Sidang Parlimen secara maya ganti pembukaan sehari 18 Mei
Supremo DAP Lim Kit Siang mahu sidang Parlimen dilaksanakan secara maya bagi tempoh lebih lama dan berfungsi sepenuhnya bagi perbahasan dan sesi soal-jawab.
Beliau membuat gesaan itu agar sesi mesyuarat kabinet pagi ini tidak meneruskan cadangan sidang sehari pada 18 Mei ini
“Mesyuarat Kabinet pagi ini ialah peluang terakhir untuk menyelamatkan negara daripada malu kerana Parlimen sehari dan amalan buruk untuk melemahkan pengawasan Parlimen dan meneliti tindakan kerajaan berhubung pandemik Covid-19.
“Bolehkah Kabinet buat begitu, meletakkan kepentingan negara lebih tinggi berbanding kepentingan lain,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau juga merujuk Dewan Rakyat United Kingdom pada 23 April mengadakan prosiding kali pertama secara maya, termasuk soal jawab perdana menteri, dan sesi soal jawab untuk ahli Parlimen.
Sementara di Singapura pula, pindaan akan dibuat terhadap perlembagaan republik itu bagi membolehkan Parlimen diadakan secara maya, kata Lim.
Lim berkata Kabinet sepatutnya menarik balik keputusan mengadakan Parlimen sehari dan membenarkan dua hari mesyuarat secara bertemu, dan lapan hari secara maya menggunakan teknologi.
Persidangan sehari pada 18 Mei diadakan untuk Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen ke-14 akan disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Selain itu, sesi itu bagi meluluskan perbelanjaan kerajaan untuk pakej rangsangan ekonomi dalam menangani kesan Covid-19.
Ia persidangan pertama bagi tahun ini yang ditangguhkan dari 9 Mac oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang mengambil alih kuasa kerajaan pada awal Mac.
PN menggulingkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menerusi tindakan keluar parti oleh ahli Parlimen yang dirancang oleh bekas pemimpin PKR, puak Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam Bersatu, serta Umno dan PAS.
Lim dan PH mendakwa Muhyiddin mengelak persidangan Parlimen supaya kelayakannya sebagai perdana menteri tidak dapat dicabar.