Tok Dor Hadi sudah acap kali "berkentut"(PANJANGNYA KEMAIN)


 SURAT TERBUKA

  السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ.





SALAM 
sejahtera kepada Tok Dor Hadi semoga diberikan kesihatan fizikal dan kewarasan akal oleh Allah SWT. Tak apa ya, saya panggil Tok Dor sahaja, bukan Ayah Chik atau pun Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Tok Dor lebih mesra dan indah bagi saya. 

Tok Dor kalau dalam pewayangan adalah "Balang Tua" orang yang sakti berlidah masin dan ilmu tinggi.

Mula-mula nak ucap terima kasih kepada Tok Dor kerana terus memberi sumbangan ilmu, baik melalui tulisan, syarahan mingguan di Masjid Rusila dan sebagainya. 

Tidak sia-sia Tok Dor mengaji jauh ke Timur Tengah dan menelaah banyak kitab dan menghafal sebahagian besar sirah dan sejarah. Beruntung pula kami dapat menumpang mendapat ilmu dan menerima tempias semangat Islam Tok Dor selama ini.

Seperti juga saya, Tok Dor adalah manusia yang tidak sempurna, jauh sekali daripada maksum. Dengan menerima hakikat itu maka kita perlu mengakui kelemahan kita, maka sedialah kita dengar dan mengambil perhatian teguran orang lain. Usah merasakan kita syumul segala-galanya. Kita jangan keras “keng” dengan pendapat dan pandangan kita semata-mata. Seterang dan setajam mana mata Helang ia tetap terbatas jua.

Dahaga. 

Ilmu itu sebanyak air di lautan, yang mana tidak akan habis kita menceduk dan meminumnya. Demikian juga saya dan Tok Dor, seharusnya sentiasa insaf dengan merasakan kita tidak pernah kecukupan ilmu dan perlu belajar dan menambahnya setiap masa. Sifat ilmu itu dinamika. Kedahagaan kita kepada ilmu itu menandakan kita lemah dan daif.

Dalam pada itu selebihnya kita juga perlu ikhlas, terbuka dan reda. Tentu Tok Dor membaca dan memiliki kitab mengenai IkhlasSyukur dan Reda. Mengarifi tanggung-jawab melaksanakan amanah Allah dengan sebaik-baik mungkin penuh berhikmah jangan sesekali mengelirukan dengan motif dan kehendak peribadi dan puak. Itu helah Syaitan.  Berdosa. Dalam doktrin Islam apabila cukup nasab dosa kita akan ke Neraka. Kerja-kerja mengalihkan pintu Syurga adalah perbuatan keji.

Yang dilihat Allah SWT bukan darjat dan pangkat duniawi seseorang, tetapi keimanan dan ketakwaan. Syurga itu sendiri adalah milik orang Muslim yang beriman dan bertakwa.

Tok Dor yang dikasihi lagi dihormati,

Saya baru membaca catatan Tok Dor berhubung pencerahan mengenai Proklamasi Darurat yang dibuat oleh boss Tok Dor, Muhyiddin Yassin 12 Januari lalu. Panjang lebar pencerahan dibuat Tok Dor itu yang motif dan tujuannya untuk mempertahankan tindakan darurat itu. Surat itu dibelit dan dijalin demikian indah dan bersinar dengan hadith dan ayat-ayat Quran menjadikan ia sebuah bubu untuk mempertahankan darurat. Tetapi sayang ia merupakan sebuah bubu yang di dalamnya ada ikan busuk. 

Wajar kalau Tok Dor mengambil tanggungjawab mempertahankan kerajaan Tok Dor. Saya tidak marah melulu, (kita berdemokrasi walaupun ada kerajaan Curitokrasi), dan harap Tok Dor juga tidak berkecil hati melulu dengan warkah ini. 

Pencerahan Tok Dor itu boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian, tentang jenis darurat, kaedah melaksanakannya dan keperluannya. Tok Dor menyebut darurat ada dua jenis, mu’ajjal, dan muajjal (dekat-dekat dengan maksud mu-Dajal)Mu’ajjal bererti yang perlu disegerakan, manakala muajjal yang boleh ditangguh atau dilewatkan. Manakala hurai Tok Dor, dalam melaksanakan darurat itu ada dua kategori dalam waktu yang sempit (mudoyyaq) dan dalam waktu yang luas (muwassa). 

Tok Dor ada mengemukakan mithalan atau contoh untuk memahami perkara ini dari konteks Fikh Islam.

Pencerahan Tok Dor jelas, tiada khilaf dengan memberi contoh kebakaran dan penyelesaiannya oleh Bomba. Kebakaran termasuk dalam darurat mu’ajjal, dalam kategori mudoyyaq yang perlu segera diatasinya. Bomba tidak boleh bertangguh-tangguh kerana kalau tangguh, semua harta benda musnah dan ia akan merebak boleh menjahamkan lebih ramai orang lagi. Walaupun ada ahli Bomba yang mempertikaikan memberi alternatif lain, tetapi tidak boleh dipatuhi dan dituruti lagi.

Bagi menguatkan keperluan ini, Tok Dor ada memetik kata-kata Uthman Affan yang berbunyi;

“Sesungguhnya Allah mengizinkan pihak yang berkuasa memerintah untuk melaksanakan apa yang tidak diperintahkan oleh al-Quran.” (Ibn al-Athir dalam al-Nihayah fi Gharib al-Hadith wa al-Athar, jld. 5, ms. 180).

 

Tersirat yang tersurat. 

Petikan ini sangat signifikan dengan apa yang kerajaan perlakukan sekarang ini mengisytiharkan darurat ke atas negara. Tok Dor beri cop mohar kepada kerajaan atas apa dilakukannya bersandarkan kepada petikan itu. Dengan petikan kata-kata Khalifah itu diharap tindakan kerajaan itu tidak dipertikaikan. Itu maksud tersirat Tok Dor tetapi telah tersurat.


Menarik hujahan dan tamsyilan Tok Dor itu. Mereka yang mudah cair dengan petikan-petikan Hadith dan ayat Quran tanpa memahami asbabun nuzulnya, akan terus lena dan mencair serta khayal. Tetapi apa yang saya hendak tanya dan kurang faham, apakah keadaan Malaysia semasa pengisytiharan itu sudah sampai ke tahap mu’aajal yang difahami oleh Tok Dor itu dan dalam kategori mudoyyaq? Apakah pengisytiharan itu perlu disegerakan tanpa perlu melihat kepada beberapa keperluan dan implikasi lain yang mungkin timbul. 


Tok Dor sependapat dengan alasan digunakan boss Tok Dor semasa menyampaikan perutusan proklamasi itu, darurat itu kerana untuk mencegah Covid yang dilihat semakin ketara pemerebakan pandemik itu ke belakangan ini. Ia berdasarkan kepada angka-angka yang disusunatur oleh pihak KKM yang sudah mencecah 3,000 an.

Alasan itu tepat kalau ia sememangnya tepat begitu. Tetapi apa yang menjadi persoalannya Tok Dor, darurat itu masih membawa maksud lain, ia bukan hakikatnya semata-mata untuk mencegah Covid. Ada tindakan sambil menyelam minum air di sini. Atau sebutir batu mengenakan dua ekor burung. Atau seperti orang makan tebu manis ditelan sepah dibuang?

Kenapa dikatakan begitu. Timbul pertikaian tanpa darurat itu pun Covid sudah boleh diatasi dengan langkah Perintah Kebenaran Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan itu. PKP, PKPB, PKPD dan sebagainya dikira sudah mencukupi untuk membendung, memutuskan rangkaian Covid. Hasilnya sudah berjaya, apabila PKP pertama dilaksanakan, pandemik itu sudah menurun. Bagaimana pun ia bangkit kembali pada gelombang kedua, dan kini memasuki gelombang ketiga.

(Sudah Asar Tok Dor elok kita solat dahulu) (Iya sudah solat kita sambung.) 4:46 petang.

Tok dor Tidak Tegas.

Apakah Tok Dor sedar kenapa Covid bangkit dan merebak kembali. Sebabnya kerana PKP sudah ditarik balik dan sekatan dilonggarkan. Makanya untuk membanteras Covid patut diadakan PKP kembali tanpa darurat pun. Selain itu dalam melaksanakan PKP ini kerajaan Tok Dor tidak tegas, ada tindakan pilih kasih. Kalau rakyat marhean dikenakan denda sampai RM10,000 dan penjara. Tetapi kalau kawan Tok Dor hanya RM1,000 sahaja. Kenapa Tok Dor tidak berbunyi dalam isu ini dan terus jadi syaitan bisu? Apa kerana mulut dah masuk sagonkah?

Jika difahami kepada hakikat ini maka jelas, darurat itu sendiri tidak diperlukan kerana PKP sudah mampu untuk mengatasinya. Ramai pakar perundangan, ahli akademi mengatakan darurat tidak perlu pun untuk kawal Covid, ia sudah mencukupi dengan PKP. Mereka yang pertikai itu bukan cemburu dengan kerajaan Tok Dor, tetapi mereka melihat implikasi darurat itu terhadap negara. Ia memberi kesan langsung kepada pengembangan ekonomi. Kan sudah ramai pelabur asing mengirang untuk cabut? Sepatutnya Tok Dor gali juga hadith-hadith dan sirah berhubung hal ini juga. 

Justeru itulah Tok Dor maka orang beranggap dan mengira, pengisytiharan darurat itu bukan sangat untuk membendung Covid tetapi kerana nak membendung kuasa Tok Dor, kuasa boss Tok Dor yang makin menguncup dan menirus.

Tok Dor mungkin sedar apa yang berlaku kepada Muhyiddin beberapa hari sebelum pengisytiharan darurat itu dibuat. Beberapa ahli Parlimen daripada Umno telah menarik balik sokongan kepada Muhyiddin. Dengan penarikan itu menyebabkan majoriti (sokongan) Muhyiddin di parlimen sudah hilang. Secara automatiknya dengan hilangnya majoriti itu Muhyiddin boleh berundur atau memohon kepada Yang diPertuan Agong membubarkan Parlimen bagi diadakan pilihan raya. Jika Parlimen bubar "ghaibul ghuyup"lah kerajaan PN.

Kerana bimbang dan takut dengan situasi itulah, maka jalan mendaruratkan negara di bawah Fasal (1)Perkara 150 Perlembagaan Negara dilakukan. Apakah Tok Dor tidak terfikir keadaan ini atau diberi tahu oleh para peguam Tok Dor termasuk yang membela Tok Dor di London apabila difitnah oleh Clare Rewcastle Brown? Adalah naif kalau Tok Dor yang sudah lama berssimpuh dalam politik jahil mengenai strategi ini.

Tok Dor strategi itu adalah hak Muhyiddin. Beliau boleh melakukan apa sahaja demi mengekalkan kuasanya. Tok Dor juga turut berbuat hal yang sama tetapi berbeza. Misalnya untuk memastikan sokongan orang Melayu kepada parti Tok Dor yang juga parti gemulah Chek ambo, sanggup mengupas soal Imam dan Kufur yang memberi isyarat bahawa kalau sokongan Umno itu akan dianggap kafir. Apa dinamakan Amanat Haji Hadi yang dimaktubkan daripada ucapan Tok Dor di Banggul Peradung, Terengganu 1981 cukup berbisa.

Makanya, kalau Muhyiddin ikut sama mencari strategi tidak menjadi masalah. Bagaimana pun jangan melampau-lampau sehingga ia boleh merosakan dan menganggu sesuatu yang diputus atau menjadi konvensyen sebelum ini. Nampaknya cara Muhyiddin bergerak ke arah itu sambil mencipta sejarah baru yang boleh memburukkan sistem demokrasi negara ini. Tok Dor sebagai bertaraf ulama orang disanjung dihormati dan dipakai tetapi kalau ikut sama bersubahat sangatlah malang. 

Apa yang ingin saya menarik perhatian Tok Dor disini, ialah silap dalam mentafsirkan proklamasi darurat itu sebagai dalam keadaan mu’aajal dan termasuk dalam kategori kedua, muwassa.  Kita tidak terdesak dan masa masih ada untuk membincangkannya, bawa ke Parlimen. Adalah elok sebelum proklamasi itu ia dibawa ke Parlimen, seperti mana berlaku kepada pengisytiharan beberapa darurat sebelum ini. Contohnya untuk mendaruratkan Kelantan tahun 1977, ia dibawa ke Parlimen. Dalam Parlimen dibahas hangit dan akhirnya bila Parlimen membuat keputusan ia diterima dengan baik.

Kalau Darurat Covid itu juga dibawa ke Parlimen tentu ia tidak akan jadi sekalut hari ini. Ia juga tidak akan membawa kesan dan tafsiran busuk dan prejudis ia diadakan secara tergesa-gesa kerana motif boss Tok Dor hendak selamat diri. Di sinilah ketidakbijaksanaan kerajaan Tok Dor yang sebenarnya boleh dielakkan.

Masa masih ada untuk membawa isu darurat itu ke Parlimen. Panggil sidang Parlimen kemudian bincang bagi kepuasan kepada semua pihak. Kita semua sepatutnya berfikir untuk keselamatan negara bukan kepuasan diri sendiri. Harap Tok Dor jagalah status ulama yang dipikul dan digalas untuk laksanakan ini. Tok Dor jangan jadi keldai yang membawa kitab dari gunung ke gunung tetapi tanpa mengetahui apakah rahsia kitab-kitab yang dipikul itu. 

Tok Dor orang berilmu dan fakeh agama. Banyak kitab yang Tok Dor baca dan Tok Dor tulis. Apa yang saya bimbang bila banyak sangat Tok Dor membaca kitab lama, takut tertempuk kitab lama yang abuknya akan masuk ke mata dan menerpa muka. Sesekali kitab lama itu hendaklah di kebas-kebas Tok Dor sebelum membacanya.

Dan Tok Dor mungkin masih sedar bahawa kita di Malaysia ini bermazhab Syafie. Mengikut Mazhab Syafie kentut dikira membatalkan wuduk. Dalam perhatian saya sudah acap kali Tok Dor "berkentut" dalam memberi tafsiran dan huraian politik yang janggal dan melucukan. Jika dalam sembahyang imam "berkentut", maka wajar ia membatalkan solat, agak begitu juga kalau diamalkan dalam politik. Tok Dor dah BERKENTUT elok berhentilah.

Maaflah atas teguran ini. Mungkin saya tidak layak membuat teguran kepada orang sehebat Tok Dor. Tetapi menutupi cahaya matahari daripada panas yang boleh memudarat diri perlu meskipun matahari itu diberikan Allah untuk maslahat manusia demi kebaikan diri kita.

Saya mengambil tanggungjawab ini sebagai insan berdasarkan kepada ayat Quran surah Al Asr“Demi masa sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali bagi mereka yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan dengan sabar." Dan teringat sebuah patah berbunyi; berkata benarlah walaupun sesuatu itu pahit. 

Wallahu'alam.

Sekian Tok Dor kita jumpa lagi dilain waktu dan ketika.

MOHD SAYUTI OMAR. Wangsa Melawati, Kuala Lumpur.

3 comments:

Anonymous said...

Bkn apa bila org melayu berpecah belah akibat dari amanat tersebut maka dosa pun bertimbun bagi yg membuat amanat... so sebelum 6 feets under eloklah satukan balik org melayu nak tebus dosa paling kurang. Nak mintak maaf pd org melayu x pulak pernah ku dengar...ego setinggi bukit Ajil.

Anonymous said...

Terimakasih kerana allow annoy comment...

Anonymous said...

Malas nk bincang tentang tok guru nih mungkin beliau ada satu alasan yang universe cium tangan beliu dulu muuah muuahh...

Selangor perlu turunkan kes cov9 pada tahap yang paling sifar.

(function() { var d = document, w = window; w

APA PUNYA NASIB LA....Kakitangan Kementerian Komunikasi dan Multimedia diminta ‘like’, ikut akaun media sosial menteri?

FMT Reporters  - April 21, 2021  Tangkap layar tular di media sosial yang dikatakan mengandungi “permintaan” kepada kakitangan Kementerian K...