Rakyat kecam Muhyiddin ulang intipati Belanjawan 2021, tiada bantuan baru

 

Oleh Zamzani Husin

Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin menerima kecaman daripada warganet selepas beliau menyampaikan perutusan berkenaan bantuan khas sempena pelaksanaan PKP 2.0, semalam.

Ini selepas rata-rata daripada mereka mendapati tiada bantuan baru yang diumumkan ‘Bapa Perutusan Negara’ itu kerana dilihat hanya mengulang perkara yang pernah disebut dalam Belanjawan 2021.

Seorang pengguna Twitter, @hafizkenny antaranya, menyentuh mengenai penyaluran Bantuan Prihatin Nasional 2.0 yang kononnya dipercepatkan.

Terdapat juga warganet yang mempersoalkan pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menerusi i-Sinar yang dianggap kononnya sebahagian bantuan daripada kerajaan.

Kekecewaan rakyat ini pernah disuarakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sebelum ini. Beliau menyifatkan pelaksanaan PKP 2.0 sebagai lemah kerana tidak diiringi dengan bantuan yang mencukupi kepada rakyat.

Situasi PKP yang mencabar menurut beliau, perlu diiringi dengan pakej rangsangan ekonomi yang besar bagi memastikan mata pencarian ekonomi rakyat tidak terjejas.

Mantan Menteri Kewangan itu antara lain menggesa supaya kerajaan menyediakan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM45 bilion.

Beliau mencadangkan kenaikan pembayaran bantuan bulanan kebajikan masyarakat kepada RM1,000, termasuk kepada penganggur.

Beliau turut menggesa pelanjutan automatik moratorium pembayaran balik pinjaman bank, tidak termasuk golongan 20% teratas, sehingga tarikh akhir Perisytiharan Darurat pada 1 Ogos yang akan membantu 8 juta individu dan syarikat Malaysia.

Namun, sepertimana saranan Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang agar kerajaan mengambil pendekatan “keseluruhan masyarakat” dan “keseluruhan kerajaan” bagi menangani wabak Covid-19 tidak diendahkan, begitu juga cadangan suntikan fiskal berkenaan. 





No comments: