Warkah Terbuka Untuk Ahli-Ahli Politik Dan Penyokong Keadilan



Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Saudara yang dihormati sekalian,

Saya mengajak saudara hidup berprinsip dan bermaruah. Saya pernah berjumpa sedara Azmin Ali di kantin parlimen pada bulan November 2018 yang lalu. Saya di ajak untuk bersamanya untuk melawan presiden parti dengan mengatakan “i have enough numbers”. Jawapan saya maaf saya tidak akan mengkhianati perjuangan rakyat dan ahli parti. Jika saya memikirkan untuk mengejar jawatan atau hidup mewah, boleh sahaja saya mengikut sedara Azmin Ali. Tetapi itu, bukan perjuangan saya, dari awal saya berjuang untuk menegakkan kebenaran, keadilan, membela nasib rakyat dan memerangi rasuah untuk rakyat negara ini.

Saudara sekalian,

Saya bersama saudara Azmin Ali semenjak penubuhan parti untuk mengerakkan reformasi, tetapi dia bukan seorang yang berada di garisan hadapan dalam demonstrasi.

Dia seorang yang licik dalam gerak kerjanya dan biasanya dia menggunakan orang lain untuk bertindak. Pada tahun 2008 bila Pakatan Rakyat berjaya menawan Selangor. Keadilan menamakan Tan Sri Khalid Ibrahim untuk menjadi Menteri Besar Selangor dan seterusnya menjadi Pengerusi MPN Keadilan Selangor. Saudara Azmin Ali mempersoalkan kenapa tiada nama kedua di hantar pada istana.

Sehubungan dengan itu, Azmin Ali bertindak untuk menguasai keadilan Selangor.

Sesiapa yang hendak menguasai parti keadilan, hendaklah menguasai Selangor. Ekoran dari itu, Azmin Ali telah menggunakan Zuraidah Kamaruddin untuk menyerang Tan Sri Khalid Ibrahim di Kongres Keadilan di Kota Bharu atas alasan Tan Sri Khalid Ibrahim tidak menolong ahli-ahli parti terutamanya perlantikan dalam GLC. Bahkan perwakilan luar Selangor turut juga menyerang Tan Sri Khalid Ibrahim atas alasan yang sama.

Tan Sri Khalid Ibrahim telah menangis ketika menggulung perbahasan dalam kongres tersebut. Selepas kongres parti, Azmin Ali dilantik menjadi pengerusi MPN Selangor menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim dan Zuraidah Kamaruddin dilantik menjadi Timbalan pengerusi MPN Selangor.

Setelah pilihan raya ke-13, sekali lagi keadilan menamakan Tan Sri Khalid Ibrahim untuk menjadi MB Selangor. Azmin Ali sangat kecewa kerana Keadilan tidak menghantar namanya ke Istana sebagai nama kedua untuk menjadi Menteri Besar Selangor.

Berbagai usaha telah dibuat untuk menjatuhkan Tan Sri Khalid Ibrahim. Akhinya Zuraidah Kamaruddin telah mengumpul tanda tangan ketua-ketua cabang Selangor untuk mendesak Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim agar digugurkan atas alasan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim tidak dapat bekerjasama dengan parti.

Resolusi ini di bawa ke mesyuarat MPP Parti dan parti menyetujui untuk mengganti Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim. Oleh itu, diadakan langkah Kajang untuk mengganti Tan Sri Khalid sebagai Menteri Besar Selangor.


Setelah pilihan raya kecil Kajang (langkah Kajang) Nama Azmin Ali tidak dihantar oleh parti sebagai calon untuk menjadi Menteri Besar Selangor, sebaliknya parti menghantar nama Presiden. Namun Azmin Ali telah dilantik menjadi Menteri Besar Selangor setelah mendapat perkenan dari istana.

Apabila berlaku pergolakkan dalam PAS dan tertubuhnya Parti Amanah Negara. Azmin Ali kurang bersetuju dengan Penubuhan Pakatan Harapan iaitu gabungan Parti Keadilan, Parti Amanah Negara dan DAP, Azmin Ali tidak berminat menghadiri mesyuarat Pakatan Harapan di pusat dan tidak menubuhkan Pakatan Harapan di peringkat Negeri Selangor. Bahkan Azmin Ali masih membuat hubungan dengan PAS dan bercadang hendak membuat pakatan lain di Selangor dengan membawa PAS. Azmin Ali takut pertandingan tiga penjuru akan membawa kekalahan di Selangor.

Selepas PRU ke-14, nama Azmin Ali tidak dihantar parti untuk menjadi menteri kerana Azmin Ali telah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor. Azmin Ali melalui pintu belakang berjumpa Tun Daim Zainuddin dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk melobi jawatan menteri.

Atas hubungan baik dengan Tun Daim Zainuddin, Azmin Ali dilantik sebagai Menteri Kanan Kerajaan Malaysia. Azmin Ali juga telah melobi dengan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad untuk membawa masuk orang-orang rapat denganya untuk menjadi menteri dan timbalan menteri. Walaupun nama-nama mereka bukan cadangan parti.

Mereka yang dilantik oleh Azmin dan merasa terhutang budi dengan Azmin. Akhirnya menjadi orang kananya.

Selepas pemilihan parti, hubungan Azmin Ali dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim retak kerana hasrat Azmin Ali untuk menguasai Parti di tolak DSAI, DSAI melantik orang-orang lain dalam Majlis Pimpinan Pusat. Azmin Ali bercita-cita tinggi dalam politik untuk mengantikan DSAI sebagai Perdana Menteri ketika menjawat jawatan Timbalan Presiden Keadilan.

Azmin Ali telah membuat hubungan sulit dengan pemimpin UMNO. Azmin Ali berjaya membawa sepuluh MP keadilan untuk keluar parti untuk menyokong Perikatan Nasional. Inilah pengkhianatan Azmin Ali terhadap ahli Parti Keadilan dan ahli-ahli yang menyokongnya selama ini.

Bila sampai saat dan ketikanya nanti, Azmin Ali telah mengumpul Statuary declaration di Hotel Sheraton dengan pemipin UMNO dan membawa 10 orang MP keluar keadilan untuk menyertai Perikatan Nasional hingga runtuhnya kerajaan Pakatan Harapan.

Saudara Sekalian,

Saya membawa cerita ini, untuk menunjukkan betapa liciknya percaturan politik Azmin Ali mempergunakan ahli-ahli parti dan akhinya mengkhianati ahli-ahli parti yang sekian lama menyokongnya. Begitulah buasnya haiwan politik, lebih buas dari binatang buas.

Ikhlas dari,

11/3/2020
Dr. Yaakob Sapari
Ketua Cabang Shah Alam dan Naib MPN Keadilan Selangor.


No comments: