KENAIKAN BIL ELEKTRIK: PERIKATAN NASIONAL JANGAN CUCI TANGAN




Saya ingin merujuk kepada rungutan dan tidak puas hati rakyat terhadap kenaikan bil elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Perkara ini mula ditimbulkan di laman sosial sekitar 19 Mei 2020 iaitu hampir 2 minggu lepas dan sehingga hari ini perkara melibatkan soal kenaikan bil elektrik kerajaan Perikatan Nasioal (PN) masih belum dapat diselesaikan dengan baik.
Selepas aduan demi aduan dibuat, akhirnya hanya pada 28 Mei 2020 telah dilaporkan di media bahawa YB Dr Shamsul Anuar Nasarah iaitu Menteri Tenaga dan Sumber Asli mengakui perkara tersebut namun seolah-olah meletakkan kesalahan kepada rakyat yang kononnya keliru dengan pengiraan bil.
Seterusnya, Menteri berkenaan mengeluarkan lagi satu kenyataan semalam iaitu 31 Mei 2020 bahawa beliau telah memanggil pihak TNB untuk memberi penjelasan di pejabatnya hari ini.
Saya berpandangan bahawa PN tidak sewajarnya hanya menyalahkan rakyat yang kononnya keliru dengan pengiraan bil atau peningkatan penggunaan elektrik atau menyerahkan isu ini kepada pihak pengurusan TNB semata-mata.
Saya melihat perkara ini daripada 3 sudut:-
1) Dasar PN yang mengelirukan: Apa jadi diskaun bil elektrik hingga 50%?
YAB Perdana Menteri pada hujung bulan Mac telah mengumumkan bahawa kerajaan akan memberikan diskaun elektrik sebanyak 15% sehingga 50% sebulan. Malah diskaun ini diumumkan berkuatkuasa dari April 2020 selama 6 bulan.
Diskaun yang dinyatakan adalah mengikut blok tarif iaitu diskaun 50 peratus bagi penggunaan elektrik bawah 200 kilowatt, 25 peratus bagi penggunaan antara 201 hingga 300 kilowatt dan 15 peratus bagi penggunaan 301 hingga 600 kilowatt. Selebihnya diskaun 2 peratus.
Kekeliruan ini berpunca dengan janji PN sendiri bahawa bebanan bil elektrik akan dikurangkan. Pengumuman ini telah dibuat lebih daripada 2 bulan namun sepanjang isu kenaikan bil elektrik dibangkitkan, Menteri masih gagal memberi penjelasan mengenai diskaun kepada pengguna. Adakah pengguna berhak menikmati diskaun ini sehingga Oktober 2020? Ini adalah isu pokok yang perlu diselesaikan.
2) Pelaksanaan dan pengiraan bil
Terdapat 2 isu utama berkaitan dengan pengiraan bil yang boleh diselesaikan dengan mudah iaitu:-
i) bacaan bil secara anggaran berdasarkan bulan sebelumnya. Kalaulah ini yang berlaku, sepatutnya tiada bil yang lebih tinggi daripada bulan yang lalu. Ada sedikit kelemahan di pihak TNB kerana bacaan meter secara fizikal tidak dapat dibuat sepanjang PKP. Ini dapat diselesaikan dengan bacaan fizikal yang mana TNB memaklumkan akan dilaksanakan bermula 1 Jun 2020.
ii) bacaan bil diambil melebihi tempoh sebulan. Ini menimbulkan rungutan kerana kekhuatiran pengguna bahawa penggunaan elektrik yang telah melebihi blok tarif terendah akan dikira blok tarif yang berikutnya yang lebih tinggi kadarnya. Perkara ini dapat diselesaikan dengan mengambil bacaan secara prorata yang memang menjadi amalan TNB.
Sebenarnya tidak perlu timbul mengenai kekeliruan kaedah pengiraan bil jika Menteri komited daripada awal untuk membuat penjelasan yang mudah difahami.
3) Apa faedah lantik MP UMNO sebagai Pengerusi TNB?
YB Mahadzir Khalid, iaitu Ahli Parlimen Padang Terap telah dilantik sebagai Pengerusi TNB berkuatkuasa 12 Mei 2020.
Justifikasi lantikan ke dalam GLC kononnya mewakili kepentingan orang ramai tersasar.
Berdasarkan Laporan Tahunan TNB tahun 2019, secara purata pengarah bukan Eksekutif (Non-Executive Directors) mendapat bayaran sebanyak RM240,000 setahun dan elaun menghadiri mesyuarat mencecah RM112,000 setahun.
(Emolumen untuk pengerusi lebih tinggi mungkin melebihi RM500,000 setahun, namun anggaran sebenar sukar dibuat disebabkan berlaku pertukaran lantikan dan jawatan yang bertindih pada tahun 2019)
Apakah faedah kepada rakyat apabila lantikan Pengerusi TNB daripada Ahli Parlimen UMNO tidak bersuara untuk kepentingan rakyat dan bakal menerima bayaran lebih daripada RM30,000 sebulan?
KESIMPULAN
Laksanakan 3 perkara berikut sekiranya PN benar-benar jujur ingin membantu rakyat dalam soal kenaikan bil elektrik:-
1) Realisasikan diskaun yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri dengan pengurangan bayaran bil yang terpaksa ditanggung pengguna.
2) Keuntungan yang diperoleh oleh TNB pada tahun ini dan juga terutamanya akibat peningkatan penggunaan elektrik di kawasan kediaman dipulangkan kepada rakyat. Ini penting dalam keadaan ramai yang kehilangan pekerjaan dan terpaksa berdepan dengan pendapatan yang lebih rendah.
3) Lantikan Pengerusi daripada MP UMNO perlu dinilai semula. Sekurang-kurangnya, bayaran dan elaun kepada Pengerusi TNB yang baru dilantik dipulangkan sepenuhnya untuk tempoh 6 bulan.
Penerangan lanjut boleh rujuk kepada ulasan saya di https://www.facebook.com/akmalnasir.keadilan/videos/713840679427365/
Sekian, terima kasih.

No comments: