MGF10012022_MESYUARAT-MAJLIS-PEMULIHAN-4-copy

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pemulihan Negara di Kementerian Kewangan, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 10 JANUARI 2022.


PUTRAJAYA – Penubuhan Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang didokong Ahli Parlimen Julau, Larry Sng tidak memberi kesan yang besar kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini kerana pemimpin-pemimpin yang menerajui parti itu tidak pernah menyertai Bersatu dan hanya menyokong Perikatan Nasional (PN).

“Bagi saya kesannya tidak besar mana pun, jadi tak apa kita terima hakikat situasi, tidak rasa terkesan dengan pembentukan parti ini.

“Larry Sng dulu ialah bekas PKR, dia meninggalkan parti dan menyokong PN tidak menyertai Bersatu.

“Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong dan yang Perak tidak tahu (sokong mana) dengar dia sokong Peja (Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu), tidak pasti dalam rekod dia pernah menjadi ahli Bersatu atau tidak,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN), di sini, hari ini.

Pada Sabtu lalu, Larry dilantik sebagai Presiden PBM, sekali gus menamatkan teka-teki siapakah yang bakal mengetuai parti baharu tersebut.

Larry dilantik selepas diputuskan perwakilan daripada 12 bahagian PBM yang menghadiri Mesyuarat Khas Persidangan Agung (EGM) parti yang diadakan di sebuah hotel di Sibu, Sarawak.

Selain Larry, seramai 30 ahli jawatankuasa kepimpinan baharu PBM turut dilantik dan dipilih dalam mesyuarat EGM berkenaan termasuk pelantikan bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor, Haniza Mohamed Talha dan Wong Judat sebagai Timbalan Presiden.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan hari ini berkata perlembagaan parti itu jelas menyatakan sekiranya mana-mana ahli menyertai parti lain, maka keahlian mereka automatik tergugur dan peraturan itu konsisten serta terpakai kepada semua.