Jangan berharap gaji naik tahun ini, kata majikan

 

facebook sharing button 
twitter sharing button 
whatsapp sharing button 
email sharing button 

Kajian sebuah firma pengambilan menunjukkan 80% profesional di
 Malaysia menjangkakan kenaikan gaji pada 2022 namun majikan tidak
 pasti sama ada mampu melakukannya.

PETALING JAYA: Pekerja mungkin tidak dapat menikmati kenaikan gaji seperti yang dijangkakan pada tahun ini, menurut majikan dan kumpulan perniagaan.

Presiden Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) Syed Hussain Syed Husman berkata ia terlalu awal untuk mengatakan sekiranya majikan dapat memenuhi jangkaan pekerja bagi kenaikan gaji itu memandangkan mereka masih dalam mod pemulihan.

“Pekerja perlu mengambil kira bahawa kebanyakan perniagaan masih cuba pulih daripada kemerosotan teruk yang dialami akibat pandemik Covid-19 pada 2020 dan 2021 serta banjir besar akhir tahun lalu,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata sekiranya ada kenaikan gaji, ia lebih rendah pada 2022 berbanding 2021.

“Kajian MEF mendapati pada 2021, purata kenaikan gaji untuk eksekutif dan bukan eksekutif adalah masing-masing pada 4.4% dan 4.43%,” katanya.

“Bagaimanapun, unjuran purata kenaikan gaji pada 2022 adalah lebih rendah, pada 4.37% untuk eksekutif dan 4.17% untuk bukan eksekutif.”

Ini susulan kajian oleh firma pengambilan pekerja Hays Malaysia mendedahkan bahawa lebih 80% profesional di Malaysia menjangkakan berlaku kenaikan gaji pada 2022 apabila 19% daripadanya melihat kenaikan antara 6% kepada 9% manakala 24% daripadanya pula berharap kenaikan sebanyak 10% atau lebih.

Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI) pula berkata terdapat dua sebab ketidaksepadanan antara kemahuan pekerja dengan apa yang boleh diberikan oleh majikan.

“Pertama sekali, kos sara hidup melonjak akibat pandemik,” kata Pengarah Eksekutif MICCI Shaun Cheah.

“Keduanya, terdapat kekurangan bakat profesional yang serius kerana terdapat kekurangan graduan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) dalam perancangan kebolehkerjaan.”

Katanya, memandangkan terdapat lebih banyak permintaan berbanding bekalan bagi bakat profesional, mereka boleh meminta imbuhan yang lebih tinggi, walaupun majikan mungkin tidak berada dalam kedudukan kewangan untuk menyamai harga mereka.

Cheah juga berharap Kementerian Sumber Manusia mempunyai dasar yang lebih longgar bagi membantu syarikat pulih secara berterusan.

No comments: