Sebagaimana dilaporkan media, Ketua Pengarah Jkom, Mohd Khairuddin Othman diberitakan telah mengesahkan kedudukannya sebagai ketua agensi itu telah ditamatkan.
Bagaimanapun beliau enggan mengulas mengenainya dan meminta perkara itu ditanyakan kepada menteri berkaitan iaitu Fahmi Fadzil.
“Elok kalau tanya terus dan rujuk pada Menteri Komunikasi,” katanya.
Mohd Khairuddin dilantik mengetuai Jkom pada 1 Mac lalu bagi menggantikan Dr Agus Mohd Yusof yang juga ditamatkan perkhidmatannya (diminta meletak jawatan) berikutan terdedahnya skandal “video Wahab” yang menggemparkan ramai.
Ini bermakna Khairuddin hanya sempat mengetuai Jkom selama enam bulan, berbanding Dr Agus yang memegang jawatan itu selama kira-kira 10 bulan.
Bagaimanapun, kedua-dua mereka sama-sama gagal dalam tugas sebagai Ketua Pengarah Jkom di mana tiada pembayar cukai dapat melihat mereka berfungsi dengan sewajarnya membantu meningkatkan imej kerajaan melalui kerja-kerja komunikasi.
Dengan tidak sampai tempoh dua tahun, tetapi sudah dua Ketua Pengarah Jkom “belayar malam”, ini bermakna inilah kerusi paling panas dalam kerajaan madani sekarang ini.
Saya sendiri antara yang kerap mengkritik kegagalan Jkom, baik ketika di bawah Dr Agus, mahupun di era Mohd Khairuddin.
Selepas ini, sudah tentu ramai yang melobi untuk mengisi jawatan tersebut, walaupun panas tetapi glamour.
Jkom adalah agensi di bawah Kementerian Komunikasi yang menterinya ialah Fahmi Fadzil.
Selain Jkom diperkatakan ramai, termasuk oleh kalangan dalam PH sendiri, sebagai gagal teruk dalam kerja-kerja komunikasi untuk kerajaan, baik ketika era Dr Agus mahupun Mohd Khairudrin, Fahmi yang menerajui Kementerian Komunikasi juga sebenarnya lebih banyak diperkatakan tentang kegagalannya.
Ahli Parlimen Lembah Pantai dan Ketua Penerangan PKR itu bukan saia dirasakan gagal membentuk atau mewujudkan jentera media sosial pro kerajaan yang berkesan melawan pembangkang sehingga setiap hari Anwar Ibrahim kelihatan “basah kuyup” dalam serangan dan kritikan yang lebih menguasai alam maya, malah media rasmi kerajaan seperti televisyen yang dibawah kendaliannya pun tidak berjaya dipertingkatkan keberkesanannya dalam menyalurkan maklumat kepada rakyat.
Kalau mahu dibandingkan bagaimana media berfungsi, khususnya televisyen kerajaan ketika era Mohamad Rahmat, Dr Rais Yatim dan lain-lain dengan apa yang berlaku ketika di bawah Fahmi, ibarat langit dengan bumi bezanya.
Jadi, siapa pun yang akan dilantik sebagai Ketua Pengarah Jkom selepas ini, kebarangkalian untuk mereka gagal dan ditamatkan perkhidmatannya lebih awal adalah mungkin sekali.
Tidak mungkin Ketua Pengarah Jkom selepas ini mampu tampil berjaya jika masih di bawah menteri yang gagal.
Jika itu berlaku, bermakna sekali lagi masa dan dana pembayar cukai akan terbazir begitu saja.
Maka, elok jika Perdana Menteri fikirkan untuk buang Menteri Komunikasi terlebih dahulu sebelum mahu mengisi jawatan Ketua Pengarah Jkom yang baharu. – ShahbudinHusin 24September2024.