Kerajaan Sarawak melalui
parti SUPP yang memenangi DUN DUN sekitar Miri merestui pembinaan projek 'gajah
putih' apabila Pelabuhan Miri tidak boleh menerima kapal kapal besar kerana
terletak di perairan cetek.
Menurut Naib Presiden
KEADILAN, Dr Micheal Teo, projek yang menghabiskan wang rakyat begitu banyak
itu diluluskan oleh Gabungan Parti Sarawak secara semberono dan tidak melakukan
kajian teliti sebelum membenarkan pembinaan.
"Pelabuhan Miri
menjadi projek gajah putih kerana dulu kerajaan pusat beri duit kepada kerajaan
Sarawak buat pelabuhan (tetapi tanpa kajian rapi).
"Pelabuhan Kuching,
Bintulu atau Sibu memang boleh digunakan (kapal besar) tetapi SUPP mahu buat
satu pelabuhan (di Miri). Miri port, malang tak boleh pakai dan buang duit RM400 juta.
"Kalau kita tengok
pelabuhan itu terletak di sungai, bukan laut dalam. Bertempat 2 kilometer di
(muara) Sungai Baram.
"Kuala Sungai Baram
kedalaman air 10 kaki atau 3 meter. Kalau low tide baru 4 - 5 kaki saja. Kuala macam itu kapal besar
dari Pelabuhan Kelang, Singapura mana boleh masuk?" tanya Dr Teo dalam
sidang media secara atas talian, pagi tadi.
Lokasi Pelabuhan Miri di
muara sungai
Menurut Ahli Parlimen Miri
itu lagi, pelabuhan tersebut ditertawakan oleh negara luar dan kapten kapten
kapal takut untuk membawa kapal mereka berlabuh dikhuatiri akan tersangkut pada
dasar sungai.
Oleh itu, katanya, barang
barang yang dijual di Miri jauh lebih mahal kerana terpaksa diangkut dari
beberapa pelabuhan lain yang beratus kilometer jauhnya.
"Sebab itu barang di
Miri dari Semenanjung terpaksa ke Bintulu, Sibu atau Kuching. Barang di Miri
(perlu di) hantar ke Bintulu dahulu, naik lori 3 jam. Kos bertambah. Jadi
barang di Miri lebih mahal.
"Kalau kereta seperti
Proton, mahu beli dari Pelabuhan Kelang, hantar ke Kuching dulu, dari sana
tarik (towing) sampai Miri
perlu bayar RM300.
"Ini (pelabuhan)
projek buang duit. 25 tahun pelabuhan itu wujud saya tidak pernah tengok kapal
datang dari mana mana," katanya sinis.
Sehubungan itu, Dr Teo
merayu agar pengundi pada pilihan raya kali ini bertukar kepada Pakatan Harapan
(PH) untuk memastikan wakil rakyat yang lebih baik pemikirannya dilantik.
Katanya, andai PH menang
dan membentuk Kerajaan Negeri maka projek gajah putih tidak akan berlaku lagi
dan dana akan dihemat daripada pembaziran.
"Kalau KEADILAN dapat
bentuk kerajaan, bila buat pelabuhan kita akan kaji setelitinya, dan tidak akan
buat projek cincai dan buang duit.
"Oleh itu dalam
pilihan raya ini rakyat perlu tukar. Jangan lagi kekalkan SUPP di DUN. Mereka
banyak buat projek yang menghabiskan dana. Tukar kepada calon PH dan KEADILAN
yang lebih pandai," katanya lagi.