DEMI KUASA, JAWATAN DAN WANG RINGGIT, MAKA SANGGUP BERSEKONGKOL DENGAN PENYAMUN DAN PENGKHIANAT MERUNTUHKAN KERAJAAN YANG SAH

 

Pas tetap pertahan kewajaran pengisytiharan darurat, kata Abdul Hadi

Pas tetap pertahan kewajaran pengisytiharan darurat, kata Abdul Hadi

PAS terus mempertahankan kewajaran pengisytiharan darurat yang dilaksanakan sekarang.

Malam ini Presiden PAS Abdul Hadi Awang juga berkata rakyat perlu memahami mengapa kerajaan mencadangkan agar darurat diisytiharkan.

Memetik kata-kata Khalifah Uthman Affan sebagai satu daripada dalil hujahnya, Abdul Hadi berkata langkah darurat itu wajar dan sesuai dengan dengan konsep siyasah syariyyah.

Kata-kata Uthman yang dipetik Abdul Hadi ialah: “Sesungguhnya Allah mengizinkan pihak yang berkuasa memerintah untuk melaksanakan apa yang tidak diperintahkan oleh al-Quran.”

“Maka dalam kedaan seluruh dunia sedang menghadapi wabak Covid-19 yang sedang merebak, seluruh rakyat mesti memahami tindakan tegas yang wajib diambil oleh pihak kerajaan hari ini,” katanya dalam satu kenyataan

Duta khas perdana menteri ke Timur Tengah itu juga menasihatkan “pihak yang berkenaan” agar tidak mengumumkan berita yang boleh membuatkan orang ramai takut sehingga mereka menjadi panik.

“Ini disebabkan, bukan semua orang boleh menanggung berita yang menakutkan, walaupun berita tersebut adalah benar, apatah lagi berita bohong.

“Maka kerajaan wajib bertindak dengan tindakan yang tegas mengikut lunas undang-undang darurat terhadap sesiapa sahaja yang tidak bertanggungjawab menyebarkan berita bohong dalam kalangan masyarakat yang gelisah dengan pelbagai bencana yang berlaku,” katanya.

Untuk rekod kenyataan membela darurat dibuat Abdul Hadi pada malam ini bukanlah yang pertama kali dikeluarkan.

Pada 13 Jan lalu ahli parlimen Marang itu berkata, pengisytiharan darurat “wajib dilaksanakan” kerana keadaan negara yang sedang berdepan dengan Covid-19 dan politiking yang tidak berkesudahan.

“Darurat bagi menyekat penularan wabak Covid-19 wajib dilaksanakan,” katanya.

Selain dikritik pembangkang, pengisytiharan darurat – yang dibuat ketika sekurang-kurangnya tiga ahli parlimen menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin – juga tidak disenangi Umno iaitu rakan PAS dalam Muafakat Nasional.

Semalam Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan juga menuntut agar perlembagaan tidak lagi “dilumpuhkan”, parlimen dipulihkan fungsinya dan demokrasi dikembalikan.

“Untuk melumpuhkan perlembagaan – sama ada sebahagian atau sepenuhnya – tidak pernah membantu kita pulih daripada pandemik,” katanya.

Pengisytiharan darurat dan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) juga memaksa Umno menangguhkan perhimpunan agung tahunan mereka yang sepatutnya diadakan pada 30 dan 31 Jan ini.