Oleh:
Abdulah Zaid
Angkatan Muda KEADILAN (AMK)
Malaysia menyelar sikap biadab Timbalan Ketua Pemuda Pas yang mendakwa Perdana
Menteri sebagai ‘banduan terhormat’.
Ketua Biro Pemahaman dan
Pemantapan, Ustaz Ashraf Hadi berkata, dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri
(ADUN) Manjoi itu bukan sahaja memalukan malah menunjukkan politik dangkal
pemuda Pas yang menggunakan cacian serta tohmahan untuk kelangsungan politik.
"Sebagai sayap parti yang
mendakwa memperjuangkan Islam, pemimpin pemuda Pas sepatutnya lebih bijak dan
berakhlak dalam setiap tindakan dan kenyataan mereka.
"Malangnya, tindakan
pemimpin pemuda Pas yang cuba membangkitkan fitnah lama ini jelas bertentangan
dengan nilai-nilai Islam yang menekankan kepentingan keadilan, menjaga maruah
dan kemuliaan akhlak," katanya dalam satu kenyataan.
Untuk rekod, Mohd Hafez Sabri
menerusi satu kenyataan mengucapkan ‘tahniah’ kepada Perdana Menteri kerana
mengakui dirinya sebagai seorang banduan.
Dengan sinis, Hafez meminta
semakan terhadap kes-kes berkaitan selain berharap tiada lagi banduan seperti
Anwar Ibrahim.
Mengulas lanjut, Ashraf
menyifatkan sikap pemimpin pemuda Pas itu menyimpang jauh daripada tokoh-tokoh
awal ulama Pas seperti Almarhum Ustaz Fadzil Noor yang menentang politik fitnah
dan keji.
Bahkan katanya, Fadzil Noor
juga tidak pernah menjadikan serangan peribadi sebagai modal politik.
"Oleh itu, AMK menyeru
pemimpin pemuda Pas kembali kepada nilai-nilai Islam yang sebenar dan
berpolitik secara berakhlak serta menjauhi fitnah yang tidak memberi manfaat
kepada umat dan negara.
"Tindakan menggunakan
fitnah lama hanya menzahirkan kejahilan dan mempersendakan ajaran Islam yang
mengutamakan keadilan, menjaga maruah dan kebaikan dalam setiap
perbuatan," ujarnya lagi.
Sabtu lalu, Datuk Seri Anwar
Ibrahim mengkritik sikap pemimpin muda pembangkang yang sering mengaitkan
status beliau sebagai bekas banduan untuk dijadikan modal mengkritik
pentadbirannya.
Sedangkan, kata Perdana
Menteri, ketika beliau menjadi mangsa kezaliman dulu nama-nama besar dalam
pembangkang seperti ulama Pas tampil membela beliau.
"Pemimpin-pemimpin Pas
antara pertama benteng pertahankan kami dan menolak fitnah seperti Almarhum
Fadzil Noor, ulama besar seperti Tok Guru Nik Abdul Aziz, imam besar seperti
Taib Azimuddin, orang-orang ini yang pertahankan saya.
"Kerana apa, kerana mereka
tahu hukum, mereka tahu Islam, mereka tahu itu fitnah, mereka tahu bagaimana
sang saka tua zalim dan menindas rakyat," katanya dipetik.
·