MSO
SOROTAN PAGI
SEMALAM diumumkan barisan kepimpinan sebuah lagi parti baru,
Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang dikaitkan dengan bekas ahli Keadilan. Sebelum
ini Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin disebut-sebut
sebagai bakal memimpin parti ini. Tetapi tampaknya tidak jadi apabila ahli
Parlimen Julau Larry Soon@Sug diumumkan sebagai presiden.
Larry Sug ini juga adalah bekas ahli Keadilan dan pernah menjadi pengerusi
Keadilan Sarawak.
Manakala timbalan
presiden I, Haliza Mohd Talha. Hampir 90% barisan kepimpinan
diisi oleh bekas ahli Keadilan. Apa yang jelas parti yang dijenamakan semula
daripada parti Pekerja Sarawak itu menjadi wadah mengumpul bekas-bekas
ahli Keadilan yang meninggalkan perjuangan reformasi.
Walaupun nama Zuraida dan
Azmin Ali tidak disenaraikan dimana-mana jawatan dalam parti itu, tetapi
hakikat mereka berdualah pemilik parti itu. Yang menjadi roh dan jasadnya.
Parti itu ditubuh atas
kehendak naluri Azmin bukan sesiapa. Ia bertujuan untuk dijadikan alat atau
wadah bagi memancu apa yang menjadi cita-cita agung Azmin dalam hidupnya selama
ini untuk menjadi perdana menteri. Mungkin buat sementara mereka menyembunyikan
diri dan meniup api menyalakan bara parti itu dari dalam, tetapi bila sampai
ketika ia akan menjelma secara zahir juga.
Keadaan itu sementara
sahaja atau sebagai satu taktik untuk melihat reaksi seseorang terhadapnya.
Sebab itu sejak awal-awal lagi sudah sudah membuat tebakan disebalik apa yang
berlaku itu. Saya tidak mengira ia adalah kehendak Zuraida melainkan ia
dijadikan alat atau abdi suruhan Azmin sahaja untuk kepentingannya. Kesetiaan
Zuraida kepada Azmin mengatasi kesetiaan kepada presiden parti lamanya,
Keadilan.
Mungkin ramai orang tidak
faham kenapa perlu ada PBM. Atau kenapa Azmin Ali perlu menubuhkan sebuah parti
lain sedangkan beliau kini sudah menjadi ahli Bersatu. Apa yang
boleh difahami berlakunya situasi itu kerana tentu ada sesuatu yang tidak
menyenangkan sedang berlaku. Yang sudah pastinya Azmin dan kumpulan
"muhajir" itu tidak selesa dengan apa yang berlaku, ia tidak memberi
suasana kondusif buatnya untuk menapak ke kemuncak politiknya.
Perlu difahami cita-cita
Azmin adalah untuk menjadi perdana menteri, sama dengan apa dicita-citakan oleh
bosnya sebelum ini Anwar Ibrahim. Apa yang dapat ditafsirkan dengan pewujudan
parti itu menunjukkan Azmin sudah dapat mengira harapan dan kebergantungan
angan-angan kepada Mahiaddin melalui Bersatu sudah pudar, sudah tidak ada
harapan lagi. Serentak itu dengan tindakan Azmin itu, Bersatu kini sedang dalam
keadaan retak yang menunggu belah sahaja. Nafas Bersatu tampaknya tidak berapa
panjang?
Kepada para becak
politik, apa perlu difahami dengan kewujudan PBM ialah perlu ditafsirkan
maknawi politiknya tidak boleh dilihat selayar (lapis). Hal ini saya sudah
tebak awal-awal lagi. Ia adalah merupakan agenda untuk mencapai cita-cita agung
Azmin Ali. Cita-cita Azmin yang satu ini tidak dapat disembunyikan, bahawa
beliau ingin menjadi perdana menteri. Sementara untuk mencapai itu
langkah pertamanya haruslah menjadi timbalan perdana menteri.
Azmin sudah kesekian lama
mengidam jawatan itu. Ia bermula dan menjadi ghairah apabila PH memenangi
pilihan raya umum ke-14. Pelantikan Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai TPM diera
Mahathir Mohamad sangat melukakan dan mengecewakannya. Sejak itu beliau tidak
pernah diam berusaha untuk meraih jawatan itu.
Malangnya angan-angan itu
masih belum dicapai waktu ini. Mungkin ada yang menolak pandangan ini? Namun
realiti ini tidak boleh ditolak dengan memahami kenapa beliau sanggup
khianat Anwar dan tinggal parti Keadilan. Sebabnya kerana kegagalan beliau untuk
mendapat jawatan itu semasa dalam Keadilan. Itu sahaja puncanya.
Beliau sudah membaca
kedudukannya dalam Keadilan menyukarkan apabila Anwar kembali aktif dan
memimpin parti. Maka beliau harus mencari jalan keluar. Jalan keluar ialah
dengan bersekongkol dengan Mahiaddin. Tindakan itu tidak salah sebagai seorang
politis yang perlu mempunyai cita-cita besar. Cita-cita besar bagi orang
politik adalah minyak yang menghidupkan engen politiknya.
Orang politik seperti
seorang pemburu. Jika dalam hutan itu sudah dipastikan tidak ada haiwan diburu,
maka si pemburu perlu berpindah ke belukar atau belantara lain demi mencapai
apa diidam-idamkan. Nah, begitu juga dengan Azmin dalam memburu jawatan
timbalan perdana menteri itu. Bila dia sudah membaca di situ menyukarkannya
maka beliau perlu keluar. Apa kena ingat Azmin seorang yang setakat ini jarang
gagal.
Bersatu adalah belantara
untuk Azmin memburu apa diidamkannya. Kesanggupan Azmin menukar parti ini
sesuatu yang menarik dan sangat signifikan. Ia tentu sudah ada perjanjian awal
dengan Mahiaddin untuk keuntungan. Kalau tidak ada perjanjian itu, tidak
semudah itu untuk Azmin menukar belantara pemburuan. Azmin boleh diibarat
sebagai ceti dalam politik yang memberi pinjaman wang tetapi kena membayarnya
dengan bunga berlipat ganda.
Apabila beliau membuat
kolaborasi dengan Mahiaddin tentu ada persefahaman dan janji intim. Janji itu
pastinya untuk jawatan timbalan perdana menteri. Namun malang, jawatan itu
tidak dapat dipenuhi oleh Mahiaddin kerana faktor dan senario yang tidak
memudahkan Mahiaddin memenuhi kehendak Azmin itu. Dan untuk sementara waktu
Azmin boleh bersabar dengan hanya dilantik sebagai menteri kanan, yang
menunjukkan Azmin adalah candidate TPM oleh Mahiaddin.
Bagaimana pun, hati Azmin
terkedu dan luka dengan perkembangan seterusnya. Apabila Mahiaddin meletak
jawatan dan jawatan PM diisi oleh Ismail Sabri Yaakob, jawatan yang
diidam-idamkkan itu juga tidak sampai kepadanya apabila Ismail Sabri tidak
melantik jawatan TPM. Maka sekali lagi Azmin kempunan usahkan gagal menajdi PM,
untuk memegang jawatan TPM pun belum tercapai.
Keadaan inilah
menyebabkan Azmin yang akal politiknya panjang mula berfikir sesuatu untuk
memastikan beliau tidak akan terus terapong-apong dengan cita-citanya itu.
Beliau perlu memastikan jawatan itu menjadi haknya jua. Caranya bagaimana, cara
ialah dengan mendesak Mahiaddin agar mengusahakan jawatan itu untuk dirinya.
Azmin akan menjadikan Mahiaddin sebagai borak untuk terbang ke kerusi
TPM.
Penubuhkan PBM itu adalah
strategi Azmin untuk capai cita-citanya. Azmin akan gunakan PBM untuk mendesak
dan menjadikan Mahiaddin tidak senang duduk selagi jawatan TPM tidak diserahkan
kepada Azmin. Azmin mahu menyusahkan Mahiaddin agar mendesak Ismail Sabri
meklantiknya sebagai TPM. Itu yang dikehendaki dan itulah tujuannya penubuhan
PBM. Azmin kini sedang menuntut janji dengan Mahiaddin.
Dan dalam hal ini
Mahiaddin perlu menurut atau pun memberi perhatian terhadap apa dikehendaki
Azmin itu. Bagi Mahiaddin ini kerja berat untuknya. Dalam kata lain perwujudan
PBM itu sebagai satu kata dua untuknya dan menentukan hubungan dan kerjasama
dengan Azmin. Sekiranya dia gagal meletakkan Azmin di kerusi TPM ia akan
mengancam kedudukan dan masa depan Bersatu itu sendiri. Kekuatan dan tali hayat
Bersatu ditangan Azmin. Mahiaddin harus melunasi janji dengan Azmin dengan
adanya PBM itu.
Kesimpulannya penubuhan
PBM bukan apa-apa melainkan sebagai alat bagi memastikan Azmin dilantik sebagai
TPM. PBM meletakkan Mahiaddin dalam tugas berat sekarang ini. Dengan mengira
itulah tujuan PBM ditubuhkan menjadi pendesak untuk kepentingan peribadi Azmin
ia tidak mempunyai masa depan dan matlamat yang jelas. Ia akan mengsia-siakan
hidup orang politik yang menjadi ahli parti itu. [wm.kl.7:58 am
09/01/2022]