Membaca tulisan Khalid Jaafar, bekas penasihat khas Azmin Ali dan suatu ketika pernah menjadi Setiausaha Akhbar Anwar Ibrahim yang bertajuk “Kenapa Kerajaan PH Runtuh?”, satu-satu kesimpulan mudah daripadanya ialah ia penuh dengan penyelewengan fakta, pembohongan dan cuba mengaburkan pandangan orangramai terhadap hakikat yang sebenar.
Agaknya Khalid merasakan sebagaimana “video Haziq” boleh ditanggapi kabur oleh pihak berkuasa, beliau juga mampu mengaburkan pandangan orangramai tentang sebab-sebabnya runtuhnya kerajaan PH.
Bagi yang belum membaca tulisan Khalid itu, ia boleh dibaca seperti link di bawah – https://www.facebook.com/680181170/posts/10157952879846171/
Tindakan Khalid menuduh bekas bossnya, Anwar melakukan “pukulan maut” terhadap Tun Mahathir Mohamad berhubung peralihan kuasa, khususnya dalam mesyuarat Majlis Presiden PH pada 21 Februari lalu adalah punca segala-segalanya, sebenarnya 100 peratus tersasar daripada kebenaran.
Kata beliau, jika “pukulan maut” itu berjaya dilakukan, Tun Mahathir akan menjadi “lame duck Prime Minister” atau Perdana Menteri yang tidak berfungsi.
Walaupun tidak disebut, gambarannya seolah-olah berikutan itulah Azmin telah menggerakkan cubaan rampasan kuasa melalui kerjasama dengan Muhyiddin Yassin, UMNO, Pas, GPS dan lain-lain parti di Hotel Sheraton, Petaling Jaya, Ahad lalu.
Ia kemudian membawa kepada perletakan jawatan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi Bersatu. Tun Mahathir kemudian dilantik sebagai Perdana Menteri interim oleh Yang Dipertuan Agong.
Satu perkara yang Khalid lupa, sengaja lupa atau beliau juga mungkin kabur macam “video Haziq”, walaupun ada permintaan untuk menetapkan tarikh peralihan kuasa pada mesyuarat Majlis Presiden pada 21 Februari, keputusan konsensus akhirnya ialah memberi ruang kepada Tun Mahathir menetapkan sendiri bila mahu berundur selepas selesai Sidang Apec pada November depan.
Sebab itu, Tun Mahathir dengan bangganya mengumumkan keputusan mesyuarat Majlis Presiden itu seperti berikut:-
“Akhirnya semuanya diserah kepada saya. Apa yang saya cakap mereka akan turut. Peralihan kuasa akan berlaku selepas Apec.
“Tiada tempoh masa (timeframe), terpulang kepada saya sama ada saya nak lepas atau tidak. Itulah kepercayaan dipersetujui oleh Majlis Presiden,” kata Tun Mahathir.
Jika sudah begitu keputusan Majlis Presiden itu, di mana adanya “pukulan maut” yang konon telah dilakukan oleh Anwar kepada Tun Mahathir?
Lebih kabur lagi, dengan keputusan mesyuarat Majlis Presiden yang jelas memberi keselesaan kepada Tun Mahathir itu,!untuk apa sebenarnya Azmin menggerakkan komplot “Langkah Sheraton”?
Adakah Azmin tidak puas hati dengan keputusan Majlis Presiden dan merasakan masa depan politiknya semakin gelap selepas Sidang Apec nanti, lalu bertindak singkat akal untuk mengekalkan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri sehingga habis penggal melalui pembentukan sebuah kerajaan pintu belakang?
Jika kita teliti kenyataan dan tindakan Tun Mahathir kemudiannya sehingga membawa kepada perletakan jawatannya, tidak diragui lagi runtuhnya PH adalah adalah disebabkan tindakan Azmin menggerakkan Langkah Sheraton itu.
Dalam kerakusannya bermain politik, Azmin didapati bukan saja menjual nama Tun Mahathir untuk mendapat sokongan, malah memberi maklumat bohong kepadanya sehingga Perdana Menteri dalam pengakuannya kepada Anwar, Guan Eng dan Mohamad Sabu, telah menzahirkan rasa malu kerana dituduh mahu bekerjasama semula dengan UMNO yang sudah rosak dan penuh dengan perasuah.
Jika Azmin tidak menggerakkan “Langkah Sheraton” dan akur dengan keputusan Majlis Presiden berhubung peralihan kuasa kepada Anwar akan berlaku selepas Sidang Apec, tidak ada sebab untuk Tun Mahathir meletakkan jawatannya.
Jadi, buat Khalid yang selalu mengepit buku bersama, rajin-rajinlah menelaah fakta bahawa runtuhnya kerajaan PH adalah disebabkan kerakusan serta ketamakan Azmin yang enggan akur dengan keputusan mesyuarat Majlis Presiden serta cuba membohongi Perdana Menteri.
Selain itu, meskipun isu peralihan kuasa adalah ketetapan atau konsensus PH sejak sebelum PRU14 lagi, malah Perdana Menteri sendiri berkali-kali mengatakan akan melakukannya dalam tempoh dua tahun, orang yang paling kerap mempertikaikannya dengan mahukan Tun Mahathir kekal sehingga habis penggal adalah Azmin sendiri.
Malah, desakannya meminta Tun Mahathir kekal sehingga habis penggal adalah lebih kerap dilakukannya berbanding menghadiri mesyuarat PKR, walaupun berkedudukan nombor dua dalam parti.
Lebih daripada itu, meski memegang jawatan Menteri Hal Ekonomi, Azmin juga sebenarnya lebih digelar “Menteri Hal Ehwal Politik” kerana lebih banyak bercakap mengenai politik dan mengampu Tun Mahathir sejak Mei 2018 lagi.
Kini, perkembangan mutakhir dengan UMNO dan Pas sudah menarik balik sokongan kepada Tun Mahathir, sementara Azmin sudah dipecat daripada PKR, kerajaan PH yang runtuh sebelum ini pasti akan terbina semula.
Selepas ini, bukan saja PKR sudah bersih daripada golongan pengkhianat seperti Azmin, bahkan dalam PH yang baru nanti juga, kalau pun Azmin masih ada di dalamnya, ia tidak lain adalah kerana sisa-sisa kasihan berikutan tindakan mengampunya yang berterusan terhadap Tun Mahathir yang tentunya disertai ketakutan agar “video Haziq” tidak segera dicerahkan daripada kekaburan. (ShahbudinHusin 26/02/2020)