Selepas Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri pada 24 November lalu, selain jawatan Timbalan Perdana Menteri yang menjadi tumpuan utama, tumpuan lain ialah berkenaan barisan kabinet yang bakal dilantiknya.
Memimpin sebuah kerajaan perpaduan yang bukan dianggotai PH semata-mata, tetapi turut ada BN, GPS, GPS dan Warisan di dalamnya, ia sebenarnya bukanlah tugas mudah buat Anwar.
Tambahan lagi, beliau turut berjanji untuk mengecilkan jumlah kabinetnya berbanding 31 orang sebelum ini.
Dalam soal lantikan kabinet itu, perkara yang paling menjadi perhatian dan perbualan ialah berkenaan siapakah Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan yang bakal dilantiknya?
Anwar dijangka melantik dua Timbalan Perdana Menteri – satu daripada Semenanjung yang akan diwakili UMNO dan seorang lagi daripada Sabah dan Sarawak.
Pemimpin yang dijangka dilantik mewakili Sabah dan Sarawak ialah daripada GPS yang memiliki 22 Ahli Parlimen.
Belum dipastikan siapa wakil GPS yang akan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, tetapi besar kemungkinan ia adalah Fadilah Yusof, Menteri Kanan Kerjaraya sebelum ini.
Bagi calon daripada UMNO pula, sementara Zahid Hamidi disebut-sebut akan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri berdasarkan kedudukannya sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi PH, dikatakan wujud penentangan dan lobi pihak tertentu untuk menghalangnya diberikan jawatan tersebut.
Pihak yang menghalang itu dikatakan cuba meletakkan Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan sebagai Timbalan Perdana Menteri mewakili UMNO.
Kelewatan Anwar mengumumkan barisan kabinetnya, antara sebabnya difahamkan ialah berkaitan pengisian jawatan nombor dua itu yang masih belum dimuktamadkan lagi.
Bagaimanapun, perkembangan mutakhir menyebut, besar kemungkinan Anwar akan mengumumkan barisan kabinetnya pada esok (Jumaat) sebelum Agong berangkat ke luar negara pada Sabtu, namun belum dipastikan sama ada jawatan Timbalan Perdana Menteri bagi kouta UMNO akan diumumkan atau tidak.
Setakat ini, segala-galanya masih lagi samar dan ada laporan menyebut hanya sebahagian barisan kabinet akan diumumkan esok.
Isu kedua yang menjadi perhatian ialah pengisian jawatan Menteri Kewangan.
Difahamkan ada seorang bekas menteri adalah antara yang sedang melobi jawatan itu.
PH bagaimanapun kurang bersetuju jawatan Menteri Kewangan diberikan kepada bekas menteri berkenaan, sebaliknya mereka lebih mahukan jawatan itu dipegang oleh salah seorang pemimpin mereka sendiri.
Jika perkara itu gagal diputuskan, tidak mustahil Anwar memilih jalan tengah dengan beliau sendiri memegang jawatan Menteri Kewangan.
Rasanya dengan Anwar memegang jawatan Menteri Kewangan, ia adalah pilihan yang lebih baik bagi kerajaan perpaduan ini.
Ini kerana Anwar bukan saja pernah memegang jawatan itu selama lapan tahun sebelum ini, malah beliau diiktiraf sebagai Menteri Kewangan Terbaik Asia bagi tahun 1996. – ShahbudinHusin 01/12/2022.