JIKA ENGGAN BUBAR PARLIMEN AWAL, ADAKAH ISMAIL SABRI AKAN DIPECAT DARIPADA UMNO?

 

Tindakan UMNO mendesak melalui pentas PAU2021 agar PRU15 diawalkan dan diadakan sebelum pemilihan parti adalah suatu langkah terdesak yang kemungkinan membawa kepada Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dipecat daripada parti.

Menjadi perbualan di kalangan pelbagai peringkat dalam UMNO sejak seminggu lalu bahawa jika Ismail Sabri enggan akur kepada desakan itu, apalagi jika ia menjadi keputusan yang dipersetujui oleh PAU, beliau bakal dihadapkan kepada Lembaga Disiplin dan seterusnya akan dipecat daripada parti.

Berikutan momentum mendesak PRU15 diadakan awal telah bergema di Dewan Merdeka seawal ucapan perasmian sayap-sayap oleh Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan semalam lagi dan dijangka terus dipanaskan apabila Zahid Hamidi merasmikan PAU2021 pada pagi Jumaat, disusuli sokongan ramai pembahas yang berucap, adalah difahamkan desakan itu kemudian akan dijadikan ketetapan di akhir persidangan yang harus diundi oleh perwakilan.

Dengan perwakilan dijangka meluluskan ketetapan tersebut, maka ia akan menjadi keputusan parti yang akan diasak kepada Ismail Sabri untuk dipatuhi serta diakuri.

Enggan mematuhi ketetapan parti boleh saja menyebabkan Perdana Menteri dihadapkan ke Lembaga Disiplin UMNO, seterusnya dipecat daripada UMNO.

Mungkinkah itu yang akan berlaku?

Melihat kepada begitu terdesaknya kepimpinan UMNO sedia ada mahu PRU15 diawalkan, tindakan sedemikian bukanlah sesuatu yang mustahil dan tergamak untuk mereka lakukan.

Namun demikian, harus diingat, ketetapan PAU bukanlah keputusan yang lebih tinggi daripada perlembagaan negara.

Perlembagaan negara menyebut pembubaran Parlimen adalah hak Yang Dipertuan Agong setelah mendapat nasihat daripada Perdana Menteri.

Ismail Sabri memang boleh dipecat daripada UMNO jika enggan akur kepada keputusan parti, tetapi bukan menjadi kewajipan baginya sebagai Perdana Menteri untuk patuh kepada ketetapan tersebut.

Bila masa yang sesuai untuk menasihati Yang DipertuanAgong berkaitan pembubaran Parlimen adalah merupakan hak serta prerogatif Perdana Menteri yang mana Ismail Sabri sama sekali tidak terikat kepada desakan atau tuntutan parti dalam menentukannya, tambahan jika kehendak itu dibuat secara terbuka dan melalui jerit pekik.

Malah ternampak tindakan membuat desakan terbuka itu seperti UMNO sekarang ini sudah hilang hormat kepada Perdana Menteri dan tiada adab terhadap Yang Dipertuan Agong.

Meskipun kiranya dipecat daripada UMNO kerana enggan membubarkan Parlimen lebih awal, Ismail Sabri tidak tergugur daripada jawatan Perdana Menteri kerana pelantikannya adalah atas kedudukan selaku Ahli Parlimen dan bukan atas kapasiti sebagai ahli UMNO.

Tidak berparti sekali pun, asalkan disokong oleh majoriti Ahli Parlimen, Ismai Sabri masih boleh kekal sebagai Perdana Menteri.

Bolehkah Ismail Sabri terus memiliki sokongan?

Melihat kepada MOU yang telah ditandatangani antara kerajaan dengan PH, selain PN dipercayai akan terus memberi sokongan, termasuk sebahagian Ahli Parlimen UMNO, tindakan pemecatan itu secara matematiknya tidak menjejaskan sama sekali sokongan majoriti yang dimiliki oleh Ismail Sabri.

Sebagaimana semua maklum, PH, PN dan sebahagian Ahli Parlimen UMNO lebih mahukan PRU15 diadakan pada tahun depan dengan tumpuan harus diberikan kepada menyelesaikan permasalahan rakyat terlebih dahulu.

Selain itu, berikutan beberapa kekalahan sebelum ini, sokongan PH dan PN kepada Ismail Sabri agar bertahan lebih lama juga adalah disebabkan mereka belum begitu bersedia untuk berdepan PRU15 pada tahun ini.

Melalui sokongan PH, PN dan sebahagian Ahli Parlimen UMNO itu juga, waima jika Ahli-Ahli Parlimen UMNO yang pro Zahid Hamidi dan Najib bertindak menarik sokongan terhadap Ismail Sabri sekali pun sebagaimana yang mereka lakukan sebelum ini kepada Mahiaddin Md Yasin, Perdana Menteri masih lagi ada kelebihan majoriti.

Akhirnya, Ismail Sabri, walaupun tidak berparti atau mungkin menyertai parti lain kemudiannya, PRU15 tetap akan dilangsungkan pada 2023, bukan pada tahun ini sebelum pemilihan parti sebagaimana kehendak pendesak-pendesak UMNO itu.

Dalam hal ini, apakah Zahid Hamidi dan Najib khususnya, di akhir jalan cerita, dapat menyelamatkan diri mereka daripada kes mahkamah yang sedang dihadapi jika bertindak memecat Ismail Sabri?

Atau ia akan menjadikan mahkamah lebih selesa membuat keputusan berdasarkan fakta, bukti dan keterangan saki tanpa tekanan sesiapa?

Sedemikian, cubalah pecat Ismail Sabri kalau berani? ShahbudinHusin 18/03/2022.


No comments: