RM 1bilion galak tanaman padi di Sarawak langkah tepat - Abang Zulkifli


 Tindakan Primier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan peruntukan RM1 bilion untuk menggalakkan penanaman padi di Sarawak baru baru ini merupakan satu tindakan yang tepat.


Menurut Ahli Majlis Pimpinan KEADILAN Sarawak, Abang Zulkifli Abang Engkeh (gambar atas, menunjuk pelan), usaha berkenaan amat wajar memandangkan bumi Sarawak yang sangat subur dan masih banyak kawasan terbiar, terutama di kawasan rendah.


"Muka bumi Sarawak yang luas dan subur mampu menampung keperluan negeri dari segi tanaman padi. Asasnya ialah Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan perlu serius melakukannya. Pusat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) pula harus dipertingkatkan di semua sudut.


"Rancangan Kerajaan Sarawak mewujudkan pusat penyelidikan di semua bahagian negeri ini wajar disambut baik oleh warga Sarawak.


"Kajian pusat R&D ini kelak diharapkan bukan sahaja tertumpu kepada tanaman makanan tetapi ada kajian supaya tumbuhan yang terdapat di Sarawak dikaji keseluruhannya dari segi khasiat untuk perubatan alternatif," katanya dalam kenyataan hari ini.

Abang Zul mencuba menuai padi bersama pesawah

Ketua Cabang KEADILAN Batang Lupar itu menambah, pusat penyelidikan perlu mengkaji pelbagai tumbuhan yang tumbuh di negeri itu yang masih banyak belum diteroka khasiatnya dan diguna secara tradisional tanpa mengetahui secara tepat kandungan nilai perubatan.


Katanya, banyak saintis dunia mahu bekerjasama dengan pusat penyelidikan asalkan kerajaan Sarawak memberi galakan mencukupi.


"Saya yakin para saintis di negara maju berminat untuk berkhidmat di Sarawak. Lebih lebih lagi mereka yang berminat untuk berhijrah pada usia persaraan. Saya berpendapat Sarawak mempunyai tarikan.


"Oleh itu, selain membangunkan Pusat Sains Sarawak, Kerajaan juga disaran mewujudkan penempatan saintis .


"Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) yang dipromosi bagi membenarkan pesara negara asing yang memenuhi syarat-syarat menetap di Malaysia harus dipromosikan dengan lebih agresif. Kelainannya ialah, kawasan penempatan yang disarankan ini dikhususkan untuk para saintis," ujarnya.


Dalam kenyataan itu juga, Abang Zul mencadangkan kepada kerajaan Sarawak untuk memajukan beberapa kawasan yang sesuai bagi tanaman padi yang mampu mewujudkan peluang pekerjaan baharu kepada penduduk tempatan.


"Sebagai anak kelahiran Saribas, saya memohon supaya Primier memberi perhatian di Kawasan Delta Saribas; kawasan di Muara Kuala Saribas dan di sepanjang Batang Saribas dan Sungai Rimbas.


"Kawasan ini merangkumi dua kawasan Parlimen, iaitu Parlimen Batang Lupar Dan Parlimen Betong. Kawasan tersebut memang dikenali oleh warga Saribas sebagai kawasan yang sangat subur," katanya lagi.


Cadangan Sarawak sebagai Jelapang Padi Kedua negara juga ditimbulkan oleh Senator Abun Sui Anyit di Dewan Negara.


Sekiranya hal itu menjadi kenyataan maka Sarawak dijangka akan menjadi pembekal beras putih tempatan untuk keperluan Malaysia Timur dan akan mengekang kenaikan harga serta menutup kekurangan bekalan beras di Semenanjung.


No comments: