Belanjawan 2023 perlu fokus ke arah menghasilkan makanan dalam negara kerana import makanan telah mencecah sekitar RM70 bilion setahun.
Menurut mantan Timbalan Menteri Pertanian, Sim Tze Tzin, pada 2020 import makanan negara adalah sebanyak RM55.5 bilion.
Tahun 2021, Malaysia mengimport RM63 bilion makanan, naik 13.5%. Hal itu, katanya merupakan satu record tertinggi dalam sejarah.
Dengan kenaikan harga komoditi dan makanan di pasaran dunia, jelas Sim, pengimportan makanan tahun 2022 mungkin mencapai RM70 bilion.
"Maka kerajaan dalam bajet 2023 harus menumpukan segala usaha meningkatkan pengeluaran makanan domestik. Lebih kurang 1 juta warga petani, nelayan dan penternak mengharapkan kerajaan menambahkan peruntukan untuk meningkatkan pengeluaran sektor pertanian.
"Sektor pertanian mengalami tekanan yang serius pada tahun 2022," katanya dalam satu kenyataan.
Jurucakap Parlimen Pertanian dan Komoditi KEADILAN itu membariskan masalah yang dihadapi sektor pertanian berupa kenaikan kos input pertanian seperti baja yang naik 150%; makanan haiwan naik 200% dan racun serangga naik 100%.
Lebih memburukkan keadaan, katanya, subsidi kerajaan tidak mencukupi menyebabkan petani mengurangkan pengeluaran di samping masalah mendapatkan pekerja asing.
"Ketika Belanjawan 2023 menjadi tumpuan rakyat Malaysia, apakah perancangan kerajaan mengatasi segala cabaran demi memastikan sekuriti makanan rakyat Malaysia terjamin. Saya ingin mencadangkan 3 penambahbaikan dalam Belanjawan 2023 demi membantu para petani," katanya.
Sehubungan itu, Sim mencadangkan agar dirangka peruntukan khas untuk sektor pertanian seperti memperuntukan RM5 bilion Tabung Subsidi Sektor Pertanian
Katanya, sektor pertanian seperti padi beras, sayur-sayuran dan buah-buahan menghadapi kenaikan kos baja dan racun serangga.
Sektor penternakan ayam, penelur, ruminan, khinzir dan akuakultur pula menghadapi kenaikan kos makanan haiwan. Oleh itu, kerajaan harus memberi subsidi input pertanian demi mengurangkan harga makanan di pasaran.
Juga memperuntukkan RM5 bilion Tabung Pinjaman Pemodenan Agrofood
"Sektor pertanian ini perlu dimodenkan supaya mengurangkan kebergantungan kepada tenaga pekerja asing. Para petani memerlukan pinjaman faedah rendah dan mudah untuk memodenkan ladang mereka. Kerajaan harus membantu meningkatkan penggunaan teknologi dalam sektor pertanian.
"Pembebasan cukai secara automatik mesti diberikan kepada semua pengusaha, petani, nelayan dan penternak dalam sektor agro-makanan selama 5+5 tahun.
"Demi menggalakkan pelaburan dalam sektor agro-makanan, kerajaan sewajarnya memberi pembebasan cukai kepada semua pengusaha yang layak.
"Walaupun MoF ada program sedia ada, tetapi ia penuh dengan karenah birokrasi dan selalunya pengusaha kecil dan sederhana tidak berjaya mendapat pelepasan cukai. Pelepasan cukai secara automatik akan membantu petani, nelayan dan penternak yang kecil dan sederhana," katanya.
Bagi Ahli Parlimen Bayan Baru itu, tiba masanya kerajaan mengubah dasar pertanian negara kerana pada tahun tahun sebelum ini amat kurang fokus diberikan kepada sektor pertanian dan makanan.
"Masa sudah berubah. Kerajaan-kerajaan seluruh dunia telah mengubah fokus kepada sekuriti makanan. Malaysia juga perlu berubah fokus.
"Saya mengharapkan Kementerian Kewangan memberi tumpuan yang lebih serius dalam sektor pertanian dalam Belanjawan 2023 ini," katanya lagi.