DEMI DAKWAH PAS MESTI UGUT UMNO/MN UNTUK KERUSI DI SABAH

 Sehingga kini sah Pas tidak diberikan sebarang kerusi untuk ditandingi dalam PRN Sabah, walaupun sebelum ini lebih awal menyatakan keinginan mahu bertanding 10 kerusi.

Bagi Pas, bertanding dalam pilihanraya bukan saja untuk menang dan menjadi wakil rakyat, tetapi ia juga sebahagian kerja-kerja dakwah Islamnya.

Sebab itu, Pas tak kisah sama ada kalah atau menang kerana dalam apa keadaan sekali pun, kerja-kerja dakwah tetap dapat dijalankan.

Sebab itu, bertanding adalah penting bagi Pas sebagai sebuah parti Islam.

Dalam PRN Sabah pada 26 September depan, kedudukan Pas lebih istimewa kerana ia bermuafakat dengan UMNO dalam Muafakat Nasional serta dalam masa yang sama menyokong Bersatu dan Muhyiddin Yassin dalam gabungan baru Perikatan Nasional.

Sebagaimana yang diumumkan semalam, UMNO akan bertanding 31 kerusi, manakala Bersatu bertanding 19 kerusi.

Dalam keadaan Pas berada bersama MN dan PN sekarang ini, jika parti itu diperuntukkan kerusi untuk bertanding, peluang Pas untuk menang tentulah lebih cerah kerana disokong oleh UMNO dan Bersatu.

Apabila menang, tentulah kerja-kerja dakwah dan meninggikan syiar Islam oleh Pas menjadi lebih mudah dan meluas lagi.

Kalau kalah pula, dakwah sudah pun dilaksanakan sewaktu berkempen dan ia merupakan sebahagian daripada perjuangan yang dituntut Tuhan.

Dalam hal ini, demi kepentingan dakwahnya, Pas mesti berani bertegas terhadap UMNO dan Bersatu agar mereka mesti diberikan kerusi yang sewajarnya untuk bertanding di Sabah.

Pas tidak sepatutnya bersikap reda dan dan tidak apa lantaran tidak diberi kerusi kerana kerja dakwah dan menegakkan syiar Islam tidak harus ada tolak ansur.

Kalau 10 kerusi yang diminta, UMNO mesti beri 5 dan Bersatu juga mesti beri 5 dan kalau dua kerusi saja misalnya, UMNO dan Bersatu mesti sedia memberi masing-masing satu kerusi kepada Pas.

Jika tidak, tiada gunanya Pas bermuafakat dengan UMNO dalam MN dan bekerjasma dengan Bersatu serta menyokong Muhyiddin dalam PN.

Malah, baik UMNO atau Bersatu, kedua-duanya juga harus diperingatkan bahawa tanpa sokongan Pas, bukan saja UMNO sukar berkuasa semula, malah Muhyiddin tidak mungkin dapat duduk di kerusi Perdana Menteri.

Demi kerja-kerja dakwah dan untuk Islam, Pas malah sepatutnya berani mengugut UMNO dan Bersatu berkenaan peruntukan kerusi untuk parti itu.

Sekali lagi diperingatkan, Pas mahukan kerusi bukan semata-mata kerana seronok bertanding seperti amalan parti sekular, tetapi kerana dakwah dan demi Allah.

Kiranya UMNO dan Bersatu tidak sedia bertolak ansur, lebih baiklah Pas keluar saja daripada MN dan PN kerana terbukti kedua-dua parti itu tidak menyokong kerja-kerja dakwah Pas.

Lebih baiklah Pas bergerak bersendirian seperti sebelum ini kerana walaupun tidak menang jika bertanding, namun kerja dakwah dan tuntutan Tuhan tetap dapat dilaksanakan.

Memang cukup memalukan, berada dalam MN dan PN, tetapi ruang untuk Pas berdakwah semakin terhimpit jadinya.

Dengan tidak diberikan kerusi dan kerja Pas hanya memasang poster dan memacak bendera orang lain saja, apa dakwah yang Pas dapat lakukan di Sabah?

Dan lebih penting, dalam keadaan begitu, bagaimana Pas yang menjawab dengan Allah di akhirat nanti? (Shahbudindotcom 11/09/2020)

No comments: