Mampukah Pembangkang Bawa Usul Undi Tidak Percaya?








Oleh: Dr Mohd Fauzi Hj Fadzil



ULASAN: Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) mencabar pembangkang untuk membawa usul undi tidak percaya terhadapnya pada sidang Dewan Rakyat datang telah diperlekehkan oleh Ketua Penerangan Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari sebagai tindakan yang tidak melambangkan kejantanan. Fadhli menuduh cabaran yang dilemparkan oleh Perdana Menteri itu tidak bermakna kerana Kerajaan Madani tidak membebaskan kesemua Ahli Parlimen dari semua janji yang mengikat mereka untuk mengundi secara bebas di Dewan Rakyat.



Tiada perjanjian mengikat



Perkara yang dibangkitkan oleh Ahmad Fadhli sebenarnya tidak patut ditanyakan kepada Perdana Menteri kerana tidak wujud sebarang perjanjian yang mengikat antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan semua Ahli Parlimen yang menyokong kepimpinan beliau selaku Perdana Menteri ke-10.



Dr Mohd Fauzi Hj Fadzil



Perjanjian yang mengikat adalah antara Ahli Parlimen dengan parti politik yang mencalonkan mereka semasa Pilihanraya Umum ke-15 yang lalu. Kepatuhan yang diberikan oleh Ahli Parlimen kini bukan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi kepada parti politik yang mereka sertai, justeru tiada sebarang perjanjian yang mengikat ketaatan Ahli Parlimen kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim melainkan ketaatan mereka kepada parti politik yang disertai.



Speaker sentiasa bertindak adil



Ahmad Fadhli turut membangkitkan isu berkenaan status keadilan Speaker Dewan Rakyat yang akan melayan usul undi tidak percaya yang dibawa pembangkang. Perkara ini adalah sesuatu yang subjektif namun mengikut pengakuan dan janji oleh Tan Sri Datuk Johari Abdul di dalam Dewan Rakyat bahawa beliau apabila berada di kerusi Speaker akan sedaya-upaya berlaku adil.



Sebagai manusia pasti ada kekurangan Tan Sri Johari, namun beliau terbuka kepada teguran dan bersedia berunding dengan pembangkang. Layanan yang adil kepada pihak pembangkang dalam membawa usul undi tidak percaya juga mendapat jaminan daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri bahawa tidak ada sebarang halangan akan diberikan kepada usaha membawa usul tersebut ke Dewan Rakyat.



Malah usul tersebut akan diberikan keutamaan untuk dibentangkan dalam sidang Dewan Rakyat akan datang, justeru tiada alasan untuk membentangkan usul tersebut apabila Perdana Menteri sendiri telah memberi jaminan terbuka di hadapan lebih 20,000 rakyat Malaysia.



Pembangkang perlu pulihkan ingatan



Cabaran Perdana Menteri kepada pembangkang untuk membawa usul undi tidak percaya terus diperlekehkan oleh Ahmad Fadhli dengan membandingkan tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak pernah membawa sebarang usul undi tidak percaya dalam usaha mendesak Perdana Menteri sebelum ini meletak jawatan.



Seharusnya Ahmad Fadhli makan ubat untuk pulihkan ingatan jika ada masalah cepat lupa kerana semasa Tan Sri Mahiaddin Md Yasin memegang jawatan sebagai Perdana Menteri, beliau telah menggantung persidangan Parlimen selama lebih setahun bagi mengelakkan sebarang cabaran terhadap keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri dipertikaikan.



Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri telah mencabar tindakan Tan Sri Mahiaddin menasihati Yang di-Pertuan Agong menggantung Parlimen semasa tempoh darurat di mahkamah.



Justeru tidak timbul isu Datuk Seri Anwar Ibrahim enggan membawa usul undi tidak percaya semasa beliau mendesak Perdana Menteri sebelum ini berundur kerana platform rasmi untuk membawa usul undi tidak percaya telah dimandulkan oleh Mahiaddin.



Sanggupkah bawa usul tidak percaya?



Perkara asas kini yang perlu dijawab oleh Ahmad Fadhli adalah kesanggupan pembangkang untuk membawa usul undi tidak percaya sebagai cara untuk mendesak Datuk Seri Anwar Ibrahim melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri.



Pembangkang perlu mengikut undang-undang dan bukan sewenang-wenangnya menggesa Datuk Seri Anwar 'turun' daripada jawatannya. Perbuatan mengadakan demonstrasi yang hanya disertai oleh 30 orang di hadapan kediaman rasmi Perdana Menteri bukanlah langkah yang wajar dan sesuai, Dewan Rakyatlah gelanggang yang paling ampuh untuk menguji kejantanan dan Datuk Seri Anwar telah membuka gelanggangnya.



Jadilah anak jantan dan berhenti berdalih. Jika benar Datuk Seri Anwar gagal sebagai Perdana Menteri maka gabungan politik yang menyokong beliau akan menunjukkan jalan keluar kepada Datuk Seri Anwar di Dewan Rakyat.



_______________________________________________________________________________

Penulis merupakan Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Keadilan Selangor