PENJELASAN SULU SIRI 3-

 

PENJELASAN SULU SIRI 3

M) Tindakan terhadap Stampa dan Cohen

34. Kelakuan penimbang tara, Stampa, dan peguam Amerika Syarikat bagi pihak menuntut Sulu, Paul Cohen, yang menyalahi undang-undang adalah tidak boleh diterima sama sekali dan tidak boleh dibiarkan berterusan tanpa Malaysia mengambil tindakan terhadap mereka secara peribadi di negara mereka masing-masing. Pihak yang menuntut Sulu itu sendiri tidak mempunyai kepakaran undang-undang untuk terlibat dalam perang litigasi ini.

Pembiaya litigasi, Therium, nampaknya telah menanggung kos melebihi USD10 juta termasuk award kos yang amat besar berjumlah USD2.79 juta kepada Cohen dan USD2.33 juta kepada Stampa. Tetapi dalang perundangan yang bertanggungjawab secara peribadi dan langsung dalam menyerang Malaysia adalah Cohen dan Stampa. Oleh itu, Malaysia harus membuat aduan terhadap Cohen kepada badan tatatertib untuk peguam di England di mana beliau beramal, iaitu, “the Bar Standards Board” di England.

Pengamal profesion undang-undang yang berpengalaman di England tertakluk kepada standard integriti dan profesionalisme yang tinggi; Cohen pastinya telah melanggar standard ini. Berhubung Stampa, Malaysia harus membuat aduan terhadapnya kepada pihak berkuasa yang mengawal selia penimbang tara di Sepanyol. Sekiranya tiada pihak berkuasa sedemikian, Malaysia perlu mendapatkan nasihat undang-undang daripada peguam terkemuka yang beramal di Sepanyol berhubung hak Malaysia di bawah undang-undang Sepanyol terhadap penimbang tara penyangak ini.

35. Selain itu, Malaysia mestilah mendapatkan perintah injunksi “secara peribadi” (in personam) terhadap Stampa dan Cohen di kedua-dua mahkamah Sepanyol dan Perancis bagi menghalang setiap satu daripada mereka, daripada bertindak secara langsung atau tidak langsung, berdasarkan timbang tara tersebut di mana-mana bahagian di seluruh dunia. Di Sepanyol, saya percaya Stampa telahpun dihalang; perintah serupa mesti diperolehi di Perancis berhubung tindakannya dalam memindahkan timbang tara yang salah di sisi undang-undang. Begitu juga Cohen.

36. Malaysia mesti menyiasat bagaimana pembiaya insurans, Therium, bersetuju untuk membiayai kes yang langsung tidak berpeluang dari segi undang-undang setakat mana ia berkenaan dengan kuantum pampasan yang perlu dibayar secara sah kepada pihak menuntut Sulu.

Kita mesti mendapatkan nasihat daripada peguam terbaik di London (atas andaian Therium menjalankan perniagaan di United Kingdom) sama ada Malaysia boleh mendapatkan injunksi terhadap Therium untuk menghalangnya daripada terus membiayai timbang tara tuntutan tersebut. Sebaik sahaja aliran wang terhenti, maka aktiviti timbang tara penyangak juga akan dengan ajaibnya terhenti.

37. Saya gembira bahawa Malaysia telah memulakan prosiding jenayah terhadap Stampa; ini mesti juga diteruskan secara serentak, sambil kita mendalami strategi baharu yang telah saya gariskan. Kita harus akui bahawa ini adalah imperialisme undang-undang oleh kuasa dan personaliti Eropah tertentu; oleh itu kita mestilah mempertahankan kedaulatan negara dan keutuhan wilayah negara dengan seluruh kekuatan kita. Serangan adalah bentuk pertahanan yang terbaik; dan Malaysia mesti melancarkan serangan terhadap Stampa, Cohen, dan Therium. Permohonan untuk mengetepikan award timbang tara Stampa yang menyalahi undang-undang semata-mata adalah tidak mencukupi. Langkah-langkah punitif yang lain mesti diambil oleh Malaysia dengan kadar segera.

38. Perlu diingat bahawa pihak yang berkaitan dengan Perjanjian Pemberian 1878 adalah kerajaan Malaysia, sebagai pengganti dalam hak milik. Pihak yang dibawa, walaupun secara salah, ke timbang tara oleh pihak menuntut Sulu juga adalah kerajaan Malaysia, yang dibawa pada mulanya di Sepanyol dan kemudiannya di Perancis. Award USD14.9 bilion itu dibuat terhadap Kerajaan Malaysia.

Adalah undang-undang yang matan, dan pastinya sesuatu yang Cohen seharusnya tahu, bahawa hanya aset Malaysia boleh menjadi subjek penahanan atau pelaksanaan untuk memenuhi award tersebut. Cohen seharusnya tahu bahawa Malaysia menikmati “kekebalan kedaulatan” di semua mahkamah domestik di setiap negara di mana aset Malaysia berada. Untuk melepasi halangan yang tidak dapat diatasi ini, Cohen terus menyalahgunakan undang-undang dengan menahan aset anak syarikat milik Petronas di Luxemburg.

Tetapi, Petronas adalah entiti yang berasingan daripada Malaysia. Award tersebut tidak mengikat Petronas, dan tidak boleh dikuatkuasakan terhadap aset Petronas. Ketamakan Cohen tidak mengenal batas; peguam AS yang bereputasi buruk ini nampaknya tidak teragak-agak dalam menyalahgunakan prinsip undang-undang yang matan dan digunapakai sejagat.

N) Penguatkuasaan award timbang tara di bawah Konvensyen New York

39. Dalam Dallah lwn Government of Pakistan [2011] 1 AC 763, sebuah pihak persendirian, dengan bersandarkan pada Konvensyen New York, berusaha di mahkamah England untuk menguatkuasakan suatu award timbang tara yang dibuat di Perancis oleh panel tiga orang penimbang tara, yang memberi hak kepada pihak plaintif untuk mengambil tindakan pelaksanaan terhadap harta kepunyaan Pakistan di England.

Kerajaan Pakistan enggan mengambil bahagian dalam prosiding timbang tara di Perancis kerana mengatakan bahawa tiada perjanjian timbang tara yang sah antara Pakistan dan Plaintif, yang membawa maksud bahawa penimbang tara tidak mempunyai bidang kuasa untuk menentukan pertikaian tersebut. Tribunal bagaimanapun memutuskan bahawa ianya mempunyai bidang kuasa, dan seterusnya mengeluarkan award terhadap Pakistan.

40. Pakistan cuma menentang di mahkamah Inggeris buat pertama kalinya apabila plaintif cuba untuk menguatkuasakan award tersebut di England. Lord Mance, dalam menyampaikan penghakiman mahkamah tertinggi di UK, iaitu mahkamah agung, menyatakan bahawa:

“…it is well established, and indeed was common ground, that a person against whom an award has been made is not bound to challenge it before the supervisory court in order to challenge its enforcement in another jurisdiction.

“An arbitral tribunal’s decision as to the existence of its own jurisdiction cannot therefore bind a party who has not submitted the question of arbitrability to the tribunal…a party who has not submitted to the arbitrator’s jurisdiction is entitled to a full judicial determination…before the English Court.

“The very issue is whether the person resisting enforcement had agreed to submit to arbitration in that country. Such a person has…no obligation to recognise the tribunal’s activity or the country where the tribunal conceives itself to be entitled to carry on its activity…”

41. Mahkamah agung memutuskan bahawa sebenarnya tidak wujud sebarang perjanjian timbang tara, dan enggan untuk menguatkuasakan award yang tidak sah terhadap Pakistan.

42. Oleh itu, keputusan Malaysia untuk tidak mengambil bahagian dalam prosiding timbang tara di hadapan Stampa adalah berdasarkan otoriti undang-undang yang unggul. Malah, penyertaan boleh dianggap sebagai mengakui kewujudan perjanjian untuk merujuk ke timbang tara dan memberikan kesahan kepada sebuah tribunal yang tidak sah.

Walau apa pun, mengambil kira keputusan keterlaluan yang dibuat oleh Stampa, meskipun Malaysia berhujah di hadapannya bahawa tidak wujud perjanjian timbang tara, beliau pasti akan membuat keputusan yang tidak memihak kepada Malaysia. Dan Malaysia akan perlu menanggung kos yang besar untuk membayar beliau dan peguam kita di Sepanyol. Yang paling mustahak, mahkamah Sepanyol mahupun Perancis jua tidak menghalang Malaysia mencabar tindakan penguatkuasaan berdasarkan alasan bahawa Malaysia sebelum ini tidak mengambil bahagian di hadapan Stampa.

 

O) Adakah pasukan petugas khas perlu?

43. Prosiding timbang tara yang dimulakan oleh Cohen dan disokong sepenuhnya oleh Stampa di Sepanyol dan Perancis bukan sahaja suatu salah laku undang-undang yang paling teruk, bahkan ia sebahagian daripada litar timbang tara antarabangsa yang menjadi bobrok. Ia mencemarkan nama baik sebuah sistem, seperti Mafia, dikawal oleh peguam Eropah yang menyalahgunakan sistem perundangan negara mereka, dan dunia timbang tara sehingga memudaratkan negara Dunia Ketiga, seperti Malaysia.

Ini merupakan bidang amalan perundangan yang sangat khusus dan teknikal. Oleh itu, bagi mengendalikan perkara ini, saya telah dibantu oleh peguam-peguam dari Pejabat Peguam Negara, dari Badan Peguam di Malaysia dan peguam Sepanyol yang hadir di mahkamah Madrid. Saya tidak ragu-ragu bahawa peguam yang dilantik oleh Malaysia apabila pertikaian itu dipindahkan ke Perancis juga adalah peguam yang kerap hadir di mahkamah Paris.

44. Oleh itu, sesiapa yang mewakili Malaysia seharusnya telah dilatih dalam bidang undang-undang di pelbagai bidang kuasa bagi memerangi strategi dan taktik multinasional yang diguna pakai oleh Cohen dan Stampa. Mereka semua telah dilantik, dan sudah pastinya melaksanakan tugas profesional mereka secara profesional dan cekap bagi pihak Malaysia.

Oleh kerana ini adalah pertikaian undang-undang, peguam negara, sebagai ketua penasihat undang-undang negara, harus diberikan ruang untuk mempertahankan kepentingan Malaysia. Ia kini berada dalam tangan yang selamat. Tiada keperluan untuk menubuhkan apa-apa pasukan petugas khas atau mana-mana jawatankuasa lain.

Tambahan lagi, ketika saya menulis nota ini, pertikaian ini telah mencapai suatu peringkat yang sudah lanjut. Jawatankuasa hanyalah alasan birokrasi bagi tidak membuat sebarang keputusan. Tolong biarkan peguam negara putuskan sama ada beliau perlu untuk berunding dengan sesiapa; jangan libatkan secara paksa orang yang tidak berkelayakan, kononnya untuk membantu, tetapi sebenarnya hanya mengeruhkan proses membuat keputusan.

P) Kesimpulan

45. Apabila Stampa memutuskan bahawa klausa “Her Brittanic Majesty’s Consular General for Borneo” mampu di sisi undang-undang untuk memberikan kuasa kepada mahkamah di Sepanyol untuk melantik penimbang tara tunggal Sepanyol bagi memutuskan pertikaian di Sepanyol, dan untuk memerintahkan suatu pampasan sebanyak USD14.9 bilion sedangkan kerugian sebenar bagi kemungkiran kontrak ialah RM60,000, beliau telah dengan jeleknya menulis semula terma-terma Perjanjian Pemberian 1878.

Tidak ada sebarang sistem undang-undang, domestik atau antarabangsa, yang membenarkan pengubahan radikal sedemikian oleh seorang pihak ketiga terhadap persetujuan asal pihak-pihak. Award Stampa adalah “per-incuriam”; dan oleh yang demikian, ianya tidak sah dan tidak boleh dikuatkuasakan. Award tersebut adalah tidak jujur dan suatu bentuk penipuan kerana perbuatan Stampa yang memindahkan tempat timbang tara ke Perancis apabila mahkamah Sepanyol telah mengarahkannya untuk menghentikan prosiding timbang tara.

Stampa dan Cohen adalah musuh Malaysia dalam perang litigasi yang mereka lancarkan terhadap Malaysia. Kita mesti bersatu untuk menangkis serangan ini.

 

Tommy Thomas adalah peguam negara antara 2018 dan 2020.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Top of Form


No comments: