PRN Sabah: KEADILAN dan Warisan capai kata sepakat, setuju bertanding 7 kerusi






KEADILAN akhirnya mencapai kata sepakat dengan Warisan bahawa parti itu bersetuju akan bertanding di tujuh buah kerusi DUN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN (MPN) Sabah, Christina Liew berkata keputusan itu dibuat selepas mendapat restu Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang menyokong penuh keputusan pemimpin negeri demi kepentingan Sabah.

Dalam kenyataan juga, Christina berkata Anwar bersetuju dengan pandangan Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal yang mahukan KEADILAN mementingkan agenda untuk memenangi PRN Sabah.

“Kami gembira dapat bergabung dengan Warisan, DAP, Upko dan Amanah bagi memastikan kami menjadi unit yang strategik, stabil dan bersatu mempertahankan kehendak dan mandat rakyat.

“Walaupun menggunakan logo sendiri, kami berharap pengundi Sabah akan terus memberikan sokongan kepada gabungan ini," katanya.

Christina juga menyatakan bahawa KEADILAN tetap menyokong penuh kepimpinan Shafie untuk menerajui Sabah di masa akan datang.

“Kami berpegang teguh pada kepercayaan dan kerjasama yang terjalin dalam komponen pakatan ini dan kami menyokong kepemimpinan Shafie Apdal yang akan memimpin negeri ini ke arah kejayaan," katanya.

Tujuh kerusi yang akan dipertandingkan oleh KEADILAN adalah Matunggong, Tempasuk, Tamparuli, Inanam, Api Api, Klias dan Sook.

DUN Klias merupakan kerusi Warisan sebelum ini, manakala DUN Sook adalah kerusi baharu.

Lima kerusi lagi adalah kerusi yang dipertandingkan KEADILAN pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

Secara keseluruhan, Warisan akan bertanding 54 kerusi, UPKO bertanding 12 kerusi, DAP 7 kerusi, KEADILAN 7 kerusi dan AMANAH bertanding 1 kerusi iaitu Tanjung Keramat.

DAP dan AMANAH bersetuju untuk menggunakan logo Warisan dalam PRN kali ini, KEADILAN dan UPKO akan menggunakan logo masing-masing.

Hari penamaan calon akan berlangsung pada 12 September, diikuti dengan hari mengundi awal pada 22 September manakala hari mengundi umum jatuh pada 26 September.


No comments: