AZMIN DAN KABILAH PINTU BELAKANG


Image result for AZMIN
MELIHAT tindak tanduk terkini politik Azmin Ali dan pengikut kuat di keliling kelalang beliau, tak banyak perkara yang perlu dirisaukan. Apa yang dilakukan Azmin Ali ini hanya sekadar ingin memastikan beliau menjadi subjek perhatian media. Mungkin Azmin memang gemar diri beliau dilayan seperti fenomena. Publisiti buruk itu tetap publisiti yang baik bagi politikus yang gilakan lensa kamera.
Lebih tepat lagi Azmin sedang menguji kesabaran kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan karenah beliau. Pelbagai dinding disiplin telah beliau rempuh. Saranan kepimpinan utama PKR untuk beliau hadir ke mesyuarat diabaikan beliau tanpa rasa segan apatah lagi bersalah.Terbaru, telah berlangsung perjumpaan beberapa orang Ahli Parlimen Barisan Nasional di rumah Azmin pada malam 18 November 2019. Perjumpaan sulit ini sama ada terpecah atau sengaja dipecahkan kepada khalayak, hanya Azmin dan setiawannya yang tahu. Namun saya merasakan tidak apa yang perlu dirunsingkan mengenai pertemuan ini. Ini merupakan satu lagi gimik daripada Azmin untuk menunjukkan betapa beliau kononnya masih relevan dalam politik hari ini.
Mesejnya mudah, beliau akan terus buat masalah sehinggalah parti memecat beliau. Setelah dipecat, beliau dan juak-juak pengampu akan mendabik dada sebagai hero yang telah dianiaya kerana bersuara untuk kebenaran. Walhal kebenarannya ialah mereka ini merupakan kabilah pintu belakang yang sering menyebabkan keadaan yang tenang menjadi serabut.
Mereka inilah kabilah yang suatu ketika dahulu sangat tidak senang dengan penubuhan Pakatan Harapan (PH) sehingga mereka terus bercumbuan dengan Pas di Selangor yang pada ketika itu Azmin adalah Menteri Besarnya.
Kabilah ini jugalah yang lantang membantah apabila kepimpinan PH sepakat memilih Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri sekiranya PH berjaya membentuk kerajaan. Kata mereka Malaysia memerlukan pemimpin yang lebih muda. Itu hanya ayat berkias mereka untuk mengangkat ketua kabilah pintu belakang yang sememang bernafsu besar.
Berbeza sungguh moral ketua kabilah pintu belakang ini jika dibandingkan dengan YAB Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang sudah berada diambang kuasa apabila istana lebih cenderung memilih beliau sebagai Perdana Menteri selepas kemenangan 9 Mei 2019. Atas nama setiakawan dan berpegang pada janji, kecenderungan istana itu beliau tolak dengan penuh hemah dan bijaksana.
Oleh itu mudah untuk kita fahami bahawa apa yang sedang berlaku ini adalah kerana nafsu besar sang ketua kabilah pintu belakang yang mahu menjadi Perdana Menteri. Untuk itu beliau memuja-memuji Tun M yang suatu ketika dahulu beliau sendiri pertikaikan. Beliau cuba mempamerkan kekuatan dengan menunjukkan semua Ahli Parlimen UMNO berada di bawah telunjuk beliau.
Dengan ini ketua kabilah pintu belakang ini mengharapkan beliau akan mendapat sokongan daripada Tun M untuk menjadi Perdana Menteri. Tapi malangnya, dengan ilmu matematik mudah, nafsu besar ketua kabilah pintu belakang ini mungkin akan menjadi cita-cita yang tak tercapai. Justeru nasihat saya kepada ketua kabilah pintu belakang dan setiawannya, berhentilah mengetuk pintu belakang dan kembalilah ke pintu hadapan.
Penulis ialah Syukri Razab, Setiausaha Angkatan Muda Keadilan Malaysia



No comments: