DAH RAMAI YANG BERHIJRAH KE ENGLAND. BETAPA RUGINYA MALAYSIA...SEBAB KERAJAAN YANG NGOK

 

Tunggu keputusan Jemaah Menteri, doktor kontrak tunda mogok hari ini




Doktor kontrak ketika kali pertama mengadakan mogok di seluruh negara pada 26 Julai.

PETALING JAYA: Hartal Doktor Kontrak (HDK) menunda mogok kedua di seluruh negara yang dirancang diadakan hari ini sementara menunggu keputusan mesyuarat Jemaah Menteri.

Kumpulan yang mendesak supaya pegawai perubatan kontrak diberi jawatan tetap itu berkata, keputusan membatalkan mogok itu selepas mengambil kira kenyataan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pada 26 Nov bahawa isu berkenaan akan dibawa ke Jemaah Menteri dalam masa dua minggu.

Sebelum ini dilaporkan lebih 5,000 doktor kontrak akan mengadakan protes hari ini berhubung beberapa isu tidak dapat diselesaikan membabitkan perkhidmatan mereka.

“Sekretariat HDK mengambil maklum kenyataan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin bertarikh 26 Nov (di mana) dinyatakan bahawa dalam tempoh dua minggu dari tarikh tersebut, beliau akan membawa hal ini ke mesyuarat Jemaah Menteri agar penyelesaian dapat dicapai,” katanya dalam kenyataan.

“Sekretariat HDK dengan ini menunda seketika rancangan Hartal 2.0 bertarikh 8 Dis bagi menunggu penjelasan terperinci pihak Kementerian Kesihatan (KKM).”

Kata HDK, doktor kontrak adalah golongan penting dalam memastikan kesiapsiagaan negara berdepan wabak Covid-19 yang masih belum selesai.

“Kegagalan mendatangkan solusi konstruktif yang meyakinkan dan berkebajikan dengan kadar segera hanya menjemput eksodus #ExitKKM besar-besaran, gelombang Hartal yang kedua,” katanya.

“Kami sekali lagi mendesak pihak kerajaan memandang serius hal ini, hari ini, tanpa berdolak dalih. Keputusan di tangan kalian.”

Kumpulan itu mengadakan mogok pertama pada 26 Julai, yang menyaksikan ratusan doktor kontrak berjalan keluar dari beberapa hospital utama untuk menuntut laluan kerjaya yang adil dan faedah sama seperti pegawai perubatan berjawatan tetap.

Pada 29 Jun, Persatuan Perubatan Malaysia mendedahkan bahawa hanya 789 daripada 23,077 doktor kontrak telah diberi jawatan tetap dalam sistem penjagaan kesihatan awam negara sejak 2016.

HDK berkata, melanjutkan kontrak doktor selama dua hingga empat tahun seperti yang diperuntukkan dalam Bajet 2022 tidak memberi keyakinan bahawa mereka akan kekal dalam sektor awam dalam jangka masa panjang.

Sebaliknya, langkah sebegitu hanya “meneruskan warisan bermasalah” yang dihadapi pegawai perubatan, katanya.

Kata HDK, langkah itu juga tidak sensitif terhadap doktor-doktor muda, dan tidak patut diterima “sekalipun sebagai penyelesaian jangka pendek”.

Terdahulu, dilaporkan 514 pegawai perubatan kontrak meninggalkan perkhidmatan kerajaan antara Januari dan 26 Nov tahun ini.

No comments: