Sokongan Melayu ke Umno jatuh 9%
Tinjauan pendapat terbaharu menunjukkan sokongan Melayu ke atas Umno merosot dengan drastik selepas isu skandal kapal LCS terbongkar dan disumbatnya Ahli Parlimen Pekan, Najib Razak ke dalam Penjara Kajang.
Menurut Timbalan Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli, data ‘faktor kekalahan’ Umno itulah yang memaksa pemimpin tertinggi parti berkenaan memutuskan untuk menyegerakan Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 biar pun dalam keadaan mengharung banjir hujung tahun ini.
“Tiap tiap bulan, sebagai Pengarah Pilihan Raya saya bentangkan trend sokongan terkini.
“Untuk PH ada peluang membentuk kerajaan di Putarajaya kita perlukan undi orang Melayu sebanyak 30% ke atas. Dengan syarat orang Cina dan India turun 80% mengundi seperti PRU 14
“Jadi tiap bulan kita interview pengundi secara rawak ikut statistik (sains data) untuk kita agak sentimen sokongan penbundi di bawah
“Awal Ogos bila kita telefon 2,500 orang (sample) pengundi Melayu, ‘kalau esok mengundi kamu anak undi siapa, BN, PH atau PN. Awal Ogos sokongan kepada Umno di kalangan Melayu sebanyak 27%. Nombor dua PN, nombor tiga PH. 51% kata mereka tak pasti.
“Sokongan ini di kalangan Melayu bulan Ogos sebelum skandal LCS meletup, sebelum Najib check in di Kajang.
“Awal September lepas Najib check in dan kes LCS pecah, saya tengok saya tak percaya. Sebab saya buat survey sejak Jun 2016. Daripada 27% sokongan Melayu, lepas skandal LCS jatuh jadi 18 %.
“Itu maksudnya 9% jatuh. Kalau belajar sains pilihan raya dari dari 2013 ke 2018, 7% swing sahaja di kalangan pengundi Melayu menyebabkan jatuh kerajaan Umno,” katanya dalam ceramah Jelajah Trak Ayuh Malaysia Pulau Pinang, malam tadi.
Menjawab sindiran Presiden Umno, Zahid Hamidi kononnya Pakatan Harapan (PH) takut kalah sekiranya PRU diadakan tahun ini, Rafizi bertanya siapakah yang sebenarnya ketakutan.
Katanya, pemimpin PH kebanyakannya profesional dan ada kerjaya sendiri serta tidak bergantung kepada kerja politik untuk kehidupan keluarga sekiranya mereka kalah.
Sebaliknya, kata beliau, pemimpin Umnolah yang takut kerana lebih banyak skandal akan terbongkar dan perbicaraan di mahkamah pula akan dilakukan secara adil.
“Zahid Hamidi kata saya dan pimpinan PH lain tak nak buat pilihan raya (tahun ini) sebab kami takut kalah.
“Saya nak beritahu Zahid, saya tak ada sampai 80 kes curi duit. Kalau PH kalah pun saya hidup macam biasa. Saya tak ada hutang banyak, nak beli hotel untuk anak di luar negara, saya tak ada masalah
“Kalau tanya kita takut ke tidak masuk pilihan raya, kita kata menang kalah biasalah. Yang takut menang kalah ini ialah BN, juga yang takut ialah Pas sebab mereka dah merasa hidup mewah, kereta besar, bini banyak.
“Dia takut hilang. Bersatu juga takut, yang dari KEADILAN ikut Azmin melompat. Yang khianat dengan rakyat, dia tahu kalau masuk PRU dia kena. Kalau rakyat hukum dalam PRU.
“Kalau kerajaan nanti PH, dia takut kita bagi ruang sepenuhnya kepada polis SPRM, hakim. Sesiapa makan duit rakyat, pegang jawatan dahulu, kena siasat.
“Kalau bersalah ramai ramai kita hantar dia check in dengan Najib di hotel Kajang. Kalau tak cukup boleh buat bahagian baru di Sungai Buloh,” katanya.
Mantan Ahli Parlimen Pandan itu menjelaskan PH menentang keras PRU waktu banjir semata mata kerana tidak mahu memperjudikan nyawa rakyat.
Katanya, pihak berkuasa tidak boleh berbahagi tugas untuk mengawasi PRU dan menyelematkan mangsa banjir kerana bencana alam pada era perubahan iklim ini biasanya lebih ganas daripada sebelumnya.
“Ini bukan takut PRU, ini melibatkan nyawa. Jangan ambil mudah pasal banjir. Kamu Zahid kalau banjir ada helikopter ambil.
“Kalau banjir, ratus ribu orang tenggelam. Bayangkan dalam keadaan seluruh wakil rakyat dari penjawat awam, pihak berkuasa, tentera, JPA sepatutnya tumpu selamatkan rakyat.
“Sepatutnya yang kita bincang bot, sekolah mana selamatkan rakyat. Bila nak buat PRU yang kena kerah penjawat awam.
“Polis, bomba, JPA patutnya dah tengok kawasan mana nak letak beg pasir. Bila air mula naik tak melimpah cepat bagi masa menyelamatkan mangsa.
“Ada dengar pemimpin Umno cerita pasar beg pasir? Saliran perlu dalamkan, ada tengok? 100% dia fikir kes aku hujung tahun. Aku tak nak jadi kawan Najib dalam penjara.
“Ini bukan soal menang kalah,” kata Rafizi lagi.