Sentuhan fizikal: Nasihat timbalan menteri wanita gagal memahami realiti - Nurul Izzah

'' failed to upload. Invalid response: RpcError



Nasihat Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Siti Zailah Mohd Yusoff menyarankan wanita untuk mengambil pendekatan berlembut dengan suami manakala suami menggunakan sentuhan fizikal yang "lembut" kepada isteri sekiranya tidak mendengar nasihat dipertikaikan banyak pihak.


Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar berkata, nasihat seumpama itu tidak cukup untuk menyelesaikan masalah pertelingkatan rumah tangga yang ada kalanya mencapai tahap keganasan dan meningkat di sepanjang pandemik Covid 19.


"Pandemik hanya menyaksikan peningkatan dalam keganasan rumah tangga dengan sejumlah 9,015 kes dilaporkan, kebanyakannya terhadap wanita. ‘Nasihat' oleh Timbalan Menteri ini nyata tidak membantu dan bertentangan dengan realiti dan keperluan semasa," katanya dalam hantaran di Facebook.


Beliau turut berkata, Pengerusi Biro Guaman dan Pembangunan Komuniti Wanita KEADILAN, Senator Fadhlina Sidek mengadu menerima banyak kes kes keganasan rumah tangga yang tidak terbendung dan seharusnya kerajaan menanganinya secara lebih berkesan.


"Fadhlina Sidek berkongsi betapa aktivis wanita yang mengurus kes keganasan rumahtangga sudah burn out mengendalikan kes-kes keganasan rumahtangga. Tazkirah seperti ini boleh mengundang salah faham yang serius dalam masyarakat," katanya lagi.


Nurul Izzah juga memuatkan pendapat cendekiawan Islam Dr Jasser Auda yang mengatakan sudah tiba masanya fiqh Islam mengenai keganasan rumahtangga diperbaharui bagi menyelaraskan tingkah laku umat dengan nilai-nilai keadilan, belas kasihan, kebijaksanaan, kebaikan dan kasih sayang.


Semalam, Siti Zailah mengeluarkan video beberapa tips kepada pasangan suami isteri untuk mengekalkan keharmonian rumah tangga.


Tips itu termasuk memberitahu wanita untuk mengambil pendekatan berlembut dengan suami manakala suami menggunakan sentuhan fizikal yang "lembut" kepada isteri sekiranya tidak mendengar nasihat.


Dalam video pertama Siti Zailah berkata wanita yang berdepan kemarahan suami perlu menunggu sehingga suami berada dalam keadaan tenang sebelum menegur suami.