Keterbukaan media Malaysia positif tetapi perlahan
Perubahan kerajaan persekutuan tahun lalu telah menunjukkan perubahan lebih positif dalam kebebasan media di negara ini.
Persekutuan Wartawan Antarabangsa (IFJ) dalam Laporan Kebebasan Media di Asia Tenggara 2019 berkata, tahap kebebasan itu menunjukkan kemajuan, bagaimanapun ia tidak berlaku secepat yang diharapkan mereka.
IFJ berkata, masih terdapat beberapa undang-undang di negara ini yang menghalang kebebasan bersuara.
“Terdapat kemajuan yang ketara dari segi kebebasan akhbar di Malaysia sejak perubahan kerajaan pada tahun 2018, sekurang-kurangnya media lebih berani.
“Bagaimanapun, banyak pembaharuan yang dijanjikan tidak tercapai secepat yang diharapkan, kerana banyak undang-undang yang menyekat kebebasan ekspresi.
“Walaupun ada usaha untuk menghapuskan Akta Antiberita Tidak Benar namun pentadbiran HARAPAN seolah-olah mahu meneruskannya kerana terdapat berita palsu yang menimbulkan ancaman kepada keselamatan negara,” kata laporan itu.
Menurut IFJ, wartawan di Malaysia secara khusus menuntut pemansuhan Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984, yang telah digunakan kerajaan sebelum ini untuk membatalkan lesen akhbar.
Walaupun akta tersebut telah lama tidak digunakan, namun laporan itu menyatakan undang-undang lain seperti Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia masih dikuatkuasakan..