Najib tadah tangan sambil pegang Yassin, Najwa minta orang ramai doakan ‘daddy’

 


Esok pastinya hari mendebarkan buat Datuk Seri Najib Razak dan keluarganya.

Apa tidaknya, pihak mahkamah bakal memutuskan rayuan bekas Perdana Menteri itu terhadap sabitan dan hukuman dikenakan terhadapnya membabitkan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd (SRC).

Menerusi hantaran di Instagram petang tadi, anak perempuannya Nooryana Najwa meminta agar orang ramai mendoakan agar ayahnya itu diberi kekuatan dan keadilan.

“Doakan agar Daddy diberikan kekuatan menghadapi semua ujian dan cabaran ini, dan semoga keputusan esok memberikan keadilan kepadanya,” kata Nooryana.

Dia berkata, sebagai hamba Allah SWT, kita hanya mampu merancang dan mendoakan yang terbaik.

“Berdepan dengan berbagai ujian tetapi kekal tenang, percaya dan yakin dengan kebenaran. Kebenaran di dunia dan di akhirat,” ujarnya.

Sementara itu, Najib yang juga bekas Menteri Kewangan memuat naik gambarnya sedang menadah tangan berdoa sambil memegang buku Yassin.

Dia yang juga bekas Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB dilihat duduk bersila di atas permaidani dengan sejadah terbentang di sisi kirinya.

“Saudara-saudari. Kenalan dan rakan-rakan serta semua yang mendoakan saya. Maaf tidak dapat solat berjemaah bersama malam ini.

“Bacaan Yassin dan doa kita buat secara maya sahaja malam ini. Atas sebab status kontak dengan pesakit positif Covid-19,” katanya dalam hantaran di Facebook malam ini.

Najib tahun lalu dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Najib, 68, menambah dia menerima banyak mesej, panggilan, dan membaca banyak ucapan yang memberikan kata-kata sokongan dan doa terhadapnya.

“Amat menghargai setiap satunya. Saya sedia menghadapi aturan dan ujian Allah SWT dengan tenang dan redha.

“Semoga Allah SWT berikan kekuatan kepada hambaNya dan permudahkan segalanya,” kata suami kepada Datin Seri Rosmah Mansor itu yang juga sedang menjalani proses mahkamah.

Prosiding keputusan membabitkan Ahli Parlimen BN Pekan itu esok akan berlangsung secara maya.

Pada 28 Julai tahun lalu, Najib dikenakan hukuman denda RM210 juta atas tujuh kesalahan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC.

SRC ialah subsidiari kepada syarikat pelaburan strategik negara penuh kontroversi, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Najib kemudiannya melalui peguam pada 2 Disember lalu, memfailkan permohonan untuk memasukkan bukti dan keterangan baharu membabitkan Tan Sri Zeti Akhtar Aziz yang didakwa boleh mengubah keputusan Mahkamah Tinggi.

Bukti baharu itu yang didakwa Najib, antaranya mendakwa bekas Gabenor Bank Negara itu bersekongkol dengan Jho Low bagi memudahkan ahli perniagaan dalam buruan itu menyeleweng dana 1MDB dan anak syarikatnya SRC International.

Pada 30 Julai tahun lalu, anak Perdana Menteri Malaysia kedua itu memfailkan notis rayuannya dengan mengemukakan 307 alasan kenapa dirinya tidak patut didapati bersalah terhadap kesemua tuduhan tersebut.

Sebelum itu, Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC.

Bagaimanapun, Najib dibebaskan selepas diikat jamin RM2 juta dengan dua penjamin sementara menanti rayuan diputuskan.



No comments: