PROJEK DIPEROLEHI SUAMI HANNAH YEOH BUKAN IDEA BARU, IA MIRIP GRAB SAJA



Perkhidmatan demand-responsive transit, atau transit responsif atas permintaan (DRT) yang ingin diperkenalkan kerajaan Selangor bukanlah sesuatu yang baru mahupun “ground-breaking technology” seperti yang digambarkan oleh sebuah syarikat yang kini terpalit kontroversi berikutan dakwaan kronisme melibatkan seorang menteri.


Malah, pakar pengangkutan berkata sistem DRT sudah pun diperkenalkan di negara ini menerusi inisiatif swasta.


DRT ialah sistem perkongsian kenderaan untuk individu atau kumpulan yang ingin bergerak ke destinasi berlainan. 


Berbeza dengan perkhidmatan bas yang mempunyai jadual dan laluan tetap, DRT bersandarkan permintaan pengguna.


Ia ingin diperkenalkan kerajaan Selangor di Rawang, menggunakan van DRT, susulan projek rintis yang dilaksanakan di Puchong, Ampang dan Gombak. 


Inisiatif itu bagaimanapun terpalit kontroversi disebabkan ketiadaan tender terbuka dalam melantik dua syarikat – Asia Mobility Technologies Sdn Bhd dan Badanbas Sdn Bhd – untuk menjalankan projek tersebut.


Lebih mengejutkan ialah Asia Mobility Technologies diterajui Ramachandran Muniandy, suami kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, pemimpin kanan DAP yang juga bekas speaker Dewan Undangan Negeri Selangor.


Dalam menjawab tuduhan terhadapnya, Asia Mobility menyifatkan DRT sebagai “teknologi pelopor untuk pengangkutan awam” yang membolehkan perkongsian khidmat pengangkutan berpandukan 

“algoritma pintar, pembelajaran mesin untuk mengautomasikan penghantaran kenderaan dan mengoptimumkan destinasi kenderaan”.


Seorang pakar pengangkutan bagaimanapun DRT sudah pun dilaksanakan.


Munzilah Md Rohani dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) memberikan contoh aplikasi Kumpool.


“Ia bukan perkara baru. Perkongsian kenderaan atau ‘ride’sharing’ sudah ada dalam aplikasi Kumpool. Ia diuruskan sebuah syarikat di Johor walaupun sistemnya dioperasikan dari Lembah Klang,” kata Munzilah dari Pusat Kajian Pemanduan Pintar UHTM.


Menurutnya, sistem tersebut sudah pun digunakan secara tidak formal di beberapa kampus.


“Para pelajar membuat kumpulan di Telegram untuk berkongsi kenderaan ke sesi kuliah,” katanya kepada MalaysiaNow.


Aplikasi Kumpool meliputi kawasan seperti Lembah Klang, Tebrau, Genting Highlands dan Bayan Lepas.


Munzilah berkata hasil tinjauan mendapati orang ramai enggan menaiki pengangkutan awam kerana keterbatasan laluan.


“Bas contohnya, tidak boleh masuk ke taman-taman perumahan. Jadi DRT ini menghubungkan kawasan perumahan kepada stesen bas atau rangkaian pengangkutan awam lain.”


Pakar pengangkutan, Rosli Azad Khan juga bersetuju DRT bukan sesuatu yang baru, dan telah lama diperkenalkan di negara lain seperti Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun dan dikenali sebagai “community transport”.


“Ia tidak berbeza dengan aplikasi e-hailing yang digunakan secara meluas untuk kenderaan persendirian sebagai teksi, dengan beberapa hentian atau destinasi yang ditawarkan oleh aplikasi,” kata Rosli.


Menurutnya, bezanya ialah kenderaan digunakan Asia Mobility lebih besar dan mempunyai kapasiti penumpang lebih banyak.


Ini membolehkan penyambungan “first mile” dan “last mile” untuk pengguna MRT, LRT dan KTM Komuter, berbanding bas pengantara yang dioperasikan oleh RapidKL yang masih tidak tentu jadualnya, menyebabkan berlakunya kes bas terpaksa beroperasi tanpa penumpang.


Perkhidmatan e-hailing Malaysia dikendalikan beberapa syarikat seperti Grab, Maxim dan In Driver.


Rosli berkata inisiatif yang baik seperti DRT tidak wajar dihadkan kepada satu atau dua operator, memandangkan Selangor merupakan negeri yang besar dengan populasi yang padat, selain koridor-koridor perjalanan yang mendapat permintaan tinggi.


“Ada jurang antara perkhidmatan ‘first mile’ dan ‘last mile’. Ini adalah kegagalan kritikal sistem transit massa yang kerajaan negeri dan tempatan tidak tangani. 


“Ramai yang mengharapkan inisiatif Selangor Mobility untuk menangani isu ini tetapi nampaknya tidak,” tambah Rosli.


Sebelum ini, Adun Gombak Setia Hilman Idham berkata perkhidmatan DRT bukan sesuatu yang asing malah terdapat pelbagai syarikat e-hailing sedia ada yang telah pun beroperasi dengan cekap di Malaysia dan layak menjalankan perkhidmatan itu.


Sumber – https://www.malaysianow.com/my/news/2024/05/29/benarkah-drt-di-selangor-berteknologi-pelopor



No comments: