LEMBAGA DISIPLIN PARTI KEADILAN HARUS LEBIH EFEKTIF LAGI



Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada Presiden Keadilan, Dato' Seri Anwar Ibrahim yang kini semakin tegas dengan soal disiplin parti.  Selepas terserlah pengkhianatan oleh beberapa pimpinan dan Wakil Rakyat dari Keadilan terhadap parti sehingga membantu menjatuhkan kerajaan mandat rakyat, sudah sampai masanya Anwar meninggalkan sikap 
" tahap dewa" nya itu.  

Beberapa pimpinan termasuk pimpinan kanan di dalam parti telah dipecat dari parti.  Mereka ini sepatutnya telah lama dipecat akibat tingkah laku "cacing naik ke mata", namun sikap Anwar yang pemaaf tahap dewa itulah menjadikan "kaduk naik junjung".  Sikap Anwar ini tidak digemari oleh ramai ahli, namun Anwar seperti biasa ada hujahnya untuk bertindak seperti "menarik benang dari tepung".  Ya, waktu itu kita sebahagian dari kerajaan dan di antara mereka itu ada sebahagiannya menjadi menteri, timbalan menteri, dan berbagai jawatan penting di dalam kerajaan PH.  Sudah tentu sebarang tindakan ke atas mereka pasti akan menjejaskan kerajaan PH sedikit ssbanyak.   Oleh kerana mereka menjadi pemimpin dan Wakil Rakyat yang dinaikkan oleh parti, mereka berpeluang menikmati jawatan-jawatan tersebut.  Malangnya, kerana ego dan sombong disertakan dengan tamak kuasa, mereka sanggup mengkhianati parti.

Sehingga kini, masih ramai lagi para penyokong dan aktivis pengkhianat tersebut berada di akar umbi yang masih belum dipecat mahu pun digantung.  Sesiapa sahaja yang sekarang ini membantu menggerakkan kerja dari pemimpin khianat ini, wajib dipecat dari parti.  Ada yang sengaja tidak mahu keluar parti walaupun di dalam hatinya tiada lagi semangat dan roh perjuangan yang dibawa oleh parti.  Mereka mahu tunggu untuk dipecat agar mereka boleh menuduh parti bertindak zalim terhadap mereka.  Hakikatnya mereka bacul dan tiada prinsip.  

Keadilan perlu menjejaki saki baki dan tulang belakang para pengkhianat ini.  Parti harus usir mereka keluar segera sebelum mereka membawa 'wabak' ke dalam parti.  Samada mereka sekarang berstatus Wakil Rakyat atau apa saja, Jika mereka jelas dilihat memperlekehkan parti, mensabotaj parti, memboikot program parti atau menyatakan sesuatu tuduhan jahat ke atas parti atau pimpinan parti di samping mempamirkan kesetiaan dan sokongan mereka kepada pengkhianat, maka wajar parti pecat mereka.  Parti Keadilan harus dibersihkan dari unsur-unsur jahat yang dibawa oleh kumpulan 'kartel' dahulu.  Jangan izinkan 'Kartel 2.0" bercambah di dalam Keadilan.  

Anwar dilihat semakin serius di dalam hal ini, namun belum cukup untuk menakutkan saki baki kartel.  Difahamkan masih banyak aduan yang masih berlonggok di atas meja Pengerusi Lembaga Disiplin parti yang belum dapat diselesaikan.  Lembaga Disiplin mesti berlaku adil di dalam meneliti setiap aduan.  Namun, jangan jadikan Lembaga Disiplin seolah-olah mahkamah yang memerlukan bukti itu ini untuk membuat keputusan.  Kita mahu keputusan yang adil berdasarkan asas yang kukuh mengikut maslahah dan kepentingan politik parti.  Jangan sempitkan kaedah di dalam membuat keputusan sehingga Lembaga Disiplin dilihat seperti diperlecehkan.  

Apakah kita perlu bukti kukuh lagi setelah kumpulan ini berpakat dan berduyun-duyun tinggalkan dewan Kongres Nasional tatkala Presiden parti masih tercongok atas pentas?  Membuat "walk out" yang dirancang untuk memalukan Presiden dan menggagalkan Kongres parti, itu adalah langkah pertama sebelum langkah menuju "Hotel Sheraton".   Walaupun tindakan sabotaj itu gagal namun tindakan mereka itu jelas biadap dan kurang ajar.  Muka-muka pengkhianat ini ada di antaranya telah dipecat dari parti tetapi ada lagi yang tanpa rasa malu dan bersalah masih berada di dalam keluarga Keadilan.  Apakah kumpulan ini tidak wajar dipecat hanya kerana tiada bukti?  

Keadilan harus segera dipulihkan.  Jangan terlalu lama 'kuarintin' pembawa wabak pengkhianat ini.  Lagi lama mereka di 'kuarintin' sedangkan jelas mereka 'positif' pembawa wabak penyakit khianat, ianya akan meresahkan ahli-ahli di akar umbi untuk meneruskan perjuangan.  Keadilan mesti berani bertindak, kita mahu ahli yang berkualiti bukannya kita mengejar kuantiti.  

WFAUZDIN NS