Perdana Menteri Datuk Seri
Ismail Sabri dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Spekulasi kuat mengatakan
Parlimen bakal dibubarkan juga pada minggu ini dengan Perdana Menteri (PM)
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sudah diarah menghadap Yang di-Pertuan Agong
bagi mempersembahkan cadangan pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) diadakan pada tahun
ini juga.
Buat
ketika ini kuasa untuk mencadangkan pembubaran Parlimen ke-14 berada di tangan
Ismail Sabri kerana ia pregoratif selaku ketua kerajaan, namun selepas
dibubarkan kuasa tersebut sudah beralih kepada ketua parti.
Uniknya
sistem demokrasi negara, kuasa seseorang ketua kerajaan itu apabila terbubarnya
Parlimen ia akan berpindah pula kepada seseorang yang menjadi ketua parti itu
pula.
Dalam
senario semasa, apabila terbubar Parlimen, secara automatik bos Ismail Sabri
adalah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kerana watikah calon hanya boleh
ditandatangani Presiden UMNO tersebut bukan orang lain.
Malah untuk memilih calon PM
nanti juga bukan lagi kuasa Ismail Sabri tetapi Zahid yang mempunyai kuasa
untuk meletak calon pilihannya dilantik PM Ke-10 jika UMNO-Barisan Nasional
memenangi PRU-15 nanti.
Ismail
Sabri walaupun pada awalnya dipilih sebagai ‘poster boy’ tetapi jika pada saat
akhir tidak dapat menjadi PM, ia bukan sesuatu yang mengejutkan kerana kuasa
menentukan siapa yang akan jadi PM selepas ini berada pada tangan Zahid.
Episod
selepas PRN Johor adalah contoh terbaik, lihat bagaimana apabila calon Menteri
Besar yang diumum UMNO adalah Datuk Hasni Mohammad tetapi yang dilantik adalah
Datuk Onn Hafiz.
Oleh
sebab itu, pemimpin pembangkang cuba memberi nasihat kepada Ismail Sabri supaya
berhati-hati agar tidak tunduk kepada Zahid tetapi nampaknya perkara itu
diabaikan.
Dalam
perkembangan lain, spekulasi kuat mengatakan Parlimen bakal dibubar pada Jumaat
dan akan menyaksikan laluan kepada PRU-15 diadakan.
Malah,
media melaporkan Ismail Sabri akan menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Khamis
bagi mempersembahkan cadangan pembubaran Parlimen.
Dijangka
Ismail Sabri akan membawa mandat UMNO yang diarahkan kepadanya untuk
disampaikan kepada Agong bagi menimbang kehendak politik mereka.
Akhirnya
nasib 33 juta rakyat Malaysia yang bakal berdepan bencana banjir akan
ditentukan semasa PRU-15 diadakan secara tergesa-gesa sehingga tidak lagi
menghiraukan kebajikan dan kepentingan rakyat.
Kepentingan
dan kehendak UMNO lebih penting sehingga Ismail Sabri terpaksa akur dengan
partinya dan membubarkan Parlimen.
Beberapa
negeri juga sudah mengalami bencana banjir ketika ini, antaranya Johor dan
Perak dengan media melaporkan hujan lebat hampir setiap hari menjelang hari pengumuman
pembubaran Parlimen.
Pengakhirannya,
rakyat juga yang terpaksa berdepan dengan kerakusan ahli politik yang
mementingkan tembolok kuasa, kesusahan rakyat ditolak tepi demi mengejar
cita-cita parti.