PENJELASAN SULU SIRI 2

 

PENJELASAN SULU SIRI 2

 

E) Mengapakah Malaysia menghentikan pembayaran pada 2013?

9. Sepanjang pengetahuan saya, kerajaan Malaysia tidak pernah membuat penjelasan secara umum pada 2013 berkenaan sebab-sebab mengapa pembayaran pampasan tahunan kepada pihak menuntut Sulu dihentikan. Ini berlaku semasa pentadbiran Najib Razak. Perdana menteri, menteri luar negeri atau pertahanan mahupun peguam negara seharusnya mengeluarkan suatu kenyataan awam untuk memperjelaskan keputusan mereka.

Malah, sehingga hari ini, sedekad kemudian, anggota pentadbiran tersebut masih berdiam diri, yang mana telah membawa kepada spekulasi dan kekeliruan yang tak perlu.

10. Penjelasan tidak rasmi yang sering diberikan adalah bahawa Malaysia menghentikan pembayaran kerana pencerobohan bersenjata pada 2013 ke atas Lahad Datu di Sabah. Bagaimanapun, tiada bukti jelas yang boleh mengaitkan pihak menuntut Sulu yang menerima pampasan tahunan daripada Malaysia dengan penceroboh bersenjata Lahad Datu.

Sekiranya kerajaan Malaysia mempunyai bukti sedemikian, langkah yang hemat seharusnya adalah untuk memfailkan tindakan undang-undang di Mahkamah Tinggi Sabah di Kota Kinabalu terhadap pihak menuntut Sulu (yang mana kesemua identiti mereka diketahui oleh kedutaan kita di Filipina, di mana bayaran tahunan dibuat kepada mereka), bagi memohon suatu perintah dari mahkamah Sabah bahawa oleh kerana pihak menuntut Sulu terlibat secara peribadi dan secara langsung dalam pencerobohan Lahad Datu, mereka kehilangan hak mereka untuk menerima bayaran pada masa hadapan dan bahawa Perjanjian 1878 telah berhenti berkuatkuasa.

Sekiranya itu berlaku, tindakan kerajaan untuk menghentikan pembayaran akan menerima “judicial imprimatur” (kebenaran secara rasmi oleh mahkamah). Malangnya, opsyen ini tidak diambil oleh mereka yang bertanggungjawab pada 2013.

11. Tanpa memberikan sebarang sebab untuk menghentikan pembayaran selepas 50 tahun kepada pihak menuntut Sulu, dan tanpa pernah memohon kebenaran secara kehakiman untuk penamatan pembayaran, Malaysia telah memungkiri Perjanjian 1878. Akibatnya, pihak menuntut Sulu berhak kepada pelaksanaan spesifik (specific performance) kontrak, iaitu Perjanjian 1878, yang secara praktikalnya bermaksud bahawa Malaysia mesti memulihkan tunggakan pampasan tahunan sebanyak RM5,300 setahun dari 2013 hingga 2022, dan seterusnya berjanji untuk membayar jumlah tahunan tersebut.

12. Dari segi praktikal, pelaksanaan spesifik kontrak 1878 bermaksud pembayaran wang secara tahunan, yang mana jumlahnya telah ditetapkan pada 1878 dan 1903. Satu-satunya kerugian yang dialami pihak menuntut Sulu ialah kehilangan wang pampasan tahunan sebanyak RM5,300; tidak lebih dan tidak kurang.

Undang-undang asas bagi ganti rugi atau pampasan yang perlu dibayar untuk kerugian yang disebabkan oleh kemungkiran kontrak ialah, apabila sesebuah kontrak itu dimungkiri, pihak yang tidak bersalah berhak untuk menerima, daripada pihak yang memungkiri kontrak, pampasan untuk sebarang kerugian atau kerosakan yang dialaminya, yang timbul secara lazim kesan daripada kemungkiran tersebut.

Dalam erti kata lain, pihak yang dipersalahkan hendaklah, setakat yang mampu dilakukan dari segi kewangan, memulihkan kedudukan pihak yang tidak bersalah agar kembali kepada kedudukan yang sepatutnya jika kontrak itu tidak dimungkiri.

13. Melalui surat bertarikh 19 September 2019, saya menulis kepada peguam yang mewakili pihak menuntut Sulu, dengan tawaran untuk membayar tunggakan berjumlah RM37,100.00 dari 2013 hingga 2019, berserta faedah mudah 10% berjumlah RM11,130.00. Oleh itu tawaran yang dibuat kepada mereka adalah sejumlah RM48,230.00.

Dari segi undang-undang, ini merupakan kerugian yang mereka alami dalam tempoh 7 tahun. Selanjutnya, sekiranya tawaran sejumlah RM48,230.00 itu diterima, ia bermakna tiada lagi pertikaian antara pihak-pihak. Jaminan juga diberikan kepada mereka bahawa Malaysia akan terus membayar jumlah tahunan tersebut untuk tahun-tahun yang akan datang.

Surat saya dengan jelas menyatakan bahawa kes itu telah dibawa secara salah dalam bidang kuasa Sepanyol dan bahawa Malaysia tidak mengiktiraf mahupun patuh kepada bidang kuasa Sepanyol, sama ada bidang kuasa yang dilaksanakan oleh mahkamahnya, tribunal timbang tara atau sebaliknya.

F) Apakah asas timbang tara pada 2018 oleh mahkamah Sepanyol dalam pelantikan penimbang tara tunggal?

14. Perlu diingati bahawa Perjanjian Pemberian 1878 mengandungi ayat ini:

“In case any dispute shall arise between His Highness the Sultan his heirs or successors and the said Gustavus Baron de Overbeck or his Company it is hereby agreed that the matter shall be submitted to Her Britannic Majesty’s Consul-General for Borneo.”

15. Pembacaan yang nyata dan biasa bagi ayat ini menghasilkan kesimpulan berikut:

(i) perkataan “timbang tara” tidak disebut, walaupun semasa 1878 timbang tara telah berkembang matang, terutamanya di bawah undang-undang Inggeris;

(ii) tempat bagi tribunal timbang tara tidak disebut;

(iii) undang-undang kontrak yang sepatutnya diguna pakai oleh tribunal timbang tara tidak disebut;

(iv) pihak berkuasa untuk melantik penimbang tara tidak disebut;

(v) sama ada tribunal timbang tara harus terdiri daripada penimbang tara tunggal atau tiga orang penimbang tara tidak disebut; dan

(vi) Sepanyol tidak disebut; begitu juga dengan Perancis.

16. Oleh itu, ayat ini contoh klasik suatu percubaan yang “pathologically flawed” untuk merujuk kepada timbang tara. Ia tidak mungkin dapat dituruti, sebahagiannya kerana pejabat “Konsul Besar Baginda Queen Britain di Borneo” (Her Brittanic Majesty’s Consular General for Borneo) tidak lagi wujud dan sebahagiannya atas sebab enam kecacatan yang disenaraikan di atas. Itu mungkin menjelaskan sebab mengapa Kementerian Luar Negeri United Kingdom menolak permintaan, yang tampaknya dibuat pada 2017, untuk menggunakan UK sebagai forum yang sesuai.

Sekiranya kerajaan British telah dengan tepat memutuskan bahawa rujukan kepada pejabat “Her Brittanic Majesty’s Consular General for Borneo” yang tidak lagi wujud, tidak memberikan bidang kuasa kepada mahkamah di UK untuk melantik penimbang tara yang “bertempat di British”, adalah amat sukar untuk dipercayai bagaimanakah mahkamah Sepanyol dan Perancis boleh bertindak seperti yang telah mereka lakukan. Ianya langsung bertentangan dengan undang-undang dan amalan timbang tara antarabangsa.

G) Keberertian keputusan Mahkamah Tinggi Sabah pada 2020

17. Selepas notis sewajarnya diberikan kepada penimbangtara tunggal, Stampa, dan peguam British yang bertindak bagi pihak menuntut Sulu, kerajaan Malaysia memulakan prosiding undang-undang di Mahkamah Tinggi Sabah pada Disember 2019, seperti mana yang dilakukan oleh pihak menuntut Sulu pada 1939. Oleh kerana tidak wujud klausa timbang tara dalam Perjanjian 1878, dan pejabat “Her Brittanic Majesty’s Consular General for Borneo” telah lama pupus, satu-satunya forum untuk menyelesaikan pertikaian yang timbul daripada Perjanjian 1878 tersebut adalah mahkamah Sabah.

Keputusan mana-mana forum lain yang kononnya mempunyai bidang kuasa ke atas perkara ini adalah tidak sah dan seharusnya tidak diendahkan langsung oleh kerajaan Malaysia.

18. Dalam penghakiman yang dilaporkan dalam kes Kerajaan Malaysia lwn Nurhima Kiram Fornan [2020] 6 CLJ 429 Hakim Mairin Idang memutuskan empat isu yang sangat relevan, iaitu:

(i) tiada perjanjian timbang tara yang sah atau mengikat;

(ii) tiada penepian kekebalan kedaulatan Malaysia yang boleh memberikan bidang kuasa bagi prosiding di hadapan mahkamah di Sepanyol yang melantik penimbang tara Sepanyol, Gonzalo Stampa;

(iii) Mahkamah Tinggi Sabah adalah forum semula jadi dan wajar untuk memutuskan semua pertikaian; dan

(iv) wujudnya “forum shopping” oleh pihak menuntut.

19. Walaupun penghakiman ini tidak mempunyai kesan luar wilayah, ia menunjukkan bahawa Mahkamah Tinggi Sabah merupakan forum untuk menyelesaikan pertikaian. Malangnya, penimbangtara tunggal, Stampa, tidak menghiraukan penghakiman itu.

H) Tingkah laku Stampa

20. Kewajipan utama sesiapa yang dipinta untuk menjadi penimbang tara bagi sesuatu pertikaian adalah untuk membaca perjanjian timbang tara dengan teliti. Penimbang tara yang mungkin dilantik hendaklah, sebelum menerima lantikan tersebut, yakin bahawa mereka mempunyai bidang kuasa untuk bersidang dan memutuskan pertikaian.

Lazimnya, perjanjian timbang tara dalam bentuk suatu klausa di dalam kontrak antara pihak-pihak yang bertikai. Ianya tidak sama seperti mahkamah domestik, yang mana kuasa dan bidang kuasa untuk menyelesaikan pertikaian sivil antara individu-individu (termasuk syarikat dan korporat) dalam had wilayahnya adalah diperuntukkan oleh undang-undang domestik; ini membawa maksud bahawa tidak akan wujudnya persoalan sama ada suatu pihak boleh menolak atau tidak bersetuju terhadap bidang kuasa mahkamah terhadap sesuatu pertikaian.

Sebaliknya, prosiding timbang tara memerlukan persetujuan. Secara definisinya, ia hendaklah secara kerelaan (kedua-dua pihak). Pihak-pihak hendaklah, dengan bebas dan sukarela, bersetuju secara bertulis dalam terma yang jelas untuk mengemukakan pertikaian mereka kepada timbang tara. Sekiranya tiada perjanjian timbang tara secara bertulis, maka proses untuk merujuk kepada timbang tara adalah tidak tersedia. Ia tidak boleh dikenakan secara paksa. Oleh itu, bagaimana Stampa boleh mentafsirkan ayat dalam Perjanjian 1878 (iaitu kontrak yang relevan dan berkuatkuasa dalam hal ini) sebagai sebuah klausa timbang tara adalah amat sukar untuk dipercayai.

21. Dalam artikel bertajuk “The Sultan of Sulu Award: Is it enforceable in the US under the New York Convention?” yang diterbitkan dalam ITA in Review [2022] Vol 4, Isu 1, pakar timbang tara Gary J Shaw dan Rafael T Boza membuat pemerhatian berikut:

“The Award against Malaysia is one of the largest awards ever issued against a state, surpassed only by the Yukos Award. It arises out of a 150-year-old contract with very ambiguous terms. It was issued in the context of a highly disputed ad hoc arbitration, in which neither the alleged arbitration clause, nor the conduct of the proceedings was accepted by the parties or the courts of the seat, Spain. The Arbitrator took actions which may be considered unreasonable, extreme, or even defiant, such as relocating the seat of arbitration, to ultimately issue a polarizing Award. Any enforcement effort, in any jurisdiction will likely be met with substantial resistance.”

(penekanan saya)

 

No comments: