Kes SRC International Najib Razak: Mahkamah Rayuan sampaikan keputusan dinanti-nanti hari ini



Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, dipengerusikan Abdul Karim Abdul Jalil, telah menangguhkan keputusannya selepas mendengar hujahan daripada peguam sepanjang enam bulan lalu. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Perhatian akan tertumpu pada Mahkamah Rayuan pagi ini kerana ia akan menyampaikan penghakiman atas rayuan bekas Perdana Menteri Najib Razak berhubung sabitan dan hukumannya dalam kes dana RM42 juta SRC International.

Dalam beberapa jam lagi, Najib akan mengetahui sama ada mahkamah akan membenarkan rayuannya atas tujuh tuduhan berkenaan atau mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi untuk mensabitkan kesalahannya.

Panel tiga hakim, dipengerusikan Abdul Karim Abdul Jalil, telah menangguhkan keputusannya selepas mendengar hujahan daripada peguam sepanjang enam bulan lalu.

Hakim-hakim lain yang bersidang adalah Has Zanah Mehat dan Vazeer Alam Mydin Meera.

Pasukan pendakwaan, diketuai oleh peguam ad hoc V Sithambaram, akan hadir di hadapan panel dalam prosiding hibrid untuk mendengar keputusan itu.

Bagaimanapun, Najib dan pasukan peguamnya, yang diketuai Muhammad Shafee Abdullah, akan berada di rumah atau pejabat masing-masing.

Salah seorang peguam dalam pasukan Najib, dari firma Shafee & Co, dikesan positif Covid-19 pada Isnin, mengakibatkan semua peguam mendapat status kontak rapat dalam aplikasi MySejahtera.

Najib, yang juga Ahli Parlimen Pekan, sedang menjalani kuarantin kendiri kerana beliau bersama peguamnya di firma itu pada Isnin.

Bekas Presiden Majlis Peguam Salim Bashir berkata, pindaan baru-baru ini kepada Akta Mahkamah Kehakiman membenarkan prosiding maya diadakan bagi rayuan jenayah dan sivil.

Beliau berkata, kebiasaannya perayu akan mengikuti prosiding dari penjara, manakala peguam dan timbalan pendakwa raya akan sama ada membuat penghujahan di hadapan hakim di mahkamah atau dari pejabat mereka.

“Disebabkan kejadian yang tidak dijangka, Najib akan mengetahui keputusan rayuannya dari rumah,” tambahnya.

Sementara itu, penghadang didirikan di sekitar Istana Kehakiman yang menempatkan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Bagaimanapun, kebarangkalian sebarang perhimpunan diadakan adalah rendah memandangkan keputusan rayuan akan disampaikan secara dalam talian.

Mahkamah telah mendengar rayuan Najib untuk membatalkan sabitan tujuh tuduhan salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah (CBT) membabitkan dana SRC International bermula 5 April.

Najib dituduh menyalahgunakan kuasanya sebagai Perdana Menteri dengan memberi jaminan kerajaan ke atas pinjaman RM4 bilion SRC International daripada Retirement Fund Inc.

Beliau juga didakwa atas tiga tuduhan CBT dan tiga tuduhan pengubahan wang haram berhubung dana RM42 juta milik SRC International, bekas unit 1MDB.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas mendapati Najib bersalah atas tujuh tuduhan terbabit pada Julai tahun lepas.

No comments: