DI SEBALIK TEKA-TEKI KIAN MEMBERAHI, RAMAI BERHARAP AGONG TOLAK PRU15 DI MUSIM BANJIR

 

Susulan majlis taklimat UMNO Isnin lepas, teka-teki mengenai tarikh pembubaran Parlimen kian menjadi topik yang semakin memberahikan ramai orang.

Semua parti politik, orang politik dan rakyat kebanyakan ghairah bercakap mengenainya.

Pelbagai tarikh dimunculkan sebagai logik bagi Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob akan mengadap Yang Dipertuan Agong bagi mencadangkan tarikh pembubaran Parlimen.

Ada yang berkata esok, 6 Oktober sebagai tarikh Ismail Sabri akan mengadap Agong dan seterusnya beliau akan mengumumkan Parlimen dibubarkan pada keesokannya iaitu 7 Oktober.

Jika itu berlaku, bermakna pembentangan Belanjawan 2023 yang dijadualkan pada petang 7 Oktober secara automatik akan ditiadakan.

Begitu pun, majlis mengadap esok bukanlah khusus untuk mencadangkan pembubaran Parlimen, sebaliknya ia adalah rutin mingguan bagi Perdana Menteri kerana sepanjang sesi Parlimen berlangsung, mesyuarat kabinet diadakan pada hari Jumaat.

Jika tiada sidang Parlimen, mesyuarat kabinet akan diadakan pada hari Rabu dan Perdana Menteri mengadap Agong pada hari Selasa.

Ada pula yang berkata, Ismail Sabri akan mengadap Agong pada Isnin, 10 Oktober sebelum baginda berangkat ke luar negara pada sebelah malamnya.

Seterusnya dikatakan Perdana Menteri akan mengumumkan pembubaran Parlimen sama ada pada 10 atau 12 Oktober.

Setakat ini, meski pun ada tarikh-tarikh lain yang diperkatakan, dua tarikh di atas adalah paling banyak sekali diperbualkan sama ada di alam nyata atau di alam maya.

Tetapi, harus diingat, apa jua tarikh yang disebutkan itu, ia hanya akan menjadi kenyataan jika Agong memberi perkenan kepada cadangan yang dikemukakan oleh Perdana Menteri.

Bagaimana jika Agong tidak memberi perkenan kepada pembubaran Parlimen dan mahu Ismail Sabri meneruskan khidmat sebagai Perdana Menteri sehingga habis penggal?

Sebenarnya tidak mustahil untuk Agong menolak cadangan pembubaran Parlimen kerana baginda sebelum ini pernah menolak cadangan darurat yang dicadangkan oleh Mahiaddin Md Yasin.

Lagi pula, memang termaktub bahawa Agong mempunyai kuasa untuk menolak cadangan pembubaran Parlimen.

Lebih daripada itu, suasana dalam negara ketika ini seperti ancaman banjir berikutan musim tengkujuh, kemalapan ekonomi dan kesusahan rakyat akibat susutnya nilai ringgit dan pelbagai masalah semasa lainnya adalah dirasakan tidak begitu sesuai untuk ia dijadikan medan bagi ahli-ahli politik untuk berebut kuasa.

Sabarlah dulu, tunggu lima enam bulan lagi sehingga rakyat cukup selesa dan tidak begitu terbeban lagi kehidupan mereka, barulah sesuai ketika itu untuk diadakan PRU.

Lima enam bulan lagi, macam-macam perkara boleh dilakukan oleh kerajaan untuk menyelesaikan masalah kehidupan rakyat.

Mengadakan PRU ketika pengundi tidak selesa dan dibebani dengan pelbagai masalah dalam kehidupan mungkin akan menyebabkan tidak ramai yang keluar mengundi dan akhirnya kerajaan yang terpilih bukanlah sebuah kerajaan benar-benar telah dipilih oleh rakyat terbanyak.

Sesetengah pihak barangkali gembira dengan peratusan keluar mengundi yang rendah itu kerana peluang mereka untuk menang lebih tinggi, tetapi dari segi keadilan kepada semua parti, ia langsung tidak adil sama sekali.

Semua parti politik, baik pembangkang atau kerajaan, kecuali kluster tertentu dalam UMNO, bahkan secara terbuka menolak PRU15 diadakan pada hujung tahun ini.

Termasuk menolak itu ialah PN dan Pas yang merupakan sebahagian daripada kerajaan, bahkan bilangan Ahli Parlimen kedua-duanya lebih ramai daripada Ahli Parlimen UMNO.

Jadi, bagaimana kelompok minoriti dalam kerajaan ada hak mahu membubarkan Parlimen jika golongan majoriti tidak bersetuju dengannya?

Di samping itu, meneliti kenyataan Perdana Menteri sendiri kebelakangan ini, kita dengan sendirinya dapat memahami beliau sebenarnya sedang ditekan untuk membubarkan Parlimen.

Sekurang-kurangnya ada tiga kenyataan Perdana Menteri kebelakangan ini yang memberi gambaran beliau pun mahu PRU15 tidak digopoh-gopohkan untuk disegerakan.

Pertama, beliau menyebut – “kalau kita nak buat pilihanraya kena ada asas yang kuat untuk dipercepatkan. Cuma…tarikh tu tunggulah. Kalau dari tahun lepas boleh tunggu, tahun ni pun boleh tunggu.”

Kedua, Ismail Sabri mahu Belanjawan 2023 yang dibentangkan pada Jumaat nanti mendapat sokongan untuk diluluskan, termasuk daripada Ahli Parlimen pembangkang.

“Saya percaya bajet ini akan diterima kerana ia untuk rakyat. Kalau pembangkang tolak, bermakna mereka tak setuju dengan apa yang diperuntukkan kerajaan untuk rakyat.

“Kalau bajet tak lulus, dari segi emolumen untuk bayar gaji kakitangan kerajaan pun tak boleh buat. Jadi, bajet perlu diluluskan,” tambah beliau.

Ketiga, Ismail Sabri juga menyebut tiada parti boleh mempengaruhi Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen.

Walaupun, dalam kenyataan itu beliau merujuk kepada pembangkang, tetapi tidak mustahil ia juga merupakan libasan pukul anak sindir menantu yang ditujukan kepada UMNO yang semua orang tahu sentiasa saja menekan beliau untuk cepat-cepat membubarkan Parlimen.

Berdasarkan semua itu, ia menunjukkan paling awal pun Ismail Sabri mahu membubarkan Parlimen ialah selepas Belanjawan 2023 diluluskan iaitu pada penghujung November nanti.

Sekiranya Agong tidak memberi perkenan pula kepada pembubaran Parlimen – bahkan inilah yang paling menggembirakan rakyat sebenarnya – PRU15 hanya akan diadakan pada penghujung penggal iaitu sebelum Jun 2023 dan Ismail Sabri mungkin pada ketika itu beroleh lebih keselesaan dan kebebasan sebagai seorang Perdana Menteri. – ShahbudinHusin 05/09/2022.



No comments: