ADA INGAT ORANG MELAYU NAK SOKONG PARTI MACAM INI KAH ?

 

Tawar MUDA tanding 5 kerusi majoriti Melayu di Johor strategi tarik pengundi atas pagar, kata penganalisis






Rabu lalu, DAP, Amanah dan MUDA mengadakan rundingan pengagihan kerusi PRN Johor, dengan DAP memberikan dua kerusi kepada MUDA iaitu Machap and Bukit Permai manakala Amanah memberikan empat kerusi. (Gambar DAP)

PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik melihat keputusan Amanah dan DAP menawarkan lima daripada enam kerusi kawasan majoriti Melayu kepada MUDA pada pilihan raya negeri (PRN) Johor lebih kepada strategi untuk menarik pengundi muda atas pagar.

Felo kanan penyelidikan strategik Akademi Nusantara Azmi Hassan berkata, perkara itu menjadi sebab mengapa keputusan berkenaan diambil dan ia bukannya kerana mereka tidak yakin untuk menarik sokongan Melayu.

Katanya, MUDA juga bukanlah sinonim dalam kalangan Melayu untuk menarik undi mereka kerana parti itu dilihat lebih kepada perjuangan orang muda pelbagai bangsa.

“Jika strategi mereka meletakkan MUDA di kawasan Melayu untuk menarik pengundi Melayu, saya tidak rasa strategi itu berkesan. Ini kerana, MUDA dan Melayu bukanlah sinonim.

Azmi Hassan.

“Pengundi Melayu tidak selari dengan perjuangan MUDA, ia lebih kepada perjuangan pengundi muda pelbagai bangsa dan bukannya hanya Melayu.

“Jadi, strategi Amanah, DAP yang menyerahkan kerusi majoriti Melayu kepada mereka dilihat lebih kepada untuk menarik pengundi atas pagar, terutama yang berusia 18 hingga 21 tahun atau 18 hingga 40 tahun,” katanya kepada FMT.

Beliau juga menyifatkan enam kerusi yang ditawarkan kepada MUDA termasuk Puteri Wangsa adalah ‘lumayan’ kerana kawasan itu mempunyai peluang untuk dimenangi.

“Enam kerusi diberikan kepada MUDA itu lumayan kerana ada kemungkinan empat atau lima daripadanya boleh dimenangi walaupun parti itu tidak mempunyai sejarah politik dan kita juga tidak tahu sejauh mana pengaruhnya,” katanya.

Ahmad Atory Hussain.

Bagaimanapun, bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) Ahmad Atory Hussain, pula menjangkakan MUDA sukar memenangi PRN Johor jika mengambil kira ‘mood’ pengundi di PRN Melaka dan Sarawak.

Katanya, ia ditambah dengan ‘mood’ pengundi muda berusia 18 hingga 21 tahun yang kurang berminat dengan politik kerana muak melihat gelagat pemimpin sekali gus menambah masalah kepada MUDA untuk mendapat sokongan memandangkan kumpulan itu adalah sasaran mereka.

“Pertandingan PRN kali ini adalah antara tiga parti utama iaitu Umno, Bersatu dan PKR. Tiga parti ini menjadi medan tarikan rakyat untuk menguji sejauh mana ia berpengaruh.

“Jadi, untuk PRN ini, MUDA dan Pejuang mungkin dianggap sebagai parti kecil dan tidak boleh masuk ke gelanggang sebenar. Bagi saya, terlalu awal untuk rakyat Johor memberi sokongan penuh kepada MUDA tetapi mungkin mereka akan membuat pertimbangan untuk memilih parti baharu pada pilihan raya umum (PRU) akan datang,” katanya.

Terdahulu, Amanah dan DAP memberi laluan kepada MUDA untuk bertanding di enam kerusi dalam PRN Johor, iaitu Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa dan Bukit Permai.

No comments: