NAK TAU TERUK JALAN- LALU JALAN PUCHONG KINRARA- BAB BINA LRT TU CERITA LAIN..TAPI BAB NAK BAIKI JALAN HAMPAS...BUAT MALU SAJA....KUALA LUMPUR JALAN MACAM DALAM UTAN ULU TEMBELING

 

‘Naik muak dengar umum peruntukan baik pulih jalan, mana hasil’, soal Lando




Pengasas Ikatan Silaturahim Brotherhood, Lando Zawawi dan beberapa
 sukarelawan aktif menurap jalan berlubang sejak kumpulan itu
 ditubuhkan, pada 2007.

PETALING JAYA: Kerajaan tidak sepatutnya membiarkan peruntukan baik pulih jalan “tersangkut” walaupun saban kali mengumumkan ada peruntukan bagi tujuan berkenaan.

Pengasas Ikatan Silaturahim Brotherhood, Azlan Sani Zawawi atau Lando Zawawi, berkata bukanlah nilai peruntukan yang diambil kira, sebaliknya kualiti baik pulih yang boleh menjamin keselamatan pengguna di jalan raya.

Katanya, peruntukan yang diterima dalam Belanjawan 2023 khususnya dalam baik pulih jalan raya wajib diurus secara telus tanpa sebarang ketirisan demi menjamin kualiti pembaikan jalan.

Bagaimanapun, katanya, kualiti tersebut mungkin tidak dapat dicapai jika wujud unsur rasuah melibatkan pihak bertanggungjawab mengurus peruntukan yang telah disediakan.

Azlan Sani Zawawi.

“Kita nak peruntukan kali ini sampai kepada jalan itu sendiri, bukan ‘sangkut’ di mana-mana, sebab sekarang hasil yang kita dapat sangat mengecewakan, jangan ada rasuah dalam isu ini, kita tidak mahu dengar berapa nilai, kita nak tengok kualiti,” katanya ketika dihubungi FMT.

Lando yang juga pelakon dan aktivis banyak mengetengahkan isu jalan berlubang, berkata, meskipun ada peruntukan namun saban tahun pengguna jalan raya masih berdepan risiko kemalangan akibat kerosakan jalan.

“Setiap tahun ada peruntukan…tetapi hasilnya tidak sepertinya yang kita harapkan, masih ramai pemandu kena mengelak lubang, jadi mangsa jalan berlubang hampir setiap hari.

“Kita naik muak dah dengar jumlah kali ini ditambah baik, lebih banyak, ‘no we don’t care about that’ (tidak, kita tidak mahu ambil tahu soal itu), kita nak tahu hasil dia,” katanya.

Lando lagi, bersama-sama aktivis Ikatan Silaturrahim Brotherhood hampir setiap malam melakukan kerja menampal jalan di beberapa negeri menggunakan campuran sejuk asphalt dan membran bitumen.

Tahun lalu, media melaporkan, sebanyak 223 kemalangan direkodkan berpunca daripada keadaan fizikal jalan raya termasuk jalan berlubang serta rosak akibat kerja-kerja pembinaan sepanjang 2018 hingga 2020.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor Azman Shari’at, berkata berdasarkan statistik berkenaan, sebanyak 148 daripadanya adalah kemalangan maut.

Kemalangan yang berpunca daripada fizikal jalan raya banyak membabitkan penunggang motosikal iaitu 117 kes, kereta 26 kes dan enam kes membabitkan lori.

Berdasarkan data terkini yang dikeluarkan firma pendidikan pemanduan antarabangsa, Zutobi, Malaysia berada di kedudukan 12 negara yang mempunyai jalan raya paling bahaya untuk pengguna.

Menurut data firma itu, kualiti jalan raya di Malaysia telah menurun lebih 5% dalam tempoh lima tahun lalu dengan jumlah kematian jalan raya kedua tertinggi pada 22.76 bagi setiap 100,000 orang.

Secara keseluruhan, Malaysia menerima skor sebanyak 3.32 daripada 10 bagi aspek keselamatan yang berdasarkan empat faktor iaitu kualiti jalan raya, peningkatan kualiti jalan raya, kematian jalan raya, dan saiz relatif rangkaian jalan raya.