‘Duit yang dicuri disimpannya dalam bank, kekalkan Melayu susah biar bergantung pada bantuan’

 


Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad menegaskan kadar bunga atas pinjaman yang dibuat atas nama 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan dijamin oleh kerajaan Malaysia adalah sebanyak RM2.7 bilion setahun.

Menurut Ahli Parlimen Shah Alam itu, kerajaan terpaksa bayar sebanyak RM7 juta sehari untuk menguruskan kadar bunga sahaja.

“Daripada RM32 bilion yang diperolehi daripada 1MDB, RM3.2 bilion ‘dimakan’ oleh Najib, disimpan oleh Najib, dicuri oleh Najib. Yang Jho Low pula (curi) RM5.9 bilion.

“RM3.2 bilion ini kalau kita simpan dalam bank, ambil bunga saja, katakan paling rendah pun empat peratus setahun, dah RM160 juta setahun.

“Maknanya, sebulan dia boleh belanja lebih RM10 juta. Duit yang dicuri dan disimpannya dalam bank, boleh dapat RM160 juta setahun,” tegasnya.

Beliau berkata demikian dalam Bicara YB Khalid Samad (Siri 146) menerusi saluran Jom Channel malam tadi.

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu mengulas pendedahan ejen Biro Penyiasatan Pusat (FBI), Erin Van Dorn di Mahkamah Persekutuan di Brooklyn, New York di Amerika Syarikat (AS) pada 14 Mac lalu.

Van Dorn dilapor berkata, ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low didakwa mencuri AS$1.42 bilion (RM5.98 bilion) daripada tiga transaksi bon yang diatur oleh bank pelaburan, Goldman Sachs untuk dana kekayaan Malaysia.

Ketika memberi keterangan pada perbicaraan kes melibatkan bekas pegawai bank Goldman, Roger Ng yang didakwa bersubahat dalam penyelewengan 1MDB, Van Dorn mendedahkan bahawa Najib mengaut AS$756 juta (RM3.2 bilion) daripada AS$6.5 bilion (RM27.4 bilion) yang diperoleh dalam tawaran bon manakala anak tirinya, Riza Aziz yang juga rakan Jho Low meraih AS$238 juta (RM1.01 bilion).

Mengulas lanjut, Khalid berkata, “jahatnya Najib” apabila dengan rakyat menghulurkan wang sehingga pengundi memuji dan terhutang budi.

“Dia masuk kampung boleh bagi duit pada makcik-makcik. Terima kasihlah Datuk Seri. Baiklah Datuk Seri Najib bagi duit.

“Bila mengundi semua undi Najib sebab baik bagi duit. Bukan duit dia pun. Kita yang kena tanggung.

“Itu yang kena RM7 juta sehari tanggungan ke atas bunga sahaja. Jahatnya Najib ni,” tegasnya.

‘Cash is king’

Dalam masa sama, Khalid menegaskan bahawa masyarakat Melayu kekal dalam keadaan susah akibat pendekatan ‘cash is king’ iaitu pemberian wang tunai untuk membeli sokongan atau merasuah.

Hal itulah, katanya, yang ditentang pihak Pakatan Harapan dan parti pembangkang lain.

“Oleh sebab Umno adalah Umno, dia nak tutup hal ini, dia beritahu pada orang Umno, sokonglah nak pilihan raya. Inilah dasar yang dikatakan ‘cash is king’ yang dibawa oleh Najib.

“Dia rompak. Dia guna duit rompakan itu. Dia boleh beli sokongan daripada rakyat kerana dia tahu orang Melayu dalam kesempitan ekonomi yang dihasilkan oleh dia dan dasar-dasar yang dia lakukan.

“Kekalkan orang Melayu dalam keadaan susah dan miskin serta bergantung pada bantuan dan sumbangan-sumbangan yang dia beri.

“Inilah yang jahatnya strategi dan pendekatan yang dipakai oleh Najib dan Umno. Inilah sebab yang kita tentang mereka daripada dulu hingga sekarang,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar rakyat menyedari bahawa tindakan Najib sememangnya membebankan negara.

Tambahnya, pendedahan terbaharu oleh ejen FBI di AS pada 14 Mac lalu itu bukti yang tidak harus dinafikan oleh mana-mana pihak.

“Kita harap rakyat akan sedar bahawa sebenarnya memang dia memang membebankan negara dengan tindakan-tindakannya itu.

“Ini pendedahan yang baru. Tiada orang boleh nafi kononnya yang curi duit itu (1MDB) adalah Roger Ng dan Tim Leissner.

“Najib yang ambil. Leissner dan Ng dapat sampingan-sampingan saja. Ratusan juta (ringgit) mungkin tetapi bukanlah berbilion-bilion seperti diperoleh Najib dan Jho Low,” kata Khalid lagi.


No comments: