
negara, terutamanya apabila rakyat benar-benar mengharapkan bantuan menerusi
pembentangan Belanjawan 2021.