1. Saya dari awal telah menyatakan pandangan. Pertukaran Kerajaan sama ada di peringkat persekutuan atau negeri tidak sesuai dibuat sekarang. Di ketika pandemik dan dalam kemelut ekonomi, pertukaran atau pembubaran Kerajaan tidak memberi kebaikan kepada Rakyat. Kalau tukar Kerajaan berapa lama Rakyat nak tunggu untuk Kerajaan baru berfungsi sepenuhnya. Kalau bubar Parlimen, apakah bala yang bakal menimpa Rakyat? Nak mengundi di kala pandemik, kluster apa pula yang bakal keluar?
2. Ditempik oleh wakil rakyat dan penyokong Perikatan Nasional jangan berpolitik di kala krisis. Namun demikian, mereka juga mulakan langkah politik yang jelik. Pertukaran kerajaan negeri Kedah, pertukaran speaker di Johor dan Melaka. Umpan mengumpan undi dengan jawatan GLC. Semua dihalalkan demi kuasa. Itu tidak mengapa bagi mereka.
3. Tapi bila pihak pembangkang mengorak langkah sama, habis diratib nak bubarkan Parlimen dan DUN. Haram bagi mereka, halal bagi kita. Itulah cara mereka kekalkan kuasa. Mana pergi konon laungan pentingkan Rakyat?
4. Yang pasti kita dengar yang kuat nak bubar Parlimen ni datang dari team Barisan Nasional. Semalam Presiden UMNO dan PM6 dah berjumpa. Mereka ever ready nak bertempur PRU15 katanya. Yelah saya paham. Penutup kes SRC nak dekat dan hakim akan buat keputusan. Pandangan saya dan berdasarkan sumber Jabatan Peguam Negara, kes pendakwaan sangat kuat dan besar kemungkinan akan dapat sabitan. Masa penutup kes juga, katanya pihak pembelaan banyak buat kesilapan. Makanya, ada orang dah tak sabar nak tukar Kerajaan. Boleh ingat macam mana dia kawal jentera Kerajaan dulu untuk senyapkan kes 1MDB. Tuan puan ingat, kalau dia memerintah kembali, dia tak boleh buat sekali lagi?
5. Sama juga dengan kes Yayasan Bunian, saya percaya kes solid akan dapat prima facie kelak. Tak ke menggelabah? Makanya, apa jalan yang ada untuk potong kes separuh jalan? Tentunya untuk dapatkan kembali kuasa di tangan mereka. Senang cerita.
6. PM8 pula terus bisu tak bersuara. Saya tak pikir beliau sanggup harung pilihanraya. Sekarang beliau berdiri atas kerusi Perdana Menteri kerana mandat PRU14 ke atas PH/PPBM. Walaupun PPBM paksi TSMY jadi turncoat dan beralih kem, saya percaya Muafakat Nasional hanya bagi muka sahaja untuk dia jadi PM. Kalaulah PRU15, berapa banyak seat untuk team PM8 nanti? Bolehkah UMNO dan PAS berkompromi. Dan soalan yang paling menarik, bolehkah PM8 kekal sebagai Perdana Menteri? Kena ingat UMNO akan jadi parti majoriti. Saya percaya kalau PN menang, banyak atas tiket UMNO. Bolehkah mereka terima lagi sekali? PM bukan dari parti mereka sendiri?
7. Makanya, kalau betul PM8 ini pentingkan Rakyat dan pertimbang kedudukan beliau sendiri, beliau takkan setuju untuk bubarkan Parlimen. Beliau perlu terus yakinkan Yang Dipertuan Agong yang beliau ada kuasa majoriti. Itu sebabnya dari awal saya dah cadangkan. Ikut cara PM3 Tun Hussein Onn jadi PM. Disebabkan usul percaya dalam Parlimen. Habis cerita. Tapi tidak pulak dibuat masa sesi Mei lalu. Sekarang dah tersasar jauh. Kalau tidak dibendung dengan betul, negara akan terjerumus dengan konflik perlembagaan. Tambah dengan pandemik yang belum selesai, keadaan ekonomi yang gawat, apa yang Rakyat akan dapat?
8. Di bawah Perlembagaan, hanya Tan Sri PM yang punya kuasa. Untuk tentukan nasib negara. Sama ada lepas jawatan dengan cara terhormat atau cadangkan pada YDPA untuk bubar Parlimen. YDPA sendiri pun tiada kuasa mutlak untuk tentukan pembubaran, tanpa nasihat daripada Perdana Menteri. Kita bukannya berkonsepkan Absolute Monarchy atau Monarki Mutlak. Kena paham, negara kita berpegang kepada konsep Raja Berpelembangaan. Boleh rujuk Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan. Semua dijelaskan di situ. Maaf untuk saya cakap, kita respect YDPA, tapi Baginda perlu juga respect Perlembagaan. Budi bicara Baginda bukan mutlak. Akan sentiasa ada semak dan imbang berlandaskan Perlembagaan oleh Perdana Menteri. Itu perkara asas demokrasi.
9. Di sebelah PH jua, maaf saya perlu bersuara. Sekali lagi saya berpendirian, bukan ini masa yang sesuai untuk tukar Kerajaan. Yes, we respect your constitutional rights to claim the majority. Cuma satu, kalau setakat 1-2 majoriti, tunggu la dulu. Dapatkan lah majoriti yang lebih solid, paling kurang 130, supaya Kerajaan lebih stabil. Kalau tak, lepas ni berapa kali lagi nak tukar Kerajaan dengan ahli-ahli parti yang asyik melompat. Apa yang negara dapat?
10. Saya percaya ramai wakil rakyat terutamanya di kalangan ahli PPBM dah boleh buka mata. Janji TSMY untuk kawal ahli UMNO dengan jawatan dan mengajak mereka anggotai PPBM, tidak dikota. Makanya, PH ambil la masa yang ada. Yakinkan wakil rakyat yang genuine nak berkhidmat untuk negara. Bukan semua boleh terima bekerjasama dengan kleptokrat. Ramai saya percaya yang celik hati untuk melihat kebenaran.
11. Di sebelah PH juga, liabiliti DAP itu tak boleh disangkal. 60 tahun UMNO memerintah telah jadikan DAP sebagai “boogeyman” kepada orang Melayu. Jujur saya cakap, bukan salah UMNO 100%. Memang kerja mereka nak wujudkan persepsi. Banyak kali juga ada je ahli DAP yang contribute. Itu tak boleh nak salahkan siapa, itu salah sendiri. Tak boleh lagi jadi Bangsar Bubble atau duduk di kayangan. Selagi DAP tak boleh ubah tanggapan tersebut, masih ramai majoriti orang Melayu akan tolak PH sebab DAP. Dan amarah tersebut akan berterusan kalau PH memerintah balik Kerajaan. Dengan tahap kekuatan PH dalam media sosial yang merudum, bolehkah Kerajaan baru ini akan bertahan? Nescaya propaganda kaum dan agama akan dibangkit semula dengan dasyatnya. Adakah akan stabil Kerajaan?
12. Makanya, pandangan saya, PH perlu terus siap siaga. Dapatkan majoriti solid, rapatkan saf, perbaiki komunikasi. Nak taknak, kena paham, majoriti Rakyat nak Malay led Government. Bukan semua terbuka minda nak terima a purely clean government, strict governance, rule of law dan lantikan atas merit. Itu semua tanggapan eutopia. Yang pasti, ramai belum bersedia, walaupun kita berharap benda yang sama. Makanya, tunggu la dulu sebelum nak ubah Kerajaan. Paling kurang, lepas selesai pandemik dan rakyat sedikit lapang.
13. Yang pastinya, posting ini bercakap atas landasan saya sebagai rakyat biasa. Bukan ahli mana-mana parti. PN pun saya tak berkenan, PH pun saya tak setuju. Makanya, yang duduk di atas, tepuk dada tanya selera. Sudah lapuk pandangan yang Kerajaan atau ahli politik tahu semua benda. Dan rakyat tak perlu bersuara. Undi kami pada anda untuk mudahkan hidup Rakyat. Bukan lagi menyulitkan. Harap mereka2 yang dapat undi keramat daripada Rakyat ini, pikirkan rakyat lebih daripada kepentingan mereka untuk berkuasa. Tak kira la PN atau PH. Itu pada saya, amanah yang perlu dijaga.
Wallahu a’alam.
Salam hormat,
Liyana Marzuki